Ucapan

Teks Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Ucapan Pujian Kontinjen SUKMA Selangor 2016

By August 2, 2016 No Comments
penutupsukma 5

penutupsukma 7penutupsukma 8penutupsukma 2

 

1 OGOS 2016

Tuan Speaker,

1. Pada 31 Julai 2016, tepat jam 9.34 malam di Stadium Sarawak, Kuching, Selangor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke 18.

2. Selangor meraih 59 pingat emas, 73 perak, 63 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 195 pingat. Pasukan renang Selangor telah memonopoli acara renang di SUKMA kali ini dan merupakan penyumbang pingat terbanyak buat kontinjen Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan 9 gangsa. Inilah Selangor. Bumi yang sarat dengan bakat.

3. Saya dan YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan bersama puluhan ribu rakyat Malaysia yang memenuhi Stadium Sarawak menyaksikan wajah-wajah riang atlet Selangor menjulang Piala SUKMA.

4. Nyata slogan ‘Tekad Juara’ berjaya menggilap semangat kesukanan dan iltizam para atlet, jurulatih dan pegawai sukan untuk melakar kejayaan sekaligus memartabatkan nama Selangor di persada sukan negara.

5. Maka, pada hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas pagi ini, Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada atlet Negeri Selangor yang telah berjaya membawa balik Piala SUKMA ke bumi Selangor.

6. Syabas dan tahniah kepada Dato’ Mohd Yasin Bin Mohd Salleh, Ketua Kontinjen (Chef de Mission) dan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor di atas kejuaraan ini. Kerajaan Negeri amat menghargai kegigihan setiap atlet, jurulatih, pegawai sukan dan warga Majlis Sukan Negeri Selangor yang diketuai oleh Haji Mohd Zubir Bin Haji Idrus menjulang panji Negeri Selangor dengan penuh semangat kesukanan di Bumi Kenyalang.

7. Saya juga ingin menyampaikan titah ucapan tahniah daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk atlet-atlet Negeri Selangor yang telah berjaya mengharumkan nama Negeri Selangor dalam sukan negara.

8. Kerajaan Negeri menjunjung kasih ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang telah berkenan berangkat ke Sarawak selama 3 hari untuk memberi sokongan kepada para atlet dan pegawai sukan Negeri Selangor.

9. Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor ke Perkampungan Sukan Kontinjen Selangor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan berangkat menyaksikan 7 acara sukan telah merangsang semangat kesukanan para atlet dan pegawai sukan untuk mara ke hadapan dan mencipta kejayaan.

10. Saya juga amat tersentuh dan gembira apabila YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Dato’ Penasihat Undang-Undang Negeri turun ke Sarawak untuk menyuntik semangat para atlet ketika mereka memerlukan sokongan moral untuk menghadapi cabaran SUKMA. Inilah Selangor yang muafakat. Muafakat membawa berkat.

11. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli, kejayaan kontinjen SUKMA 2016 Negeri Selangor wajar mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Negeri. Untuk maksud ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk meningkatkan pembayaran insentif kemenangan SUKMA ke 18 bagi Kontinjen Negeri Selangor dari RM 958,700 kepada RM 1.1 juta. Insentif tambahan ini akan memberi pengiktirafan kepada pemenang pingat emas individu bernilai RM 5,000 seorang. Pemenang pingat emas berpasukan akan menerima insentif kemenangan sebanyak RM 2,000 – RM 3,000 setiap orang.

12. Kerajaan Negeri akan meraikan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor di Majlis Sambutan Eidul Fitr bersama warga perkhidmatan awam Negeri Selangor pada hari Rabu, 3 Ogos 2016 di Dataran SUK.

Kejayaan ini adalah hasil daripada perancangan yang strategik, latihan yang bersepadu, tenaga jurulatih yang mahir, kerjasama yang baik dengan persatuan – persatuan sukan dan pegawai – pegawai sukan yang mempunyai visi untuk memartabatkan sukan. Kerajaan Negeri Selangor juga memberi perhatian terhadap usaha untuk menaiktaraf kemudahan sukan yang dilengkapi dengan kemudahan yang selesa dan berteknologi tinggi yang dapat mewujudkan aktiviti – aktiviti sukan bertaraf antarabangsa.

Kejayaan ini juga membuktikan wujudnya renaissance atau kebangkitan semula sukan di Negeri Selangor. Negeri ini bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga maju dalam arena kesukanan.

Negeri Selangor bertekad untuk memacu kegiatan ekonomi secara holistik. Selain perspektif ekonomi yang berasaskan pengeluaran produk, Kerajaan Negeri juga mahu memberdaya perspektif ekonomi lain khususnya soft sector seperti kegiatan sukan yang turut mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi.

Majlis Sukan Negeri telah merangka satu pelan pembangunan sukan lima (5) tahun bagi tempoh 2016 – 2020 sejajar dengan gagasan Smart Selangor.

Sektor sukan akan dibangun untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang sihat dan berjiwa sukan. Pada masa yang sama, sukan akan dipertingkatkan pembangunannya bagi merangsang industri sports tourism sekaligus menjadi destinasi pelancongan untuk peminat sukan.

Tuan Speaker,

Kejayaan menjuarai SUKMA 2016 dan sebelum ini Piala Malaysia telah menggilap semangat kesukanan Negeri Selangor. Kita mengucapkan tahniah kepada semua atlet Selangor. Kita akan menggembeleng segala potensi kesukanan di kalangan generasi muda dan rakyat Negeri Selangor untuk mencipta sejarah baru dalam arena kesukanan di masa akan datang.

Tuan Speaker,

Saya merakamkan kenyataan ini dalam Dewan yang mulia ini sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor di atas kejayaan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor.

Terima kasih.

Comments

comments