[email protected] – MENGIMBANGI PERLINDUNGAN KESELAMATAN DAN NYAWA DENGAN KELANGSUNGAN EKONOMI

MENGIMBANGI PERLINDUNGAN KESELAMATAN DAN NYAWA DENGAN KELANGSUNGAN EKONOMI

Semalam YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dalam merancakkan ekonomi negara yang kini berada di tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi. Dalam memastikan sektor industri dan perusahaan komersil terus kekal berdaya saing dan mampan untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara, perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja adalah merupakan keutamaan.

Berdasarkan data oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, MITI memandang serius situasi penularan wabak COVID-19 di premis-premis sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan. Setakat 16 Mac 2021, sektor perkilangan menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau 194 kluster daripada kes-kes COVID-19 di negara ini.

Justeru, MITI telah mengambil langkah proaktif dan responsif dengan memperkenalkan satu inisiatif yang komprehensif dalam mengimbangi kelangsungan operasi sektor perkilangan dengan pengawalan penularan pandemik di kalangan pekerja yang dinamakan [email protected]

[email protected] adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat di sektor perkilangan yang merangkumi tanggungjawab majikan menyediakan penginapan pekerja yang selamat serta mematuhi piawaian di bawah Akta Standard Minimum Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446), pengurusan kes-kes pekerja positif dan kontak rapat, saringan kesihatan serta langkah-langkah pencegahan penularan pandemik COVID-19 di kalangan pekerja.

Inisiatif ini berupaya mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif COVID-19 di premis perniagaan. Kerajaan berpandangan bahawa komitmen dan sokongan daripada majikan adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja terjamin. Usaha ini amat penting demi menyumbang kepada kelangsungan aktiviti ekonomi.

[email protected] telah dirangka berdasarkan kepada sesi libat urus dan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan sektor awam dan swasta merangkumi Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), persatuan-persatuan industri serta dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Berdasarkan amalan semasa, pekerja kontak rapat wajib dikuarantin dan tidak dibenarkan bekerja sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan bebas COVID-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan. Kini, inisiatif [email protected] akan membolehkan pekerja-pekerja kontak rapat untuk terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe Work Bubble. Pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19 berdasarkan keputusan ujian saringan.
Beberapa aspek utama yang diberikan penekanan di bawah “Safe Work Bubble” adalah seperti berikut:

  1. Pewujudan Safe Work Bubble bagi pekerja kontak rapat di kawasan kilang dan premis penginapan pekerja;
  2. Penubuhan Pasukan Persediaan dan Tindakbalas Kecemasan COVID-19 (PERT) oleh pihak syarikat bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan;
  3. Proses sanitasi berterusan di premis perkilangan;
  4. Kebenaran penggunaan kenderaan pekerja dengan kapasiti penuh;
  5. Penyediaan dan pengurusan penginapan pekerja yang kondusif;
  6. Pelaksanaan saringan bersasar untuk pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan; dan
  7. Penyediaan saluran maklumat berkaitan tatacara kawalan pandemik daripada majikan kepada pekerja.

Sebagai galakan kepada syarikat-syarikat yang melaksanakan [email protected], Kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat di bawah sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan ke atas perbelanjaan sewaan premis asrama pekerja dan penyediaan kelengkapan berkaitan seperti CCTV, wearable tracking devices dan keperluan-keperluan asas lain selaras dengan SOP [email protected] Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat. Syarikat boleh membuat pendaftaran di COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) mulai 1 April 2021.

MITI berharap dengan adanya [email protected] ini, syarikat-syarikat di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan akan mempertingkatkan tahap pematuhan SOP masing-masing bagi memastikan syarikat dapat terus beroperasi seperti biasa.

Ini adalah selari dengan Whole-Of-Society Approach untuk memupuk sikap self-reliance dan semangat kebertanggungjawaban dalam masyarakat. Dalam konteks ini, peranan dan tanggungjawab industri lebih mendesak untuk bersama-sama merealisasikan hasrat Kerajaan mengimbangi tuntutan melindungi keselamatan dan nyawa dengan kelangsungan ekonomi.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
18 MAC 2021

KM YBMK MITI - [email protected] - 18.3.2021