Ucapan

Rapat Ramadhan 2017 bersama Penjawat Awam

By Jun 13, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-06-13 at 10.35.43

13 JUN 2017

1. Saya dapat merenung raut wajah saudara – saudari yang cukup ceria dan bertenaga pada pagi ini. Inilah kelebihan Ramadhan. Walaupun kita diwajibkan untuk berpuasa dan dituntut untuk menghidupkan malam dengan pelbagai ibadah, namun, kita masih bersemangat di awal pagi.

Apa hajat orang seberang,
Membawa emas berkati-kati;
Apa hajat ramainya datang,
Jangan disimpan di lubuk hati.

2. Saya turut bersemangat pagi ini seperti saudara-saudari. Sejak jam 8 pagi, saya sudah terpacak di pintu hadapan untuk menyambut kehadiran saudara-saudari bagi menghayati tazkirah Timbalan Mufti, Sahibus Samahah Dr. Haji Anhar Bin Opir bersempena Rapat Ramadhan pada tahun ini.

3. Saya mengajak saudara-saudari untuk mengambil iktibar daripada pesanan yang dibawa oleh Dr. Haji Anhar.

4. Kita harus bersyukur bahawa buat sekian kalinya Allah SWT memilih kita untuk dipertemukan dengan Ramadhan – satu bulan yang penuh dengan barakah, sarat dengan ganjaran daripada Allah SWT. Ramadhan adalah madrasah ruhiyyah buat kita melakukan penyucian diri – tazkiyatun nafs.

5. Justeru itu, seperti yang saya kongsikan pada tahun yang lalu, kita perlu menghayati Ramadhan dengan pelbagai usaha kebajikan (al-khairat) dan kebaikan (al-khair).

6. Ramadhan adalah bulan untuk memupuk silaturrahmi dan ukhuwwah sesama Islam dan sesama umat manusia.
7. Saya merasa amat dukacita dengan krisis diplomatik yang sedang melanda negara-negara Teluk yang merupakan wilayah penting umat Islam. Umat Islam tidak boleh meremehkan kesan geopolitik daripada krisis diplomasi ini.

8. Sebarang pertelingkahan perlu diselesaikan secara perundingan dan musyawwarah. Inilah jalan yang dianjurkan oleh Islam. Emosi dan kedangkalan ilmu yang mempengaruhi tindakan terburu-buru tidak akan membawa penyelesaian umat.

7. Saya mendoakan semoga kepimpinan umat Islam dapat meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai pemandu kepada penyelesaian konflik ini. Di bulan Ramadhan ini, marilah kita berdoa kepada perdamaian, perpaduan dan kemajuan umat Islam.

8. Kerajaan Negeri telah menjadikan Fitrah Umat, Membingkai Muafakat, Negeri Berkat sebagai tema Eidul Fitr.

9. Fitrah manusia mahukan perdamaian dan dengan fitrah umat, kita membingkai muafakat. Inilah agenda kita di Selangor. Kita membina muafakat, muafakat yang pasti akan membawa berkat kepada rakyat.

10. Malaysian Institute of Economic Research (MIER) turut mengakui hakikat ini di mana dalam satu laporannya menyebut antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat.

11. Pada kesempatan ini, saya berterima kasih kepada semua penjawat awam. Tuan-tuan dan puan-puan semua adalah tunjang kepada kestabilan Negeri Selangor.

12. Melalui kestabilan, kita berupaya untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan, melaksanakan agenda smart state, inisiatif pendidikan dan kesihatan serta program keusahawanan.

12. Izinkan saya mencerakinkan beberapa kisah kejayaan Negeri Selangor.

13. Prestasi kutipan hasil negeri sehingga 8 Jun 2017 telah mencatatkan RM 1.15 bilion iaitu 45.09% daripada RM 2.55 bilion yang diunjurkan dalam Belanjawan 2017.

14. Rezab Negeri pada 8 Jun 2017 mencatatkan peningkatan kepada RM 3.18 bilion berbanding rezab negeri pada 31 Disember 2016 yang berjumlah RM 3.05 bilion.

15. Bagi tempoh yang sama, prestasi Belanja Mengurus mencatatkan RM 691.87 juta atau 41.93% daripada RM 1.65 bilion yang diperuntukkan dalam tahun ini.

16. Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan perbelanjaan secara berhemah dan telus manakala pelaksanaan projek-projek pembangunan akan dilaksanakan mengikut jadual dan menjamin kualiti demi kesejahteraan rakyat.

16. Kerajaan Negeri juga mengingatkan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan dan tidak ada unsur pembaziran dan ketirisan.

17. Keyakinan pelabur asing dibuktikan dengan statistik MIDA yang melaporkan jumlah pelaburan domestik dan asing telah meningkat kepada RM 7.88 bilion bagi tahun 2016 dengan jumlah projek sebanyak 242 dan merupakan jumlah tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

18. Ini membuktikan bahawa pelabur-pelabur terus yakin dengan pentadbiran Negeri Selangor yang berteraskan prinsip urus tadbir yang baik, ketelusan dan berintegriti.

18. Lawatan kerja saya ke Brussels, Hamburg dan Munich telah memberikan keyakinan baru bahawa pelabur-pelabur asing bertambah yakin memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan mereka dan bersedia untuk berlabuh dengan pelaburan besar berteknologi tinggi.

19. Hari ini, kita sedang menuju ke arah menjadikan Selangor sebagai hub aeroangkasa, bioteknologi dan industri halal.

19. Pelabur-pelabur dari Jerman dan Taiwan juga sedang melihat potensi Selangor sebagai gateway kepada pasaran serantau.

20. Alhamdulillah, kejayaan ini dicapai kerana keyakinan masyarakat pelabur terhadap kepimpinan Negeri Selangor yang kukuh dan tegas mempertahankan prinsip governance dan urus tadbir yang cemerlang dengan prinsip ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.

21. Pentadbiran ini menghormati hikmah dan mengiktiraf kebijaksanaan rakyat masa kini. Rakyat tidak lagi mudah disogok dengan pelbagai janji manis tetapi rakyat juga menilai prestasi dan perkhidmatan sesebuah Kerajaan serta keupayaan sesebuah Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat.

22. Justeru itu, atas keinsafan inilah, pentadbiran hari ini senantiasa tuntas, tidak plin plan dalam mengambil sesuatu keputusan demi kesejahteraan rakyat.

21. Tidak mungkin Selangor mencatat kejayaan dan kecemerlangan ini tanpa kerja keras dan dedikasi setiap penjawat awam di Negeri Selangor.

22. Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran dan Daerah sehinggalah kerani dan pemandu di Negeri Selangor senantiasa berpegang dan membudayakan etika kerja yang tinggi, berintegriti dan profesional. Selangor memiliki penjawat awam yang terbaik di negara. You are the best in Malaysia.

22. Sayugia saya membawa saudara-saudari kepada peringatan Baginda Rasulullah SAW dalam Hadith Riwayat Imam Ahmad tentang prinsip amanah yang menjadikan kita sebagai umat yang terbaik (khairu ummat).

“Tidak beriman orang yang tidak amanah, dan tidak ada agama orang yang tidak pegang janji.”

23. Sekali lagi saya mengulangi rasa terima kasih dan penghargaan kepada penjawat awam di Negeri Selangor.

24. Tetapi, apakah memadai dengan kata-kata pujian yang indah semata-mata ?

Apa hajat ramainya datang,
Jangan  disimpan di lubuk hati;
Usah gusar janganlah bimbang,
Kita tahu membalas budi.

25. Baru-baru ini, saya terbaca kenyataan Putrajaya yang memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM 500 kepada penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

26. Adakah kita nak ikut Putrajaya ?

27. Apakah perlu kita mengikuti Putrajaya ?

28. Don’t you think you deserve more ?

29. I think Selangor can afford to do better than Putrajaya. Setuju ?

30. Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Eidul Fitr berjumlah satu setengah (1.5) bulan gaji kepada semua anggota yang berkelayakan.

31. Yakinlah bahawa inilah Kerajaan yang peduli rakyat, peduli pegawai, peduli anggota perkhidmatan awam. Kerajaan inilah yang akan memberikan segala bentuk dukungan dan pengiktirafan kepada anggota perkhidmatan awam di atas pengorbanan, dedikasi dan komitmen yang berterusan untuk Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

32. Sekiranya saudara-saudari inginkan sebuah Kerajaan yang meletakkan agenda rakyat sebagai agenda nombor wahid dan menyanjung tinggi peranan dan sumbangan perkhidmatan awam, maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus pertahankan Kerajaan ini.

33. Sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri, maka saya dengan tawaduk mengumumkan 2 Fasa Insentif bagi tahun 2017.

34. Pertama, Bantuan Khas Kewangan sempena Eidul Fitr 1438H untuk seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor sebanyak dua (2) bulan gaji.

34. Pemberian ini akan dibayar pada 21 Jun 2017 dan melibatkan pembayaran sebanyak RM 63.3 juta untuk menghargai khidmat 17,703 orang anggota yang berkhidmat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

35. Pada hujung tahun ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk membayar satu lagi insentif yang belum pernah dilakukan, namun ianya tertakluk kepada prestasi jabatan dan prestasi kerja saudara-saudari.

36. Wajar saya mengingatkan bahawa amalan yang terbaik dalam segala urusan adalah bersederhana. Khairul umur awsatuha. Maka, amalkan hidup sederhana dan berjimat dalam berbelanja.

37. Akhirnya, marilah kita bersama-sama dibulan yang mulia ini menggilap semangat kerja dan etika profesionalisme untuk Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua dan menjadikan latihan di bulan Ramadhan ini sebagai bekalan untuk menghadapi pelbagai cabaran dan tribulasi di masa mendatang.

38. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitr.

39. Saya memohon ampun dan maaf sekiranya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini, ada kelemahan dan kesilapan dalam tindakan dan tutur kata. Semoga Eidul Fitr tahun ini akan memperkukuhkan ukhuwwah di kalangan kita.

39. Saya juga menjemput seluruh anggota perkhidmatan awam dan keluarga untuk bersama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Eidul Fitr Peringkat Negeri Selangor 2017 pada 2 Julai 2017 (Ahad),  8 Syawal 1438H, bertempat di Padang Perbandaran, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, Selangor.

40. Saya juga amat gembira dan terharu kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah berkenan sekali lagi untuk berangkat hadir bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor untuk meraikan Majlis Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri Selangor pada tahun ini.

41. Teruskan kerja dengan semangat, belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat. Makanya, belum raya sudah dapat.

Sekian, terima kasih.

Comments

comments