Ucapan

Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Majlis Rumah Terbuka dan Perasmian Bangunan Institut Darul Ehsan (IDE)

By Julai 7, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-07-06 at 13.58.31

Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bertemu dalam suasana yang cukup meriah bagi meraikan Hari Raya Eidul Fitr. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitr.

Eidul Fitr adalah hari kemenangan dan kegembiraan umat Islam selepas kepatuhan kepada Allah SWT dan berjaya melakukan penyucian diri – tazkiyatun nafs dan kembali kepada fitrah.

Marilah kita merayakan Eidul Fitr ini dengan penuh ketaqwaan dan kesederhanaan serta memperkukuh silaturrahmi sesama kita. Sesungguhnya persaudaraan dan muafakat yang erat adalah fitrah manusia yang harus dipereratkan khususnya dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.

Demokrasi menuntut government-of-the-day peka dengan hasrat rakyat dan market of public opinion yang dinamik. Sebuah Kerajaan perlu merasai denyut nadi rakyat dan memberi ruang sepenuhnya kepada partisipasi rakyat.

Atas keinsafan ini lah, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menubuhkan Institut Darul Ihsan (IDE) untuk menjadi wahana kepada percambahan fikiran dan meraikan public contestation of ideas. Usaha ini memerlukan sikap terbuka dan inklusif serta keghairahan untuk membentuk rangkaian dengan pelbagai badan termasuk masyarakat madani dan individu pemikir.

Sebuah Kerajaan yang demokratik perlu berupaya berdepan dengan fenomena ini. Mana-mana Kerajaan yang tidak dapat menerima hakikat  ini adalah government in denial, seperti burung unta untuk yang menanam kepalanya di dalam pasir untuk tidak mengetahui apa yang berlaku di persekitarannya.

Dalam suasana semasa di mana masyarakat bertambah kompleks, matang dan mengetahui hak-hak mereka sebagai warganegara, cabaran bagi Kerajaan adalah untuk merangkul dan memahami tuntutan mereka. Mengurus dan mengemudi tuntutan ini secara bertanggungjawab demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara merupakan cabaran yang bukan kepalang. Ini selaras dengan anjuran Abraham Lincoln : “You cannot escape the responsibility of tomorrow by evading it today”.

Maka, cabaran ini menuntut Institut Darul Ehsan (IDE) tampil sebagai sebuah think tank untuk membantu Kerajaan Negeri merangka kebijakan yang dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negeri serta memelihara kesuburan demokrasi.

Sejak abad yang lalu, think tank seperti  Brookings Institution, RAND Corporation, Council on Foreign Relations dan Chatham House muncul sebagai institusi yang mentakrifkan agenda negara dan wacana awam dalam sektor ekonomi, keselamatan, strategi dan kebijakan sosial.

Kejayaan menakrifkan ini adalah hasil daripada vibrant and robust discourses dengan pelbagai stakeholders dan menampilkan kecerdasan akademik. Dalam hal ini, IDE perlu lebih proaktif dan inklusif untuk temu tembung dengan Kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan rakyat secara keseluruhannya.

Jika suatu masa dahulu surat khabar dan majalah diberikan jolokan sebagai the Fourth Estate, kini think tank berperanan sebagai The Fifth Estate yang berpotensi mempengaruhi pendapat awam dan hala tuju serta pilihan dalam dasar ekonomi, sosial dan keselamatan.

Setahun yang lalu Brookings Institution menerbitkan kajian James G. McGann yang bertajuk The Fifth Estate: Think Tanks, Public Policy and Governance yang melakarkan peranan penting think tank selepas Perang Dunia Kedua.

Think Tank mencerminkan kuasa intelektual sesebuah negara. Justeru itu, Global Go To Think Tank Index Report 2016 melaporkan lonjakan jumlah think tank di China (435) dan India (280) yang mencerminkan kemunculan kembali dua negara Asia sebagai kuasa besar dunia dan peri pentingnya brain power sebagai satu dimensi penting.

Pelaburan yang diberikan oleh negara-negara Asia terhadap pembangunan kuasa intelek mula mengimbangi dominasi brain power Amerika dan Eropah.

Kemunculan think tank dewasa ini juga adalah sejajar dengan kebangkitan knowledge economy dan tuntutan kepada demokrasi yang kini menjadi fokus Negeri Selangor. Saya juga menyeru sektor swasta untuk melabur dalam pembinaan brain power Negeri Selangor melalui penubuhan think tank yang bebas di mana Kerajaan Negeri akan mendapat manfaat daripada kajian bahkan mendapat kritikan yang membangun daripada badan-badan pemikir tersebut.

Justeru, sebagai sebuah badan pemikir, IDE mesti berupaya untuk merangkul kepakaran yang ada dalam pelbagai bidang strategik di universiti-universiti untuk bertamu di IDE dan menterjemahkan usaha kajian mereka dalam bentuk dasar yang boleh dimanfaat oleh Kerajaan Negeri.

Setelah 60 tahun merdeka dan jumlah universiti meningkat, Malaysia kini memiliki brain power yang besar dalam bidang ekonomi, sosial, keselamatan dan teknologi. Kita tidak boleh membiarkan kecerdasan dan aset intelektual terabai dan tidak dimanfaatkan. Mereka hanya sebagai sarjana dan pengajar sedangkan ilmu mereka boleh dimanfaatkan sebagai kebijakan awam untuk dilaksanakan oleh pemerintah.

Kepakaran mereka dalam pelbagai bidang boleh dijana menerusi kolokium nasional, serantau dan antarabangsa demi mengemudi usaha penyelesaian ke atas isu geopolitik serta isu semasa yang melibatkan soal keselamatan dan kestabilan serantau.

Sebagai contoh, IDE boleh memulakan usaha menyemak semula peranan ASEAN yang semakin mencabar. Ini termasuklah dalam isu Laut China Selatan yang memerlukan permuafakatan atau regional consensus.

Dalam konteks agenda nasional di mana masyarakat di Selangor adalah masyarakat yang pelbagai agama, budaya dan latar belakang, IDE perlu melihat keperluan untuk mewujudkan dialog tamadun dan kebudayaan sebagai panduan generasi millennials.

Dalam sektor pendidikan, IDE juga bertanggungjawab memberi saranan dan pandangan dalam usaha memperkukuh dasar pendidikan negara agar lebih inovatif termasuk dengan memperluaskan program kemahiran teknikal dan vokasional (TVET). Selain itu, IDE juga harus membangunkan generasi kepimpinan masa hadapan yang berupaya untuk mendepani cabaran semasa yang dihadapi oleh negara dan rantau ini.

Dalam aspek ekonomi, IDE perlu melihat kembali dasar ekonomi negara secara holistik yang bukan sahaja perlu menjamin keadilan sosial tetapi menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Selain itu, IDE perlu segera melihat dasar-dasar baru yang dapat menjana pertumbuhan dan memastikan kesediaan kita untuk menghadapi gelombang Industri 4.0 selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi smart regional state.

Untuk memastikan objektif penubuhan IDE dapat dicapai dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri membantu menyediakan sejumlah peruntukan untuk memastikan IDE dapat berfungsi dengan efektif dan efisyen. Kerajaan Negeri telah mempertingkat jumlah peruntukan daripada RM 2 juta kepada RM 5 juta kepada IDE.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah kerana IDE telah bergerak ke arah merealisasikan usaha ini dan saya yakin dengan kemudahan dan prasarana premis baru sebagai nukleus ini, kita dapat melaksanakan usaha-usaha pencerahan dan pencerdasan masyarakat secara berterusan sekaligus merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Akhirnya, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pelancaran Bangunan Institut Darul Ehsan di Seksyen 15, Shah Alam.

Sekian, terima kasih.