Ucapan

Ucapan Dato’ Seri Azmin Ali Di Perasmian Pesta Buku Selangor 2016

By July 29, 2016 No Comments
7748f384-cc64-4e17-9259-ed18e3c11edb

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

1. Syukur kerana pada malam ini kita diberikan kekuatan untuk membudayakan tradisi ilmu dan intelektual melalui penganjuran Pesta Buku Selangor 2016.

2. Tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di atas penganjuran program ini. Pesta ini bukan sekadar pertemuan pencinta buku, pusat pameran dan jual beli buku. Pesta ini adalah pesta pencerahan, pesta Sapare Aude, kerana buku berkait rapat dengan gerakan kebudayaan dan pemikiran yang bernama Pencerahan.

3. Saya yakin pesta buku berperanan besar memupuk semangat membaca, merangsang naluri cintakan buku yang membawa kepada peningkatan ilmu. Ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi yang smart.

4. Dengan menganjurkan pesta buku setiap tahun, Shah Alam mengikuti jejak langkah kota-kota dunia seperti Frankfurt, Kaherah, New Delhi yang menjadikan pesta buku sebagai salah satu daya tarikan kota-kota tersebut.

5. Pesta buku bermula di Frankfurt, Jerman lebih 500 tahun yang lalu, setelah Johann Gutenberg mencipta mesin percetakan buku yang pertama dalam dunia. Gutenberg merevolusikan pengeluaran buku, berpindah daripada penulisan tangan yang lambat dan mahal kepada percetakan yang cepat dan murah.

6. Revolusi ini membolehkan penyebaran dan pendemokrasian pembacaan dan pemilikan buku kerana mesin cetak memungkinkan industri buku dan industri buku mencipta pesta buku.

7. Ketika Gerakan Pencerahan muncul di abad ke 18, industri buku telah mantap, maka idea-idea Pencerahan tersebar luas melalui industri buku. Pencerahan itu sendiri melahirkan Pesta Buku Leipzig, yang menyaingi Pesta Buku Frankfurt, iaitu pesta buku yang terbesar di dunia.

8. Gagasan Smart Selangor yang kita imbau perlu didukung dengan usaha menyemarakkan ilmu, membudayakan amalan membaca dan pencerahan. Kerajaan Negeri melihat kegiatan ekonomi secara holistik dan tidak hanya terbatas kepada pengeluaran produk yang bersifat fizikal. Perspektif ekonomi lain khususnya soft sector – pengeluaran dan pemindahan ilmu, produk budaya, hiburan dan sukan juga merupakan kegiatan ekonomi yang menjadi fokus untuk diberdayakan oleh Kerajaan Negeri.

9. Selain itu, Kerajaan Negeri juga beriltizam untuk membangunkan Negeri Selangor sebagai hub kesarjanaan, pusat kecemerlangan ilmu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta penerbitan.

10. Justeru, Negeri Selangor telah memberi dimensi baru ekonomi menerusi penekanan terhadap keperluan merangsang ekonomi jingga – the orange economy, yang di dalamnya mengandungi industri buku dan pelbagai industri kreatif.

11. Keberadaan pesta buku, kedai buku merupakan prasarana penting kepada usaha menjana knowledge economy. Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan bahan bacaan peringkat tinggi untuk golongan cendekiawan, tetapi juga bacaan untuk kanak-kanak, remaja, hobi dan memenuhi selera bacaan fiksi, bukan fiksi dan pengetahuan am.

12. Industri buku di Selangor perlu menyahut cabaran ini dengan meningkatkan dan meluaskan cakupan penerbitan. Untuk merancakkan industri buku di Selangor, PPAS telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek penterjemahan. Kegiatan penterjemahan mempunyai sejarah yang unik dalam sejarah tamadun.

13. Pencerahan Baghdad yang berlaku di abad ke-10 bermula dengan penubuhan institusi bernama Baitul Hikmah di mana kegiatan utamanya adalah memindahkan khazanah ilmu dari Yunani Purba dan Parsi ke dalam Bahasa Arab melalui proses penterjemahan.

14. Kemunculan Renaissance adalah dipacu oleh penemuan semula dan kegiatan penterjemahan warisan keilmuan, falsafah dan sains dari tamadun Yunani.

15. Inisiatif penterjemahan karya agung dunia yang dimulakan oleh PPAS adalah sebuah Projek Pencerahan Negeri Selangor yang akan memperkasa Bahasa Melayu dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai wahana kepada warisan intelektual kemanusiaan dari semua tamadun, dahulu dan sekarang.

16. Kita kini hidup dalam dunia demokrasi. Justeru itu, kegiatan penterjemahan bertanggungjawab untuk meningkatkan kefahaman rakyat tentang demokrasi seperti yang diungkapkan oleh Abraham Lincoln sebagai pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

17. Oleh kerana peranan besar Abraham Lincoln dalam menyelamatkan demokrasi dari institusi perhambaan, maka salah satu buku dalam terjemahan PPAS adalah biografi Abraham Lincoln karya penyair Carl Sanburg yang bertaraf klasik.

18. Perjuangan menghidupkan demokrasi dunia di dunia Islam menghadapi pelbagai cabaran. Perjuangan ini perlu dipertingkatkan dengan meneliti tokoh-tokoh dalam perjuangan tersebut. Bagi rantau Nusantara iaitu rantau terbesar dunia Islam, sumbangan Almarhum Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) tidak boleh dilupakan. Justeru itu, biografi beliau “Dari Persantren ke Istana Presiden” juga akan menemui pembaca tidak lama lagi.

19. Seperti yang saya tegaskan dari awal tadi, pesta buku bertalian rapat dengan pencerahan. Selain dari Immanuel Kant, filasuf yang menjadikan Sapare Aude sebagai cogan kata Pencerahan, Voltaire merupakan penulis zaman Pencerahan yang paling prolifik. Antara sumbangan besar beliau adalah memperjuangkan toleransi.

20. Dunia kini kembali berdepan dengan terorisme yang berpunca dari sikap tidak toleran. Justeru itu, adalah bertepatan PPAS turut menterjemahkan karya beliau yang bertajuk “Risalah Tentang Toleransi” terus dari bahasa Perancis ke dalam Bahasa Melayu.

21. Gerakan Pencerahan yang mahu dipelopori oleh Negeri Selangor tidak boleh mengabaikan akidah dan nilai-nilai agama. Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, Akaid Nasafi telah diajarkan kepada umat Islam rantau ini sebagai teks terpenting Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Saya mengesyorkan Syarah Akaid Nasafi diterjemahkan melalui program Pencerahan ini.

22. Kita perlu peka dengan perkembangan penggunaan teknologi dalam dunia ilmu. Perkembangan terbaharu dalam industri buku adalah kemunculan buku audio atau audiobooks yang pertumbuhannya lebih pantas dari buku konvensional.

23. Menyedari perkembangan ini, saya telah melontarkan projek buku audio. Sebagai negeri maju, Selangor perlu menjadi pemimpin dalam kegiatan pencerahan ini melalui produksi buku audio yang akan turut membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan berkongsi pencerahan.

24. Akhirnya, menjadi harapan kita agar segala usaha ini mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai pusat kecemerlangan ilmu serantau. Semoga Pesta Buku Selangor 2016 ini memberi manfaat kepada semua masyarakat membangun modal akliah agar kita memiliki bank bakat atau talent bank yang berkaliber dan berilmu serta tidak terjejas dengan gejala brain drain akibat penghijrahan golongan bijak pandai dan professional yang mencari peluang di luar negara.

25. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2016.

Comments

comments