Ucapan

[Ucapan] Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Dan Negeri Pahang

By Mac 9, 2018 No Comments
37de572b-9bfb-474f-812e-c400012eae36

Alhamdulillah, pada petang yang bersejarah ini, Pahang dan Selangor bertemu untuk merajut sejarah dan memeterai Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor Darul Ehsan dan Negeri Pahang Darul Makmur.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin mengalu-alukan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Shah Alam.

Perjanjian ini amat signifikan kerana ianya saling mengiktiraf kedaulatan kedua-dua buah negeri yang berjiran dan memuktamadkan keabsahan sempadan.
Pahang dan Selangor bukan sahaja berjiran, bahkan mempunyai silsilah persaudaraan dan saling membantu sejak zaman berzaman.

Sempadan merupakan garis penentuan daerah takluk dan kedaulatan sesebuah negeri dan negara. Sempadan yang jelas dan diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan akan menghasilkan hubungan yang harmoni dan produktif.

Sejarah mencatatkan bahawa asas penandaan dan pengukuran sempadan negeri antara Selangor dan Pahang adalah berdasarkan pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen Selangor dan Setiausaha Residen Pahang di antara tahun 1927-1929 dan Warta Kerajaan Persekutuan No. 112 dan No. 3199 pada 14 Januari 1911 berasaskan kepada keadaan kedudukan Legeh Utama (watershed).

Jajaran sempadan di antara Selangor dan Pahang bermula dari pertemuan sempadan Selangor, Pahang dan Perak mengikut legeh utama sehingga ke pertemuan sempadan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Pada 11 Julai 1994, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pahang untuk menerima pakai sempadan yang telah siap diukur sepanjang 60.4 kilometer.

Kedua-dua negeri berhasrat untuk melengkapkan kerja-kerja menanda, mengukur dan menentukan sempadan di antara kedua-dua negeri itu di dua kawasan sejauh 39.1 kilometer.

Setelah 107 tahun usaha ini bermula, pada hari Jumaat yang penuh dengan barakah ini, kita akan memuktamadkan perjanjian sempadan ini dengan jarak keseluruhan jajaran sempadan Selangor – Pahang sepanjang 99.5 km.

Pada hari yang bersejarah ini, kita akan menandatangani Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Sempadan dengan menerima hasil ukuran tersebut.

Hari ini, kita sedang berada dalam zaman teknologi moden yang semakin canggih dan maju ke hadapan. Majlis menandatangani perjanjian sempadan ini adalah hasil pencapaian daripada kemajuan secara berperingkat melalui proses yang bercirikan ketepatan dengan peralatan canggih dan sistematik serta metodologi penandaan yang terkini, perjanjian bertulis dan sempadan yang diukur, dipetakan dan melalui dokumen-dokumen yang telah disahkan.

Asas penentuan sempadan antara negeri di Malaysia pada hari ini juga adalah berdasarkan konsep yang diperkenalkan oleh British seperti Treaty with the King of Quedah, 1800 (Confirmed 1802), Frontier and Boundary Treaties (Quedah 1831), Rumbowe Boundary Agreement bertarikh 9 Januari 1833, Johole 1833, Perjanjian 1867, The Boundary Convention bertarikh 20 Jun 1891 (ditandatangani di London), Award 1898, Perjanjian Bangkok 1899 [Perjanjian Sempadan], Federation of Malaya Government Gazette, Memorandum of Understanding, pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen, jajaran lot-lot sedia ada dan mengikut legeh utama.

Kita harus menerima hakikat bahawa hari ini kita berada dalam dunia tanpa sempadan. Sementara kita mengiktiraf keabsahan sempadan geografi dan fizikal, namun kita mesti memupuk semangat persefahaman, kerjasama dalam semua aspek penting kehidupan khususnya yang menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di antara dua buah negeri ini.

Selangor senantiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk memakmurkan negeri ini termasuk menjalin kerjasama yang erat dengan negeri-negeri jiran. Dalam konteks ini, Selangor menerima Negeri Pahang Darul Makmur dengan semangat persaudaraan dan kejiranan.

Satu lagi manfaat daripada majlis yang bermakna ini adalah untuk kita bersama mengangkat kerjasama ekonomi yang wujud di antara Pahang dan Selangor ke tahap yang lebih tinggi bagi menyuntik dinamisme ekonomi sempadan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia di atas usaha gigih untuk mengukur dan memuktamadkan sempadan antara Negeri Pahang dan Negeri Selangor.

Saya juga menghargai kerjasama daripada pelbagai agensi dari kedua-dua Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan sempadan ini.

Saya ingin memberikan penghargaan khusus kepada YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang yang telah memberikan kepimpinan dan sokongan untuk menjayakan usaha yang amat bersejarah ini.

Bagi pihak rakyat Negeri Selangor, saya ingin merafa’ sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang telah memberi perkenan terhadap usaha penandaan dan pengukuran sempadan bersama di antara Negeri Selangor dan Negeri Pahang.

Saya juga menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Pahang kerana di bawah payung kedaulatan Tuanku berdua, Negeri Pahang terus berdaulat dan makmur.

Saya berharap, pertemuan petang ini adalah lembaran baru bagi menjalin kerjasama yang lebih produktif untuk kemajuan negara dan bangsa.

Sekian, terima kasih.