Ucapan

[Ucapan] Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baharu Kolej Universiti Islam Selangor

By Oktober 9, 2017 No Comments
fe1d384b-5615-45ca-bd10-d4a3ca275b3d

Pagi ini kita akan menyaksikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baharu dan pengubahsuaian bangunan perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menzahirkan komitmen kita semua untuk mengangkat martabat KUIS sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam yang tersohor di Negeri Selangor.

Majlis ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan prasarana KUIS tetapi bagi merealisasikan tekad dan iltizam untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam semua disiplin ilmu yang akan membangunkan sebuah tamadun.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam, KUIS wajar mengambil peranan untuk menjadi contoh sebagai sebuah institusi yang mengimbangi ilmu yang berteraskan wahyu dengan ilmu yang berteraskan keintelektualan seperti yang diungkapkan sebagai aqliah bersama naqliah (reason with revelation and not reason against revelation).

Tamadun Islam dizaman kegemilangannya memberikan ruang dan dukungan kepada umat dari seluruh pelusuk dunia untuk memburu ilmu manakala masyarakat sarjana bersaing melaksana dan berkongsi penyelidikan, membuat penemuan baru dan meluaskan perbatasan ilmu.

Kemuncaknya, umat Islam berjaya dan maju dalam bidang perubatan, sains astronomi dan matematik justeru kerana pemerintah zaman kegemilangan ketika itu memiliki ciri-ciri yang berpencerahan.

Pemerintah Islam ketika itu menggalas tanggungjawab untuk menyediakan prasarana yang diperlukan bagi menyuburkan tradisi keilmuan.

Mengambil inspirasi daripada semangat tersebut, maka Kerajaan Negeri Selangor hari ini senantiasa memberikan keutamaan untuk membina sebuah masyarakat yang memiliki keseimbangan di antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

Sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, dan selaras dengan motto “pemangkin tradisi ilmu”, KUIS perlu bergerak selari dengan agenda menjadikan Selangor sebagai “regional smart state” – memakmur negeri dan membangun bangsa yang terjamin masa depan dengan kemahiran dan ilmu yang berdaya saing.

Cabaran KUIS yang berada dalam rantau Nusantara adalah untuk menangani krisis umat dengan mendakap prinsip keadilan dan kesederhanaan – justice and moderation. Prinsip ini adalah teras kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam Nusantara.

Untuk menjamin anak-anak kita memiliki kecemerlangan akademik, Kerajaan Negeri pada tahun 2016 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM 8 juta bagi membiayai projek menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran di KUIS.

Demi memacu kemajuan KUIS, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM 48.5 juta dalam bentuk pinjaman mudah kepada KUIS dalam tahun 2017 yang meliputi RM 27.2 juta untuk pembinaan Bangunan Akademik dan pengubahsuaian bangunan perpustakaaan.

Pertambahan jumlah pelajar KUIS yang meningkat setiap tahun memerlukan kepada suasana pembelajaran yang kondusif bagi keselesaan pelajar.

Justeru, pembinaan Bangunan Akademik baharu ini akan dapat menangani masalah kekurangan bilik-bilik kuliah dan tutorial untuk mahasiswa KUIS. Bangunan Akademik baharu ini dapat memuatkan 4,254 orang pada satu-satu masa.

Sementara itu, Perpustakaan Imam Syafie akan dinaiktaraf sebagai sebuah gedung hikmah dan sumber rujukan untuk masyarakat seperti yang diingatkan oleh T.S. Eliot, “where is the wisdom we have lost in knowledge.”

Perpustakaan ini bakal menampung kapasiti 2,500 orang dan akan menyediakan kemudahan ruang bacaan baru, bilik kajian dan bilik carel yang dilengkapi dengan kemudahan WiFi.

Menjadi harapan kita agar pembangunan ini dapat membantu mahasiswa KUIS dilengkapkan dengan kemudahan yang selesa dan kondusif untuk memenuhi keperluan pembelajaran & pengajaran.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada KUIS untuk melakar kejayaan, menjadi sebuah institusi ilmu dan hikmah yang menyumbang kepada pembinaan tamadun.

Maka, dengan lafaz , marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Akademik Baharu dan pengubahsuaian bangunan perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Sekian, terima kasih.

Comments

comments