Ucapan

[Ucapan] Majlis Menyemarak Ramadhan Bersama Nazir Masjid & Pengerusi Surau Negeri Selangor 2017

By Mei 29, 2017 No Comments
ee2bf9fd-9b9e-446f-8935-61711f1b7740

Alhamdulillah, pada hari ini saya sekali lagi dapat bersemuka dengan para Nazir Masjid dan Pengerusi Surau seluruh Negeri Selangor bersempena Majlis Menyemarak Ramadhan Negeri Selangor 2017.

Ramadhan adalah bulan yang sarat dengan barakah, satu-satunya bulan yang difardhukan kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadah puasa. Ini menuntut kita untuk menghayati Ramadhan dengan pelbagai usaha kebajikan (al-khairat) dan kebaikan (al-khair). Sesungguhnya, Ramadhan adalah Madrasah Ruhiyyah yang menawarkan tawbah dan ghufran (taubat dan keampunan).

Saya yakin, masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Negeri Selangor sedang melaksanakan pelbagai persiapan Ihya’ Ramadhan untuk menjayakan peranan masjid yang berpaksikan prinsip tauhid dan ‘ubudiyyah – pengabdian kepada Allah SWT yang Maha Esa.

Selain daripada kegiatan ibadat, masjid dan surau juga harus diimarahkan dengan program-program keilmuan yang mampu menyuntik nilai-nilai keadilan dan ihsan dalam budaya masyarakat Islam.

Ini menjadikan tugas para nazir dan pengerusi surau hari ini semakin mencabar untuk menjayakan fungsi masjid sebagai institusi yang menghubungkan seseorang Muslim dengan Allah SWT, (hablum minallah) dan pada masa yang sama menjaga hubungan sesama manusia, (hablum minannas).

Masjid dan surau juga harus berperanan untuk membina persekitaran yang mesra dengan masyarakat. Masjid perlu lebih cakna dan peduli dengan persoalan masyarakat dan warga kariah termasuk masyarakat bukan Islam supaya wujud rasa kebersamaan di kalangan masyarakat serta menampilkan imej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Kedudukan Selangor sebagai negeri termaju mendorong kepada berlakunya migrasi penduduk dari pelbagai latar belakang baik dari dalam atau luar negara ke Negeri Selangor bagi merebut peluang pekerjaan.

Justeru itu, masjid perlu bersedia untuk mendepani cabaran semasa termasuk menarik lebih ramai generasi muda untuk menyertai program-program yang dilaksanakan. Melalui institusi masjid, generasi muda dapat diberdayakan agar lebih produktif, dinamik dan berinovasi serta mempunyai jati diri yang ampuh.

Pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh masjid dan surau mencerminkan semangat persaingan yang positif untuk mengimarahkan masjid sesuai dengan firman Allah :

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

Segala kegiatan ini akan membugar dan menjadikan masjid sebagai pusat tarbiyyah dan ta’dib – untuk membentuk insan bertamadun yang mampu memberi pencerahan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Pengimarahan ilmu dan usaha melahirkan masyarakat Islam Negeri Selangor yang dinamik, unggul dan harmoni adalah berteraskan prinsip keadilan dan kesederhanaan yang berlandaskan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah ruhiyyah akan menyuntik kekuatan kerohanian, kekuatan yang akan kita gunakan untuk sebelas bulan selepasnya sehinggalah kita bertemu lagi dengannya kembali pada tahun hadapan.

Tenaga kerohanian ini amat penting bagi sebuah masyarakat yang sangat pesat membangun dan menjamin keseimbangan dalam kehidupan.

Kerajaan Negeri tuntas mendukung usaha ini dengan menyediakan dan menaiktaraf prasarana dan kemudahan di institusi masjid dan surau. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 563 juta dalam Rancangan Malaysia ke 11 dengan peruntukan lebih RM 128 juta bagi tahun 2017 untuk membiayai pembinaan dan baikpulih masjid, sekolah dan surau.

Sejajar dengan arus perkembangan zaman, peranan imam bukan hanya memimpin ibadat di masjid dan surau tetapi merangkumi aspek pembangunan ummah seperti pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan.

Menyedari tanggungjawab imam yang semakin mencabar, Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2017 telah meluluskan elaun tambahan para imam di Negeri Selangor sebanyak RM 300 sebulan menjadikan jumlah elaun bulanan imam sebanyak RM 1,300.

Bersempena bulan Ramadhan tahun ini, Kerajaan Negeri menyediakan RM 1.8 juta sebagai sumbangan moreh bagi setiap masjid dan surau di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menyampaikan sumbangan “Kasih Ramadhan” untuk semua Nazir Masjid dan Pengerusi Surau secara ‘one off’ berjumlah RM 810,200. Setiap Nazir Masjid dan Pengerusi Surau masing-masing akan menerima RM 500 dan RM 300 bagi tahun 2017.

Diharapkan agar sumbangan ini menjadi dorongan dan pemangkin kepada usaha pemerkasaan institusi masjid dan surau di Negeri Selangor.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan, “Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”. Semoga kita diberi kekuatan untuk menjalani ibadah ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan dan dipertemukan dengan malam Lailatulqadar, InshaAllah.

Comments

comments