Ucapan

Sembah Ucapan Sempena Keberangkatan DYMM Sultan Selangor Ke Sekinchan

By Mei 23, 2017 No Comments
545a5a1e-d985-4a9f-baef-e739d7848822

Ampun Tuanku,

Patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar Duli dan berangkat ke Sekinchan untuk menyantuni rakyat Tuanku di Daerah Sabak Bernam ini di kalangan warga tani; pesawah, petani, nelayan, pengilang dan pengusaha IKS.

Kalau permata di atas dulang,
Makin terang cahaya purnama;
Mencemar Duli Sultan terbilang,
Susah senang tetap bersama.

Keberangkatan Tuanku berdua pada pagi ini menzahirkan sifat kepedulian yang membumi kepada rakyat.

Sekinchan merupakan sebuah desa yang permai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan agama. Kepadatan penduduk Sekinchan dianggarkan hampir 20,000 orang yang mewakili 70% orang Cina, 25% orang Melayu dan 5% orang India.

Hari ini, Sekinchan semakin terkenal seantero dunia dengan industri eco tourism dan sektor pertanian serta perikanan. Sawah padi yang menghijau dapat mengeluarkan purata hasil sebanyak 8 metrik tan per hektar menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Keberangkatan Tuanku memberi rangsangan terhadap usaha menggembeleng potensi ekonomi negeri oleh rakyat Sekinchan yang amat rajin bekerja untuk meningkatkan produktiviti dan menjayakan dasar food security (jaminan bekalan makanan) untuk negara. Sekinchan akan terus maju dan sejahtera di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, patik amat berpuas hati dengan prestasi kerja YB Ng Sue Lim, Ahli Dewan Negeri Sekinchan yang rajin bekerja, komited dana mat popular di Sekinchan.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Negeri Selangor terus maju dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Selangor terus melangkah ke hadapan dalam penguasaan teknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, bioteknologi dan juga sektor pertanian moden.

Sektor ekonomi desa adalah amat penting memandangkan 30 peratus rakyat Selangor masih menetap di desa.

Justeru, ekonomi desa perlu dimodenkan untuk menyediakan peluang pekerjaan generasi muda serta tidak memaksa warga desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Kerajaan Negeri tuntas untuk mengangkat mutu kehidupan masyarakat desa di Sekinchan ke tahap yang setara dengan kehidupan moden.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mahu watak dan jati diri kedesaan dikekalkan dengan persekitaran yang bermasyarakat, bergotong–royong, bekerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

Nama Sekinchan dalam Bahasa Cina membawa maksud ‘kampung yang sesuai bercucuk tanam’. Berkat namanya, begitulah potensinya.

Sekinchan hari ini merupakan kawasan yang subur dengan hasil padi, buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan dan pelbagai hasil laut.

Hari ini, Sekinchan merupakan penyumbang terbesar kepada penghasilan padi Negeri Selangor sekaligus menjadikan Selangor sebagai pengeluar hasil padi tertinggi di Malaysia.

Ini didorong oleh penggunaan teknologi pertanian dan kaedah tanaman yang moden. Sekinchan juga memiliki tanaman buah-buahan serta herba yang dikomersialkan untuk pasaran domestik dan ekspot.

Sementara itu, industri perikanan di Sekinchan juga berkembang dengan pesat di Bagan Sekinchan.

Hasil laut yang dikeluarkan di Bagan Sekinchan ini bukan sahaja untuk kegunaan penduduk Daerah Sabak Bernam tetapi juga turut menyumbang kepada permintaan hasil laut bagi pasaran dalam dan luar negara.

Kerajaan Negeri tuntas menjadikan konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ sebagai asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor.

Agrofest Selangor 2017 yang berlangsung selama 4 hari di Perkarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan berakhir semalam telah berjaya menarik seramai 200,000 pengunjung. Program ini telah memberi peluang kepada lebih 100 usahawan tani untuk mempromosikan produk tani mereka dalam satu Ekspo pertanian yang terbesar di Negeri Selangor .

Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Haji Zaidy Bin Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, MARDI dan PKPS yang telah menggembeleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di Negeri Selangor.

Kita komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai sektor peneraju ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

Justeru itu, selaras dengan misi dan visi pembangunan Daerah Sabak Bernam ke arah perbandaran agropolitan menjelang tahun 2025, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan berusaha membangunkan Sekinchan sebagai Bandar Pelancongan dan Perindustrian di Daerah Sabak Bernam.

Rancangan ini telah diterjemahkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025 yang telah diwartakan pada 8 Oktober 2015 yang lalu.

Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri pelancongan di Sekinchan, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan untuk memberi informasi berhubung pelbagai produk pelancongan di Sekinchan yang menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu.

Ampun Tuanku,

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Patik sekali lagi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan pada pagi ini.