Ucapan

Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Pesta Buku Selangor 2017 & Agenda Pencerahan Selangor

By April 3, 2017 No Comments
pesta buku

Saya bersyukur dan gembira kerana pada hari ini kita dapat menyaksikan minat dan kecintaan rakyat Negeri Selangor terhadap buku dan budaya ini akan menjamin tradisi keilmuan terus utuh dan berkembang di Negeri Selangor.

Pesta buku merupakan wadah pertemuan antara peminat buku, penulis dan industri buku. Pesta Buku Selangor mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membudayakan tradisi keilmuan melalui pembacaan buku-buku yang berkualiti demi Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri. Kerajaan Negeri yakin, potensi industri buku dan penerbitan karya yang bermutu akan menyumbang kepada usaha meluaskan ufuk intelektual.

Kerajaan Negeri telah pun memulakan inisiatif ke arah mencapai matlamat ini melalui Agenda Pencerahan Selangor. Kerajaan Negeri mempelopori gerakan penterjemahan karya-karya antarabangsa yang akan meningkatkan korpus karya ilmiah dalam Bahasa Melayu. Kehadiran karya-karya dunia dalam Bahasa Melayu sudah barang pasti akan menjadi perangsang untuk kita merancakkan wacana intelektual.

Karya-karya agung dunia seperti “Abraham Lincoln: Tahun-tahun Di Prairie”, Biografi Presiden Indonesia “Abdurrahman Wahid: Dari Pesantren Ke Istana”, Biografi pemikir Rifa’a al-Tahtawi “Imam Di Kota Paris”, “Periklis: Anthens Dan Kelahiran Demokrasi” serta banyak lagi selesai diterjemahkan. Semua judul yang dipilih adalah penting bagi mendedahkan pemikiran besar dunia kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Melalui Agenda Pencerahan Selangor, Kerajaan Negeri turut mempelopori satu inovasi strategik dalam penyebaran ilmu, idea dan karya bermutu di kalangan rakyat melalui penerbitan buku audio. Selangor bukan sahaja negeri pertama di Malaysia yang mempelopori penerbitan buku audio, bahkan tergolong sebagai antara negara di dunia yang menggunakan wahana ini untuk pencerahan rakyat.

Pada ketika ini, penyebaran buku audio didominasi oleh Audible, sebuah syarikat milik Amazon. Namun buku-buku audio yang dipasarkan melalui Audible terlalu bersifat American-centric, hanya memberikan tumpuan kepada novel, biografi dan sejarah tentang Amerika. Justeru itu, terdapat vacum yang besar dalam pengeluaran buku audio tentang Asia dan lain-lain rantau di luar Amerika.

Sebagai perintis, peluang tebuka luas kepada PPAS untuk mengisi ruang kosong dalam industri ini dan muncul sebagai pengeluar buku audio yang dominan setidak-tidaknya di peringkat serantau.

Melalui program penerbitan buku audio, Kerajaan Negeri akan memberikan nafas baru kepada karya agung persuratan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis. Karya-karya besar dari sasterawan-sasterawan negara dan Nusantara akan menemui khalayak yang jauh lebih luas melalui buku audio. Mendengar tidak boleh mengganti membaca. Tetapi melalui buku audio, kelebihan mendengar akan diangkat menjadi wahana baru untuk pengalaman intelektual tinggi.

Kemunculan buku audio juga akan dapat memberi peluang kepada golongan kelainan upaya (OKU) penglihatan agar tidak ketinggalan dalam menambah ilmu pengetahuan melalui pendengaran buku audio.

Projek pencerahan Selangor akan disusuli pula dengan ikhtiyar untuk memperkukuh peranan perpustakaan di Negeri Selangor memandangkan sambutan yang semakin baik di kalangan rakyat Negeri Selangor.

Bagi memberdayakan lagi usaha merapatkan kecintaan masyarakat dengan buku dan ilmu, PPAS juga telah menyediakan tiga buah perpustakaan bergerak di samping empat buah lagi yang sedang disiapkan supaya dapat segera mula beroperasi dalam tahun ini.

Penekanan wajar diberikan bukan sahaja melibatkan aspek prasarana yang perlu ditambah baik, tetapi juga melibatkan judul-judul buku yang seharusnya merangkumi pelbagai bidang seperti falsafah, sejarah, biografi dan hal ehwal semasa.

Semua usaha yang komprehensif ini haruslah dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk kita bersama-sama mengangkat darjat dan martabat ilmu di Negeri Selangor. Saya mahu Selangor muncul sebagai negeri yang maju di mana teras pembangunan negeri ini juga berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.

Industri buku merupakan sebahagian daripada komponen di dalam ekonomi jingga atau orange economy yang menjadi antara penyumbang kepada kegiatan ekonomi di negara-negara maju.

Selepas 12 kali penganjuran, saya kira sudah tiba saat dan ketikanya, Pesta Buku Selangor memperkukuhkan jenamanya dan muncul sebagai sebuah pesta buku serantau. Bukan sahaja penerbit buku serantau perlu diundang untuk mempamerkan penerbitan mereka tetapi pameran juga perlu merangkumi segala jangkauan penerbitan.

Selain itu, pesta buku juga perlu dimaknai dengan kehadiran penulis terkenal, baru dan veteran, untuk membicarakan karya mereka dan mengupas persoalan trend idea dalam penerbitan.

Justeru, marilah kita bersama-sama menggembeleng tenaga supaya Pesta Buku Selangor menjadi tunjang kepada kejayaan memartabatkan tradisi keilmuan dikalangan rakyat.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan perasmian Pesta Buku Selangor 2017 & Agenda Pencerahan Selangor.

Sekian, terima kasih.