Ucapan

Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Festival Smart Trak Selangor 2017 & Pelancaran Garis Panduan Trak Bergerak

By April 3, 2017 No Comments
smart trak

Hari ini kita berhimpun sempena Festival Smart Trak Selangor dan pelancaran Garis Panduan Trak Bergerak Negeri Selangor 2017 sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan usahawan khususnya generasi muda di Negeri Selangor.

Cabaran ekonomi semasa hari ini cukup getir. Ini menuntut peniaga dan usahawan agar lebih kreatif dan inovatif dalam memenuhi permintaan termasuk produk yang berkualiti, harga yang berpatutan dan perlu merangka strategi pemasaran yang lebih berkesan dan mudah akses kepada pembeli.

Perniagaan ‘food truck’ merupakan satu perkembangan baru yang menarik perhatian awam dan menjadi pilihan para usahawan hari ini. Konsep mobiliti ini memberi kemudahan kepada usahawan untuk bergerak ke lokasi atau destinasi yang mendapat tumpuan pelanggan dan permintaan yang lebih besar. Ini membolehkan usahawan meraih pendapatan yang lebih daripada perniagaan di premis.

Hari ini, ‘food truck’ merupakan trend yang berkembang seiring dengan perkembangan e-commerce sebagai salah satu medium pemasaran. Hal ini menjadikannya popular dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat khususnya dikalangan generasi muda atau Gen Y.

Gen Y atau “Millenials” mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan masa depan masyarakat. Justeru, Kerajaan Negeri tidak boleh meremehkan pandangan dan aspirasi mereka. Begitu juga dengan perniagaan dan perusahaan, ia harus memberi tumpuan kepada “Millennials” jika ia ingin terus berkembang dan maju.

Belia merupakan teras terpenting untuk memacu ekonomi negeri dan negara. Maka, menjadi tuntutan Kerajaan Negeri untuk melakukan yang terbaik bagi membantu perkembangan daya keusahawanan dikalangan generasi muda secara teratur dan tersusun.

Alhamdulillah, Negeri Selangor merupakan negeri yang pertama yang memperkenalkan garis panduan perniagaan Smart Trak yang merangkumi perniagaan makanan, barangan dan perkhidmatan untuk memastikan lebih ramai usahawan dapat menceburi perniagaan dan meraih peluang perniagaan yang teratur dan sistematik.

Garis panduan ini penting bagi memupuk kesedaran yang lebih tinggi tentang budaya kebersihan dan hygiene dikalangan peniaga. Jika kita patuh kepada garis panduan dan mematuhi peraturan asas untuk memastikan persekitaran yang bersih, kaedah penyediaan hidangan yang hygienic, sistem pelupusan yang betul serta sampah yang minima, saya yakin kita tidak akan hanya melihat syarikat dan perniagaan berjaya dan berkembang maju dari segi ekonomi tetapi juga lebih mesra alam dan kondusif ke arah pembangunan masyarakat yang bersih. Usaha ini juga akan merealisasikan matlamat pembangunan yang mampan.

Justeru itu, saya yakin garis panduan ini dapat membantu golongan usahawan muda supaya lebih produktif dan berdaya saing dalam usaha meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat di Negeri Selangor.

Kita mahu garis panduan yang disediakan ini menjadi panduan kepada usahawan untuk memberdaya perniagaan, menjamin keselamatan dan keteraturan serta menjadikan konsep perniagaan ini lebih menarik. Para usahawan boleh memberi maklum balas, idea dan pandangan dalam usaha memperkukuh garis panduan ini.

Saya berterima kasih di atas penyertaan para usahawan dari Pulau Pinang dalam program ini. Inisiatif ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi usaha membangun dan memberdaya usahawan di Selangor dan Pulau Pinang untuk menyumbang kepada kedinamikan ekonomi negara.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Festival Smart Trak Selangor 2017 dan seterusnya melancarkan Garis Panduan Trak Bergerak (Makanan, Barangan dan Perkhidmatan) Negeri Selangor.

Sekian, terima kasih.