Ucapan

Sidang DUN Selangor – Ucapan Perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012

By Julai 11, 2012 One Comment

Tuan Speaker

1. Hari ini kita akan membahaskan suatu enakmen yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 bagi menggunakan sejumlah RM 120,888,126.23 daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk menampung perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2012 yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya oleh Enakmen Perbekalan (2012) 2011.

2. Dalam membahaskan cadangan untuk memperolehi peruntukan tambahan ini, Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bertanggungjawab perlu menilai prestasi kewangan Negeri. Hari ini, kita boleh meluluskan enakmen ini kerana kedudukan Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat amat kukuh dan amat baik.

3. Pada tahun 2008, Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM 674 juta. Pada tahun 2010, akaun ini meningkat kepada RM 732 juta dan terus melonjak kepada RM 913 juta pada tahun 2011. Untuk tempoh suku tahun kedua 2012, Akaun Hasil Disatukan mencatatkan angka yang tertinggi iaitu melebihi RM 1 bilion. Manakala, untuk tempoh suku tahun kedua 2012 iaitu sehingga 30 Jun 2012, Kumpulan Wang Disatukan atau rezab Negeri Selangor yang merangkumi Wang Tunai dan juga Pelaburan mencatatkan jumlah yang paling kukuh iaitu RM 2.1 bilion.

4. Saya memulakan mukaddimah perbahasan dengan mengajak Ahli-Ahli Dewan Negeri melihat dan menilai prestasi kewangan Negeri kerana kita tidak mahu mengulangi amalan boros dan tidak berhemah Kerajaan Pusat. Pentadbiran Kerajaan Pusat yang ada pada hari ini paling kerap mengadakan perbekalan tambahan sehingga menjadi suatu hal yang mesti berlaku dalam setiap sesi Parlimen. Ini bermakna ada kelemahan dari sudut perancangan dan unjuran yang dibuat oleh Kerajaan Pusat sehingga unjuran yang dibuat dalam sesi Belanjawan tidak pernah tepat.

5. Perbekalan tambahan boleh dilakukan sekiranya ada krisis ekonomi yang mendesak atau malapetaka seperti tsunami di Jepun sehingga unjuran asal tersasar dan menuntut Kerajaan untuk menyediakan perbelanjaan luar jangka. Prinsip yang berikutnya ialah butiran dan perincian peruntukan tambahan sewajarnya dikaitkan untuk pelaburan; jaminan bahawa perbelanjaan tambahan ini akan menjadi pemangkin untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

6. Malangnya, Kerajaan Pusat gagal menjelaskan mengapa ada kewajaran untuk perbekalan tambahan dalam setiap sesi Parlimen. Dalam sesi Parlimen bulan Jun 2012 yang lalu, perbekalan tambahan berjumlah RM 13 bilion dipohon oleh Kerajaan Pusat untuk “non stimulus investments” yang tidak menjamin satu peningkatan dalam sektor pelaburan sebaliknya mengekalkan kedudukan ekonomi negara yang lembap dan menanggung defisit yang kian membengkak.

6. Apabila pimpinan tidak mampu mewujudkan
budaya tatakelola yang baik melalui “fiscal discipline” dan kegagalan mengurus ekonomi dengan membiarkan defisit terus membengkak akan menyebabkan keyakinan pelabur semakin berkurangan. RM 13 bilion yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini tidak memberi faedah langsung kepada rakyat tetapi membawa manfaat dan laba keuntungan untuk syarikat-syarikat kroni UMNO melalui pemberian subsidi.

7. Sebagai contoh, subsidi bahan bakar untuk IPP berjumlah RM 7.5 bilion; peningkatan sebanyak 44% daripada Belanjawan 2012 yang diluluskan hanya beberapa bulan lalu. Subsidi gula dinaikkan sebanyak RM 367 juta menjadikan jumlah subsidi gula sebanyak RM 567 juta untuk Tan Sri Syed Mokhtar. Manakala, subsidi tol yang diluluskan dalam Belanjawan 2012 sejumlah RM 343 juta, dinaikkan lagi kepada RM 446 juta menjadikan jumlah subsidi tol RM 789 juta untuk syarikat konsesi tol lebuhraya di Malaysia.

8. Amat jelas bahawa perbekalan tambahan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat menjurus kepada rasuah politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 melalui pemberian subsidi yang berlipat kali ganda untuk syarikat-syarikat kroni UMNO. Kerajaan Pusat menggunakan kuasa majoriti di Parlimen untuk memberikan subsidi besar kepada syarikat-syarikat besar bukan kepada rakyat.Untuk rakyat, diberikan RM 500 dan 4 biji tayarteksi dan propagandanya cukup meluas tetapi subsidi untuk syarikat-syarikat kroni berjumlah berbilion ringgit diberikan secara senyap.

9. Alhamdulillah, setelah saya meneliti perincian peruntukan tambahan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, perbekalan tambahan ini memenuhi dan menepati prinsip yang saya nyatakan di awal tadi iaitu peruntukan tambahan dikaitkan dengan pelaburan; jaminan bahawa perbelanjaan tambahan ini akan menjadi pemangkin untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

10. Peruntukan tambahan Kerajaan Negeri hari juga memberi faedah langsung kepada rakyat Selangor dan bukan subsidi untuk syarikat-syarikat kroni. Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk berbelanja demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

11. Walaupun Belanja Mengurus adalah 67% daripada jumlah perbekalan tambahan tetapi sebahagian besar daripadanya ialah untuk membayar Kenaikan dan Pelarasan Emolumen Berdasarkan Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) ekoran pembatalan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) baru-baru ini oleh Kerajaan Pusat. Sejumlah 33% lebihannya adalah untuk pembangunan demi rakyat.

12. Saya bersetuju supaya Kerajaan Negeri menyegerakan pembayaran pelarasan emolumen ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang telah berkhidmat dengan baik dan menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri demi untuk membangunkan Negeri Selangor ini. Kejayaan Kerajaan Negeri mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan baik adalah hasil dari kepimpinan yang bersih dan amanah, pentadbiran yang diasaskan kepada tatakelola yang baik serta mendapat dokongan dari Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam. Tahniah dan penghargaan saya ucapkan untuk pegawai dan anggota perkhidmatan awam di Negeri Selangor.

13. Peruntukan tambahan sejumlah RM 772,779.00 adalah wajar untuk tujuan emolumen dalam Peruntukan Di Raja. Kakitangan istana perlu diberikan pengiktirafan kerana khidmat mereka menjaga dan memuliakan institusi terpenting di Negeri Selangor iaitu Institusi Raja. Kita perlu mendukung sebarang usaha untuk mempertahankan kedaulatan Raja – Raja Melayu. Kita tidak mengambil daulat Raja seperti yang dilakukan oleh UMNO. Malahan kita mengharapkan Raja – Raja kita berdaulat dan terus menjadi payung keharmonian dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Negeri Selangor.

Pinang bulat di atas para,
Mengkuang disisir tidak akan layu,
Hilang daulat ke mana Raja,
Hilang Raja ke mana Melayu.

Tuan Speaker

14. Saya juga mendukung usaha Kerajaan Negeri untuk memberikan perhatian dan penekanan dalam pendidikan. Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti dalam Negeri Selangor dengan membangunkan modal insan yang terlatih dan berilmu. Usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kuota penerima biasiswa Kerajaan Negeri dari 1,000 kepada 2,000 orang penerima adalah usaha murni yang bertepatan dengan matlamat yang digariskan oleh Kerajaan Negeri dalam misi memasyarakatkan pemikiran dalam tradisi keilmuan.

15. Saya yakin peruntukan tambahan berjumlah RM 8,155,122.00 untuk Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor akan membuka peluang kepada anak-anak Selangor untuk memperolehi biasiswa bagi melanjutkan pengajian masing-masing dan pastinya mereka adalah aset terpenting
untuk menjamin masa depan Selangor yang sejahtera.

16. Sementara saya bersetuju dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan peruntukan untuk menambahbaik infrastruktur di Universiti Selangor (UNISEL) berjumlah RM 10 juta untuk tempoh 6 bulan yang akan datang, saya ingin mendapat penjelasan secara terperinci dari YAB Dato’ Menteri Besar tentang kedudukan kewangan sebenar UNISEL. Infrastruktur UNISEL amat perlu ditambahbaik dengan segera. Walaupun bangunan sudah siap dan sesi pengajian telah berjalan tetapi banyak masalah sedang mendepani pelajar dan warga kampus UNISEL seperti masalah sistem pembentungan yang menimbulkan bau busuk dan terdedah kepada masalah kesihatan dan juga masalah kebocoran paip.

17. Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah membentuk satu task force untuk membuat kajian menyeluruh mengenai masalah yang dihadapi oleh warga kampus yang boleh menjejaskan suasana pembelajaran di UNISEL. Apakah hasil kajian oleh task force ini dan siapakah yang bertanggungjawab dalam pembangunan kampus ini yang sarat dengan pelbagai masalah sehingga Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos penambahbaikan bernilai ratusan juta ringgit ?

18. Selama ini, Kerajaan Negeri sering menjadi sasaran serangan politik ekoran kenaikan yuran dan kos pengurusan kediaman pelajar. Dakwaan ini sememangnya tidak berasas dan cuba memberikan gambaran bahawa Kerajaan Negeri tidak mempedulikan kebajikan pelajar.

19. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung konsesi penyelenggaraan dan sewaan kolej kediaman pelajar di UNISEL dan juga KUIS. Perjanjian konsesi dengan syarikat – syarikat UMNO adalah berat sebelah serta mengaut keuntungan yang terlalu besar.

20. Sebagai contoh, bilik asrama yang tidak dihuni juga terpaksa dibayar oleh UNISEL dan KUIS. Hasilnya, perjanjian yang hanya berpihak kepada syarikat konsesi telah membebankan pelajar dengan kadar yuran pengajian yang tinggi.

21. Saya juga ingin mengetahui berapakah jumlah geran tahunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada KUIS dan UNISEL ? Kerajaan Negeri bertanggungjawab dan berhak untuk memastikan peruntukan geran ini sampai terus kepada pelajar dan bukannya disalurkan kepada syarikat konsesi.

22. Selain itu, Dewan ini juga perlu dimaklumkan tentang kepentingan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. yang dikatakan dimiliki oleh seorang pemimpin UMNO serta hubungannya dengan perjanjian konsesi yang dimeterai dengan UNISEL. Apakah tindakan yang telah diambil oleh UNISEL untuk mengkaji semula perjanjian sewaan memandangkan perjanjian tersebut membebankan pelajar – pelajar dengan yuran yang tinggi.

23. Secara keseluruhannya, apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membolehkan perjanjian asal dengan syarikat konsesi dibatalkan dan dirundingkan semula demi kebajikan pelajar – pelajar.

24. Untuk menjamin tahap pembelajaran yang kondusif, selesa dan terbaik untuk pelajar, infrastruktur serta kemudahan universiti harus terus dipertingkatkan supaya fokus pelajar kepada pengajian ilmu pengetahuan serta pendidikan nilai kemanusiaan tidak terjejas.

25. Oleh yang sedemikian, hasrat Kerajaan Negeri melalui peruntukan RM10 juta untuk usaha membaikpulih UNISEL harus dipuji dan digalakkan. Diharapkan semoga peruntukan ini menjadi pendorong kepada pelajar dan pensyarah untuk terus fokus kepada dunia akademik sementara isu – isu kebajikan dan keperluan mereka diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan.

26. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk bantuan pendidikan pelajar – pelajar UNISEL. Pengumuman tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri senantiasa konsisten dengan prinsip membela nasib rakyat. Namun begitu, apakah perancangan terperinci Kerajaan untuk menyalurkan bantuan ini dengan segera memandangkan komitmen Kerajaan Negeri kepada pelajar mendesak supaya bantuan ini disalurkan dalam masa yang singkat ? Diharapkan agar Kerajaan Negeri mempunyai mekanisme serta model bantuan pendidikan yang dapat membantu serta meringankan bebanan pelajar agar mereka lebih fokus untuk memastikan kejayaan dalam bidang akademik.

Tuan Speaker

27. Saya ingin mencadangkan selaras dengan peringatan untuk tidak menjadikan amalan peruntukan tambahan ini dalam setiap sesi Sidang DUN, peruntukan untuk Tabung Amanah Belanja Mengejut dan Tabung Bencana Negeri dijadikan butiran tetap dalam Belanjawan Negeri dengan jumlah bajet yang mencukupi mengikut unjuran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.

28. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri untuk mencadangkan peruntukan tambahan pembangunan berjumlah RM 28 juta bagi tahun ini. Namun, bagi sebuah Kerajaan Negeri yang mempunyai rezab bernilai RM 2.1 bilion, sudah tentulah peruntukan tambahan ini terlalu kecil. Kedudukan kewangan Negeri yang kukuh mampu mengeluarkan jumlah yang lebih berpatutan daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri khusus untuk pembangunan dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat Negeri Selangor.

29. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri meneliti semula jumlah ini dan mewujudkan dana khas untuk membangunkan semula medan selera dengan konsep baru dan juga gerai-gerai makan di Negeri Selangor. Pada ketika ini, medan selera dan gerai makan di bawah pentadbiran PBT. Kita sering mendapat aduan bahawa medan selera masih dengan konsep yang lama manakala premis makanan tidak diurus dengan baik khususnya dari segi kebersihan dan konsep mesra pelanggan.

30. Selain daripada itu, rata – rata premis makanan ini mempunyai keluasan 300 – 400 meter persegi. Ini menyebabkan ruang tempat memasak sempit serta kemudahan asas seperti kerusi meja tidak mencukupi. Pengurusan sisa kumbahan daripada premis ini yang hanya disalurkan ke dalam longkang menyebabkan bau busuk dan pastinya tidak disenangi oleh pelanggan.

31. PBT tidak mempunyai peruntukan untuk menambahbaik atau membaikpulih medan selera dan premis makanan apatah lagi untuk membangunkan semula. Sehubungan dengan itu, saya menggesa Kerajaan Negeri untuk segera menyediakan peruntukan khas untuk membaikpulih dan menambahbaik premis – premis makanan di bawah pentadbiran PBT.

32. Premis makanan yang baik perlu mempunyai keluasan dan kemudahan asas yang boleh menampung kira – kira 200 orang pelanggan dalam satu jangka masa. Kemudahan tambahan seperti WiFi dan kerusi meja yang cukup dan selesa akan menjadikan konsep yang lebih santai dan mesra pelanggan.

33. Berdasarkan inisiatif ini, Kerajaan Negeri dapat membantu peniaga-peniaga di Negeri Selangor supaya dapat meningkatkan pendapatan bulanan mereka hasil daripada perniagaan di premis yang menggunakan konsep baru yang moden, mesra pelanggan dan premis yang bersih.

Tuan Speaker

34. Saya juga ingin menyarankan supaya Kerajaan Negeri menyediakan dan akhas untuk menaiktaraf dan membaikpulih surau-surau dan masjid-masjid di Negeri Selangor. Walaupun JAIS dan Lembaga Zakat Selangor mempunyai peruntukan bagi maksud ini tetapi saya sering mendapat jawapan yang ‘standard’ iaitu peruntukan tidak cukup dan terpaksa menunggu giliran.

35. Kerajaan Negeri harus menyedari bahawa Negeri Selangor menjadi pusat penghijrahan rakyat Malaysia yang bermastautin untuk mencari pekerjaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, sebanyak 57.9 % rakyat di Negeri Selangor menganut agama Islam. Maka sudah tentu masjid dan surau adalah penting selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi masjid sebagai pusat transformasi umat Islam. Negeri Selangor juga sedang rancak membuka kawasan – kawasan perumahan yang baru dan pastinya pembangunan surau amat mendesak.

36. Sementara untuk membangunkan surau yang baru memerlukan kos pembangunan yang besar, surau – surau yang lama tidak boleh diabaikan dan perlu ditambahbaik dan diperbaiki. Untuk maksud ini, saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan yang sesuai bagi mencapai matlamat seperti yang dibangkitkan dalam perbahasan sebentar tadi.

MOHAMED AZMIN ALI
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa
9 Julai 2012

Comments

comments