Ucapan

[Ucapan] Majlis Pelancaran Aset & Inovasi Kenderaan Air Selangor

By April 18, 2017 No Comments
1edeaace-e699-4bda-95f5-979e02424e14

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam lawatan kerja saya ke Daerah Gombak pada minggu ini, saya dapat menyaksikan dan menyempurnakan Majlis Pelancaran Aset dan Inovasi Kenderaan Air Selangor seperti yang telah dicerakinkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif tentang inisiatif transformasi air Selangor yang telah dan akan dijalankan. Ini selaras dengan hasrat untuk melihat keperluan aset dan inovasi yang diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi pengurusan Air Selangor.

Lanjutan daripada itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, kita hadir untuk menzahirkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan Air Selangor dalam menyediakan perkhidmatan dan pengurusan air yang terbaik kepada pengguna dan rakyat di Negeri Selangor, InshaAllah.

Walaupun penstrukturan industri perkhidmatan air ini belum lagi dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan pengambilalihan SPLASH masih lagi di peringkat rundingan dan telah ditangguhkan sehingga Oktober tahun ini atas cadangan Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Air Selangor telah pun memulakan beberapa usaha untuk menjamin pengurusan yang lebih cekap, efektif dan perkhidmatan bekalan air secara holistik, efisyen dan tidak membebankan rakyato.

Mesyuarat Lembaga Pengarah Air Selangor semalam telah membincangkan beberapa inisiatif transformasi termasuk membina satu sistem baru untuk perkhidmatan pelanggan, pengguna dan kaedah pengebilan yang dinamakan ‘CRIS’ – Customer Information Service yang akan bermula pada Januari 2018 ini. Sistem baru ini akan menggantikan sistem lama di mana ianya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih efektif, efisyen dan pengguna-pengguna dapat menguruskan akaun air masing-masing secara online.

Ini bertepatan dengan matlamat penyusunan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan juga Putrajaya apabila kita mengambil alih operasi rawatan dan juga pengagihan bekalan air daripada syarikat-syarikat pemegang konsesi yang sedia ada supaya Air Selangor dapat menguruskannya secara holistik dan dikawal oleh Kerajaan Negeri. Kita mahu memastikan penyediaan perkhidmatan bekalan air yang lebih efisyen dan efektif kepada pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor juga telah mempertingkatkan pembangunan persekitaran dan penghasilan idea-idea kreatif dan berinovasi untuk meningkatkan mutu dan perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor.

Saya mengambil sedikit masa untuk berkongsi tentang keputusan dan pendirian Kerajaaan Negeri kerana langkah dan tindakan yang kita ambil bukannya bersifat ad-hoc ataupun hanya ketika berlaku kecemasan atau bencana tetapi beberapa perancangan jangka masa panjang yang melibatkan pembiayaan yang besar semata-mata untuk menjamin satu perkhidmatan dan pengurusan yang lebih efisyen dan efektif.

Kita telah dan mendengar beberapa perkara yang akan dilakukan seperti yang diterangkan tadi. Pada masa yang sama, Air Selangor telah pun mempunyai tiga buah makmal dalaman untuk menguji semua sampel air di semua loji rawatan air bagi memastikan bekalan air mematuhi piawaian. GPS yang dipasang di semua lori dan tangki air bertujuan untuk mengesan pergerakan lori ketika operasi membekalkan air bantuan supaya perkhidmatan sokongan ini lebih efisyen jika berlaku gangguan bekalan air.

Selain daripada itu, kita juga harus mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri telahpun meluluskan peruntukan berjumlah RM 1.3 bilion untuk pembangunan dua buah loji rawatan air yang baru di Semenyih 2 dan Labohan Dagang serta juga penggantian paip-paip air lama sepanjang 422 kilometer serta projek mitigasi yang lain.

Biarpun jumlah ini merupakan peruntukan yang besar bagi sebuah kerajaan Negeri, namun kita mempunyai keupayaan kerana kedudukan ekonomi Negeri Selangor hari ini kuat dan utuh untuk membiayai projek-projek ini demi kepentingan rakyat dan pengguna.

Air Selangor juga telahpun melaksanakan pemeriksaan ataupun ‘due diligence’ – ‘latihan usaha wajar’ ke atas loji-loji rawatan air dan semua rumah-rumah pam dan kolam-kolam air di Negeri Selangor. Hasil daripada pengauditan tersebut, Air Selangor mendapati terdapat 129 rumah pam dan kolam air yang tidak berfungsi disebabkan kerosakan dan juga aktiviti vandalisme.

Justeru itu, sekali lagi Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Air Selangor telah pun bersetuju untuk membelanjakan RM 20 juta dalam tahun 2017 ini untuk kerja-kerja membaikpulih 21 unit kolam air dan rumah pam.

Sekiranya kita berjaya membaiki serta membaikpulih 129 rumah pam dan kolam air, ianya mampu menyimpan air terawat sebanyak 457 juta liter air khususnya di kawasan perumahan dan dapat meminimakan kesan gangguan bekalan air sekiranya berlaku pencemaran ataupun bencana-bencana yang lain.

Sebab itu, Kerajaan Negeri melihat keperluan yang amat mendesak supaya rumah-rumah pam dan kolam-kolam air ini dibaik pulih segera kerana ianya mampu menyimpan air terawat untuk kesejahteraan pengguna.

Bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil ataupun NRW daripada 32 peratus kepada 29 peratus menjelang tahun 2019, Air Selangor telah memulakan usaha mengurus NRW secara holistik yang membabitkan kawalan kualiti kerja. Air Selangor telah menubuhkan satu pasukan terdiri daripada 150 warga kerja sepenuh masa untuk mengesan kebocoran dirangkaian saluran paip agihan air untuk dibaiki.
Air Selangor juga telah mengenal pasti 84 hotspot, yang meliputi 422 kilometer laluan paip yang akan digantikan secara berperingkat mulai tahun 2016 dan akan berterusan sehingga dijangka akan siap sepenuhnya pada hujung tahun 2019.

Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengambil maklum perkembangan usaha dan kita telah mengambil keputusan serta meminta semua PBT termasuk JKR untuk memberikan kerjasama yang baik kepada Air Selangor untuk menjayakan usaha mengganti paip-paip air yang lama ini.

Air Selangor juga sedang berusaha untuk memastikan semua sistem agihan sedia ada dapat berfungsi dalam merealisasikan matlamat untuk mewujudkan sistem agihan penyambungan salingan atau interconnection kerana melalui sistem ini pembekalan air kepada pengguna tidak akan terjejas sekiranya berlaku henti tugas mana-mana loji.
Satu perkara yang kita sering baca atau mendengar di dalam akhbar ialah tentang status pengambilalihan konsesi SPLASH dan Kerajaan Negeri berpendirian supaya usaha ini dapat dimuktamadkan segera dan kita mendesak supaya Kerajaan Persekutuan memuktamadkan perkara ini dengan menjamin perinsip yang telus dan terbuka.

Justeru itu, apabila Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memulakan satu kajian penilaian bebas seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri setahun yang lalu. Kita mendukung usaha tersebut kerana penilaian bebas ini dapat menentukan apakah harga yang berpatutan dibayar kepada SPLASH dengan berpegang kepada prinsip dan pendirian Kerajaan Negeri supaya tidak sekali-kali membebankan Negeri Selangor dan pengguna.

Maka, Kerajaan Negeri bersetuju apabila penilaian bebas dibuat oleh Kerajaan Persekutuan siap dibentang di dalam jemaah menteri kabinet. Pendirian itu akan kita rujuk semula kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan secara kolektif demi kepentingan industri perkhidmatan air di negeri ini.

Akhirnya, saya amat gembira dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor dan seluruh warga pengurusan Air Selangor yang telah bekerja dengan kuat dan gigih. Industri ini bukanlah suatu yang mudah untuk diusahakan, tetapi kegigihan, kesungguhan dan komitmen pengurusan Air Selangor telah memudahkan Kerajaan Negeri untuk menjayakan industri bekalan air ini bagi semua rakyat di Negeri Selangor ini.

Dengan semangat kerjasama yang kolektif ini, saya percaya usaha seperti aset dan inovasi kenderaan yang dilancarkan pada pagi ini adalah sebahagian daripada usaha kita bersama untuk melihat industri perkhidmatan air di Negeri Selangor muncul sebagai perkhidmatan yang terbaik di negara ini.

Maka dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Aset dan Inovasi Kenderaan Air Selangor.

Y.A.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Dato’ Menteri Besar Selangor