Ucapan

[Ucapan] Majlis Pecah Tanah Masjid Setia Alam

By April 24, 2017 No Comments
a3db1064-74b9-4c6f-9b99-edd509aa310b

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya dan anak-anak qariah dapat berhimpun di Majlis Pecah Tanah Masjid Setia Alam yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan hasrat untuk memartabatkan syiar Islam.

2. Saya berada di sini demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk saya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Setia Alam dan juga pembangunan masjid-masjid di Negeri Selangor pada masa akan datang yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

3. Islam menegaskan bahawa masjid merupakan institusi terpenting umat. Apabila Baginda Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan membangunkan satu umat yang berdaulat, bangunan yang pertama dibina oleh Baginda adalah masjid. Ini membawa maksud, kemajuan ummah tidak boleh terpisah dengan peranan masjid yang berpaksikan prinsip tauhid dan ‘ubudiyyah – pengabdian kepada Allah SWT yang Maha Esa.

4. Justeru itu, masjid adalah institusi yang menghubungkan seseorang Muslim dengan Allah SWT ( ) dan pada masa yang sama menjaga hubungan sesama manusia ( ).

5. Apabila tamadun Islam berkembang, masjid turut memainkan peranan sebagai hub pendidikan untuk membentuk jati diri seorang Muslim sejati.

6. Sementara hari ini lebih banyak masjid dibina, namun cabaran dan amanah yang harus digalas adalah untuk memperkukuhkan kembali peranan masjid sebagai paksi perpaduan dan hub pendidikan umat Islam di Selangor.

7. Maka, untuk menjamin kelestarian perpaduan ummah, “wahdatul aqidah” – kesatuan aqidah perlu dipertahankan. Wacana pendidikan di masjid perlu disuburkan untuk memperkukuhkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

8. Selain daripada merancakkan kegiatan ibadat, masjid perlu diimarahkan dengan majlis ilmu, dari ilmu-ilmu fardhu ‘ain sehingga kepada ilmu-ilmu yang berteras kitab-kitab turath. Melalui program pendidikan, nilai-nilai keadilan dan ihsan dapat disuntik dan diterap dalam budaya masyarakat Islam.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan ihsan”

(Surah An-Nahl : Ayat 90)

9. Apabila seseorang Muslim secara ikhlas mengabdikan dirinya kepada Allah yang Maha Esa dan menghayati nilai-nilai Al-Quran dan Sunnah, maka akan timbul rasa kasih dan sayang dalam masyarakat serta memupuk rasa peduli dan prihatin. Inilah cerminan Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam – rahmatan lil alamin.

10. Lima prinsip maqasid al-syariah yang dihuraikan oleh Hujjatul Islam al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasfa min ‘ilm al-usul merupakan asas penting dalam mendepani cabaran umat. Imam al-Ghazali mengungkapkan :

“Yang kami maksudkan dengan maslahah adalah penjagaan ke atas maksud syarak dan maksud syarak bagi manusia adalah menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, nasab keluarga mereka dan harta mereka. Apa yang membawa kepada penjagaan kepada lima ini adalah maslahah dan apa yang mengabaikan prinsip yang lima ini adalah fasad.”

11. Penghayatan maqasid al-syariah hari ini menuntut kita menangani secara holistik setiap persoalan pokok yang mendepani ummah seperti kemiskinan, pertumbuhan ekonomi, pendidikan dan hak asasi. Umat Islam juga berdepan dengan persepsi yang negatif terhadap Islam seperti gejala Islamophobia. Malangnya, prasangka dan bibit kebencian juga menular dalam masyarakat Islam.

12. Untuk menjawab cabaran ini, kita perlu meratakan kemakmuran dengan menjamin keadilan sosial. Pada masa yang sama, umat Islam juga harus diingatkan dengan konsep rahmatan lil alamin untuk memelihara keharmonian dalam masyarakat.

13. Pembinaan masjid bukan semata-mata pembangunan fizikal. Tetapi yang lebih penting adalah tujuan disebalik pembinaannya seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran :

“… sesungguhnya masjid yang telah didirikan atas dasar taqwa

dari mula (wujudnya),

lebih patut engkau bersolat di situ.”

(Surah At-Taubah : Ayat 108)

14. Masjid yang dibina atas asas taqwa akan menjalin perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

15. Atas keinsafan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM 418 juta untuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tahun 2017. Daripada jumlah ini, RM 128.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan 7 buah masjid, beberapa buah surau, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 3 buah Maahad Tahfiz.

16. Pembinaan Masjid Setia Alam yang akan dibina di atas tapak seluas 5 ekar akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 14 juta di samping sejumlah RM 4 juta ditambah oleh anak qariah.

17. Pembinaan masjid ini adalah mendesak memandangkan pembangunan perbandaran yang begitu pesat di Bandar Setia Alam yang ketika ini didiami oleh hampir 50,000 warga kota.

18. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan masjid ini khususnya para waqif.

19. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Setia Alam.

YAB MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR