Ucapan

Perutusan Ramadhan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

By Mei 26, 2017 No Comments
Ramadhan-Instagram3

26 MEI 2017

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apabila matahari terbenam hari ini, umat Islam di seluruh dunia telah berada di gerbang Ramadhan.

Alhamdulillah, kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan Ramadhan, madrasah ruhiyyah buat umat Islam menyuntik kekuatan kerohanian, mentarbiyyah akhlak dan menyucikan diri bagi mencapai sifat mahmudah.

Saya yakin, masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor, bahkan di seluruh Malaysia, telah membuat pelbagai persiapan untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan kegiatan Ihya’ Ramadhan.

Ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 148 :

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

Tatkala umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang menggeser perpaduan, pelbagai program dan kegiatan yang dilaksanakan secara berjemaah amat penting untuk memperkukuh ukhwah dan kesatuan ummah.

Justeru itu, Institusi masjid dan surau memainkan peranan penting untuk menggembeleng perpaduan umat serta menampilkan imej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Menjadi harapan kita agar ibadah kita di bulan yang mulia ini dapat menyembuhkan luka-luka perpecahan dan persengketaan di kalangan umat Islam dan manusia keseluruhannya.

“Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI