Ucapan

Selamat Tahun Baru Cina 2012

By Januari 22, 2012 2 Comments

Suatu masa dahulu, makhluk ganas bernama ‘Nian’ telah menyebabkan huru-hara di Tanah Besar China. Serangan makhluk ini menyebabkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka telah berikhtiar untuk menghalau makhluk tersebut bagi memperbaiki kehidupan mereka. Reben merah dilemparkan ke udara. Bunga api diletupkan siang dan malam. Akhirnya mereka telah berjaya menghalau makhluk tersebut dan mempunyai kehidupan baru yang harmoni.

Tahun Baru melambangkan permulaan baru serta titik mula kepada kehidupan yang lebih baik buat seluruh masyarakat. Sambutan pada tahun ini membawa simbolik tahun Naga Air, tahun yang baik untuk ekonomi dan pendapatan. Naga merupakan lambang tersohor mengecapi kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup. Tahun Naga Air ini dianggap sebagai tahun baru yang akan membawa rezeki melimpah ruah.

Rakyat Malaysia harus menjiwai semangat dan simbolik ini untuk memiliki sebuah kehidupan yang lebih baik. Negara yang sejahtera dan harmoni harus diterajui oleh kerajaan yang bersih, adil dan berintegriti. Ekonomi dan pendapatan negara yang makmur perlu diterajui oleh kepimpinan yang amanah supaya kekayaan dan khazanah negara dipulangkan kepada rakyat.

Semoga iktibar dan semangat Naga Air yang sentiasa bertuah, inovatif dan berkuasa sifatnya menjadi teras perubahan dengan kuasa rakyat dan merealisasikan negara Malaysia yang lebih gagah, A Mighty Malaysia.

Salam Tahun Baru. Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Jin Bu, Xin Nian Hao, Nian Nian Hao.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN