Selangor

Titah Ucapan D.Y.M.M. Sultan Selangor Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017

By Mac 27, 2017 No Comments
f10fdae0-1fa2-40c6-98f4-ad9b123fdfde

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Beta, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan inayah-Nya, Beta dapat menyempurnakan Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

Sejak Pembukaan Persidangan Dewan Negeri pada tahun lalu, Beta telah menyaksikan ekonomi negeri Beta terus berkembang selari dengan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Sebagai penyumbang utama kepada KDNK Malaysia, Selangor merupakan negeri terpenting dalam memastikan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020. Ekonomi Selangor menjadi indikator utama prestasi ekonomi Malaysia di mana Selangor mendominasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Alhamdulillah, KDNK per kapita Selangor telah meningkat kepada Ringgit Malaysia Empat Puluh Dua Ribu Enam Ratus Sebelas (RM 42,611) dan melebihi paras nasional. Pendapatan isi rumah juga telah meningkat dan kini Selangor menduduki ranking ke 3 selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Komitmen Kerajaan Negeri yang bersepadu dalam menangani masalah kemiskinan rakyat dilihat berjaya mengeluarkan Selangor dari belenggu kemiskinan dan mencatat insiden kemiskinan kosong perpuluhan dua peratus (0.2%) sahaja berbanding Malaysia pada kadar kosong perpuluhan enam peratus (0.6%).

Keadaan ini mencerminkan pencapaian ekonomi Negeri Selangor lebih baik dan kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan cabaran.

Beta yakin pencapaian ini terbina hasil daripada gagasan Kerajaan Negeri Beta serta sikap dan usaha Ahli-Ahli Dewan Negeri yang responsif kepada aspirasi dan tuntutan rakyat. Semangat ini wajar ditingkatkan lagi memandangkan senario 2017 yang mencabar. Ini menuntut semua Ahli Dewan Negeri memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat dan menjadikan Dewan yang mulia ini sebagai tempat untuk mengemukakan idea serta saranan yang progresif untuk mengekalkan momentum yang positif ini.

Beta berkenan Dewan Negeri Selangor telah meluluskan    Belanjawan 2017  berjumlah  Ringgit Malaysia   Tiga   Perpuluhan   Empat   Lima    Bilion   (RM 3.45 bilion), peruntukan terbesar yang pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.

Memanda Beta telah mengambil langkah bijak dan berani dengan meningkatkan peruntukan pembangunan kepada lima puluh dua perpuluhan dua peratus (52.2%). Ini bertepatan dengan konsep Selangor sebagai Negeri Pembangunan. Melalui langkah ini, rakyat akan mengecapi nikmat pembangunan yang melebar ke serata negeri.

Beta mengalu-alukan peningkatan peruntukan pembangunan dari tahun ke tahun.  Peruntukan pembangunan  pada  tahun  2015 yang berjumlah Ringgit  Malaysia  Satu  Perpuluhan  Satu Tiga Bilion (RM 1.13 bilion) telah ditingkatkan kepada Ringgit Malaysia Satu  Perpuluhan  Lapan  Kosong  Bilion  (RM 1.80 bilion) pada tahun 2017.

Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan projek-projek pembangunan disiapkan mengikut jadual. Pembangunan yang terancang akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi Negeri Selangor.

Sayugia Beta mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri bahawa economic fundamentals bukan lagi tertumpu kepada persoalan balance of payments dan angka ekonomi semata-mata tetapi asas ekonomi hari ini mestilah merangkumi integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik dan institusi yang berwibawa.

Beta amat sukacita apabila prinsip-prinsip yang Beta nyatakan tadi telah mendasari pentadbiran Kerajaan Negeri dan telah menyuntik keyakinan para pelabur untuk berlabuh dan mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan.

Menurut Laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA), sehingga 31 Disember 2016, Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Perpuluhan Lapan Puluh Lapan Bilion (RM 7.88 bilion) dengan lebih lima puluh peratus (50%) pelaburan dikuasai oleh pelabur tempatan. Beta mahu pelaburan yang besar ini berupaya mewujudkan ‘value creation’ bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat Beta.

Pelaburan ini telah mencipta enam belas ribu empat ratus dua puluh tujuh (16,427) peluang pekerjaan dan dua ratus empat puluh dua (242) projek perkilangan iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan di Malaysia.

Beta yakin Invest Selangor akan terus mengekalkan kecemerlangan dan maju ke hadapan dengan mendakap gerakan Industri 4.0 yang meliputi kemajuan dalam digital fabrication technologies. Invest Selangor mesti menjamin hasil yang positif dalam lima kluster yang telah ditetapkan iaitu elektrik & elektronik, sains hayat, makanan dan minuman, peralatan pengangkutan serta jentera dan peralatan.

Invest Selangor harus meneruskan kerjasama dengan MIDA dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) bagi menjamin kedudukan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara.

Beta mengikuti kesungguhan anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor khususnya di peringkat daerah dalam meningkatkan hasil bagi membiayai pembangunan negeri. Sebagai sebuah negeri maju dan berteknologi tinggi, usaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri perlu ditingkatkan termasuk mencari sumber baru dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanah.

Beta mahu peranan dan fungsi syarikat-syarikat milik Negeri dimantapkan melalui rasionalisasi aset termasuk menyatukan dan menyusun semula aset-aset dan menetapkan strategi perniagaan untuk penciptaan nilai yang mampan (sustainable value creation).

Sebagai contoh, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sewajarnya mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pemaju-pemaju swasta secara strategik disamping mengekalkan matlamat penubuhan PKNS untuk menyediakan perumahan rakyat yang mampu dimiliki dan berkualiti.

Kerajaan Negeri Beta telah melaksanakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah (house owning democracy) bagi menjamin hak rakyat untuk memiliki sebuah rumah yang affordable dan berkualiti.

Untuk mencapai matlamat ini, peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) harus diberdayakan untuk berfungsi sebagai agensi yang merancang dan membangunkan perumahan serta kawasan perbandaran untuk mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti.

Beta difahamkan sebanyak lebih dua puluh ribu unit Rumah Selangorku sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan semenjak dilancarkan pada tahun 2014 melalui smart-partnership dengan pemaju. Kemajuan ini perlu dipantau secara berkala untuk memastikan rakyat Beta dapat memiliki rumah dalam tempoh yang ditetapkan.

Beta berkenan masalah end-financing ditangani untuk membolehkan graduan muda dan kumpulan M40 memiliki rumah.

Malaysia Institute of Economic Research (MIER) melaporkan antara kekuatan Negeri Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat. Kerajaan Negeri Beta tuntas melaksanakan program meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat agar kemakmuran negeri ini dapat dinikmati oleh semua rakyat Beta.

Beta difahamkan bahawa rakyat Beta gembira tentang kejayaan pelbagai inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Pada tahun lalu, rakyat Beta bergembira mendapat perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di kesemua dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan. Perkhidmatan ini telah dinikmati oleh lebih enam pepuluhan empat (6.4) juta rakyat sekaligus meningkatkan mobiliti dan perhubungan masyarakat bandar dan desa.

Golongan peniaga kecil pula bergembira kerana Kerajaan Negeri Beta telah mengecualikan fi lesen perniagaan untuk gerai, pasar tani dan pasar malam. Orang-orang kampung dan pemilik rumah kos rendah bersyukur kerana Kerajaan Negeri Beta telah mengecualikan cukai taksiran selama dua tahun berturut-turut.

Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Beta terhadap kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi sedangkan pendapatan mereka yang boleh dibelanjakan atau disposable income semakin menguncup.

Beta mengucapkan tahniah kepada Memanda Dato’ Menteri Besar yang terus tampil dengan idea-idea baru. Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa diperkenalkan dengan tumpuan khusus kepada golongan B40 dan mahasiswa. Program ini adalah cerminan rasa peduli Kerajaan Negeri dalam sektor pendidikan dan kesihatan rakyat.

Beta amat berbangga kerana negeri Beta merupakan negeri pertama memperkenalkan Skim Pembiayaan Rawatan Kesihatan Asas atau primary care kepada rakyat. Dengan pembiayaan Ringgit Malaysia Seratus Dua Puluh Lima Juta (RM 125 juta), dapatlah rakyat Beta melakukan saringan kesihatan secara percuma untuk mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit yang tidak berjangkit.

Program Peduli Sihat dapat menjamin rakyat Beta sihat dan bertenaga serta menyumbang kepada produktiviti negeri. Skim Peduli Sihat ini adalah terunggul di Malaysia dan hanya di Negeri Beta.

Beta ingin menasihatkan agar kegiatan sukan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda negeri untuk mempertingkatkan mutu kesihatan rakyat.

Langkah proaktif Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Juta (RM 10 juta) untuk Program Peduli Siswa pula telah memberi kemudahan kepada anak-anak Selangor di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membiayai pengajian mereka. Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu.

Pada hemat Beta, pendidikan tinggi perlu menjalani transformasi dengan pembaharuan drastik dan menyeluruh. Selain daripada menghasilkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, institusi pengajian tinggi juga perlu menyediakan modal insan yang berkemahiran tinggi.

Kecekapan, kepakaran teknikal, pemerolehan serta peningkatan soft skills dan hard skills akan memastikan keluaran graduan dapat memenuhi keperluan industri dan negeri. Ini penting untuk mencapai matlamat knowledge economy dan gagasan menjadikan Negeri Selangor sebagai Smart State.

Generasi muda mempunyai potensi untuk maju sebagai usahawan. Ekonomi Selangor yang rancak membuka peluang perniagaan buat mereka untuk menjana mobiliti, mengurangkan kebergantungan dan melebarkan kemakmuran di kalangan golongan yang terpinggir. Beta gembira Kerajaan Negeri komited untuk melatih dan mengupayakan generasi muda bagi membina kepakaran, memahami persekitaran perniagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan termasuk melaksanakan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

Sementara itu, Selangor mencatatkan peratusan kebolehpasaran (employability) wanita yang lebih tinggi berbanding lelaki. Ini mencerminkan sikap daya maju wanita Selangor. Beta berkenan dengan penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) untuk merencana dasar dan kebijakan yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Negeri Selangor.

Dua hari yang lalu, Beta telah berangkat menyertai usaha Kerajaan Negeri dalam Program Tanam Pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa yang turut melibatkan rakyat Beta dan juga mahasiswa.

Hutan merupakan khazanah semulajadi yang amat kaya dengan pelbagai sumber asli dan biodiversiti. Khazanah hijau ini perlu dipelihara bagi menjamin ekosistem alam semulajadi dalam pembangunan yang mampan.

Pembangunan sungai berperanan untuk menjamin ekosistem alam sekitar yang mampan. Justeru itu, kebersihan sungai amat penting. Bertahun-tahun lamanya Sungai Klang sarat dengan sampah sarap terapung sehingga menjadi pulau. Beta amat gembira dengan kesungguhan dan kejayaan KDEB Waste Management yang telah membersihkan Sungai Klang dengan mengeluarkan lebih lapan belas ribu (18,000) tan sampah sehingga mergastua kembali dalam ekosistem tersebut.

Air adalah sebahagian daripada ekosistem yang harus dipelihara. Air adalah talian hayat kemanusiaan. Beta berkenan dengan sikap proaktif Kerajaan Negeri yang mengambil langkah-langkah untuk memelihara sumber air negeri.

Justeru itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang merupakan agensi pengurusan sumber air mentah yang pertama mempunyai enakmen perlu memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dibuat secara efektif, mampan dan strategik.

Beta berkenan semua pihak termasuk rakyat dan agensi Kerajaan untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan air. Pelaksanaan Sistem Pengutipan Air Hujan (SPAH) adalah satu langkah permulaan yang positif ke arah konservasi air.

Pengurusan Air Selangor perlu meneruskan usaha memberi perkhidmatan air secara holistik, efisyen dan kos efektif serta mengambil peduli tentang keperluan rakyat dan industri.

Beta amat sukacita kerana Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah Ringgit Malaysia Empat Ratus Juta (RM 400 juta) untuk menggantikan paip-paip air lama secara berperingkat sepanjang empat ratus dua puluh dua (422) kilometer demi memastikan kualiti dan bekalan air terus terjamin. Usaha ini dapat mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan mengelakkan gangguan bekalan air yang berpunca daripada masalah paip pecah atau bocor.

Beta menyambut baik langkah proaktif Air Selangor yang telah membuat audit menyeluruh ke atas semua aset air dalam usaha untuk meningkatkan kelangsungan (reliability) sistem bekalan air. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan Ringgit Malaysia Enam Puluh Juta (RM 60 juta) untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf rumah pam dan kolam-kolam air.

Beta mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri yang telah mengambil keputusan untuk membina dua buah loji rawatan air yang menelan belanja Ringgit Malaysia Lapan Ratus Juta (RM 800 juta). Pembangunan ini penting untuk menampung keperluan air terawat khususnya di kawasan selatan Negeri Selangor termasuk Daerah Kuala Langat.

Pembangunan dua loji rawatan ini menggunakan konsep Off River Storage (ORS) yang mampu mengekalkan bekalan air mentah sekalipun berlaku pencemaran di sungai selain dapat berfungsi sebagai kolam takungan bagi mengelakkan risiko banjir di penempatan hiliran sungai.  Ini adalah antara langkah-langkah jangka panjang bagi menjamin kelangsungan bekalan air yang lestari untuk rakyat Beta.

Beta juga berkenan kerana Kerajaan Negeri telah menjalankan kerja-kerja secara menyeluruh dan mengambil langkah-langkah yang terbuka dan telus dalam memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air bagi memelihara kepentingan rakyat Negeri Selangor. Beta difahamkan Kerajaan Persekutuan turut mengambil langkah yang sama seperti langkah Kerajaan Negeri melantik penilai bebas untuk menentukan nilai pengambilalihan. Justeru, Beta berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat memuktamadkan proses ini dengan menjamin kepentingan negeri dan rakyat.

Oleh itu, Beta mahu semua pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air semata-mata kerana kepentingan sempit kumpulan sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.

Sementara kita bersyukur dengan kejayaan Selangor, janganlah kita lupa aspek kebudayaan dan jati diri. Rakyat Beta harus memahami sejarah dan asal muasal Kerajaan Negeri ini untuk memperkukuhkan kefahaman tentang konsep Raja Berperlembagaan.

Beta berbangga dengan sikap Memanda Beta yang tegas menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Prinsip ini merupakan tiang seri yang menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Disini Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada rakyat Negeri Selangor yang dikasihi, supaya sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain, baik dari segi agama dan adat resam, serta dapat hidup dengan aman dan damai di dalam satu negeri yang berbilang kaum ini.

Beta amat terharu dapat berangkat hadir untuk meraikan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang terzahir semasa Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Semangat ini perlu terus disuburkan demi kelangsungan sebuah negeri yang maju.

Kemajuan negeri perlu diseimbangkan dengan aspek moral dan kerohanian. Beta gembira Kerajaan Negeri giat membangunkan institusi agama Islam termasuk 60 projek pembinaan masjid, Sekolah Rendah Agama dan Kompleks Islam Daerah dengan kos lebih RM 174 juta sejak 2015 bagi mengembangkan syiar Islam.

Masjid perlu kembali berperanan sebagai pusat pengembangan dan kemajuan intelek serta mengekalkan masjid sebagai tonggak ibadah dan kerohanian. Umat Islam di Selangor perlu berpegang kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menekankan pendekatan kesederhanaan dan ilmu. Islam menganjurkan perdamaian dan hubungan baik sesama manusia.

Sekiranya Ahli-Ahli Dewan Negeri berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan bersedia meraikan perbedaan, Beta menaruh keyakinan bahawa segala yang kusut dapat dirungkai, yang seteru dapat berdamai dan akhirnya negeri ini bertambah permai.

Sebelum Beta mengakhiri ucapan Beta ini, Beta ingin menyatakan bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negeri. Dalam hal ini, Beta berkenan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang stabil dan meletakkan agenda peduli rakyat mengatasi polemik dan politik sempit. Amat malang sekali, politik hari ini dicemari dengan kebencian, kemarahan, fitnah, menimbulkan salah faham antara satu sama lain dan perkauman sempit. Beta berkenan Kerajaan Negeri meneruskan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai.

Beta mendoakan semoga persidangan kali ini dapat menggembleng kesatuan tenaga dan pemikiran dengan satu matlamat untuk Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Maka, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

 

Selamat bersidang.

 

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.