Ucapan

[Ucapan] Majlis Pelancaran Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) 2018

By January 23, 2018 No Comments
3e3612b4-0ced-4a12-9ce6-8ffc3e69c0fc

Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat berhimpun pada petang ini untuk menyaksikan satu lagi usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menzahirkan rasa hormat dan kasih kepada ibu-ibu di Selangor yang telah melahirkan kita dan membentuk jati diri bagi membangunkan Negeri Selangor.

Saya ingin membangunkan Negeri Selangor bukan sahaja sebuah negeri yang maju dan makmur dalam sektor industri dan kewangan, tetapi saya juga ingin membangunkan Negeri Selangor sebagai Negeri Penyayang dengan berpegang kepada prinsip keadilan sosial dan pengagihan yang adil. Untuk menjamin pengagihan, ianya mesti bermula dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Saya baru sahaja kembali dari lawatan kerja ke Madrid dan dalam sedikit masa lagi ke Jepun untuk membawa pelabur-pelabur asing meletakkan pelaburan berteknologi tinggi di Negeri Selangor dan mencipta nilai bagi mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Negeri Selangor dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Dasar pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab terbukti mampu membawa perubahan yang besar dalam pengurusan ekonomi dan kewangan serta menjamin kesejahteraan rakyat berbilang kaum di Negeri Selangor.

Sehingga hari ini, Negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia dengan mencatatkan sumbangan sebanyak 23% manakala pada masa yang sama Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang bertujuan untuk berkongsi khazanah negeri dengan rakyat.

Antara kejayaan IPR adalah meneruskan pemberian air percuma untuk 6 juta rakyat Selangor yang bernilai RM 180 juta setahun; Skim Mikrokredit HIJRAH yang berjaya membantu 48 ribu peniaga kecil dengan hampir 70 peratus daripadanya adalah wanita untuk mendapat modal perniagaan dan latihan pengurusan kewangan yang menelan belanja hampir RM 340 juta; perkhidmatan percuma 100 unit Bas Smart Selangor di 12 PBT; Skim Peduli Siswa untuk membantu anak-anak meneruskan pengajian di UNISEL, KUIS dan beberapa IPTA;

Skim Peduli Sihat untuk 1 juta rakyat Selangor mendapat perkhidmatan kesihatan asas serta beberapa skim lain yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan masyarakat desa.

Program perumahan rakyat juga menjadi agenda penting Kerajaan Negeri di mana pembinaan Rumah Selangorku telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit. Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Takaful untuk 10,000 pesawah di Negeri Selangor pada tahun ini bagi melindungi perjuangan hidup seorang pesawah yang membanting tulang demi menjamin food security negara. Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengecualikan cukai taksiran dan rumah-rumah kampung selama 3 tahun berturut-turut yang bernilai lebih RM 200 juta.

Semua usaha ini adalah bertepatan dengan seruan Allah SWT di dalam Al-Quran – fastabiqul khairat. Ini bermakna kita berlumba-lumba mengamalkan dan melaksanakan kebaikan untuk umat dan rakyat demi mencapai gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri serta membangunkan Negeri Selangor sebagai Negeri Penyayang.

Fastabiqul khairat bermakna beramal dan bertindak bukan sekadar jeritan dan slogan Islam.

Saya bersyukur, Belanjawan 2018 sekali lagi menumpukan usaha pembangunan dan meletakkan keutamaan program kebajikan rakyat. Belanjawan Negeri Selangor 2018 mencatatkan sejumlah RM 3.2 bilion berbanding dengan bajet persekutuan yang mencecah hampir RM 300 bilion. Walaupun belanjawan negeri hanya 1% daripada bajet persekutuan, namun kita berjaya memberikan manfaat kepada semua rakyat. Tidak ada golongan yang tercicir dalam pembangunan Negeri Selangor.

Bayangkan, sekiranya kita diberikan peluang untuk menguruskan dana sebanyak RM 300 bilion. Saya yakin dan percaya, lebih banyak program yang boleh mengangkat martabat rakyat dan maruah negara.

Saya bersyukur kerana hari ini, Negeri Selangor menjadi negeri contoh dan telah menarik perhatian banyak pihak untuk melihat model Selangor sebagai loncatan ke Putrajaya.

Pada petang ini, saya menunaikan dan melaksanakan janji Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri Selangor untuk melancarkan program raksasa yang dinamakan KISS – Kasih Ibu Smart Selangor. KISS akan memberdaya golongan ibu untuk mengurus kewangan bagi keluarga masing-masing. KISS mengiktiraf peranan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

Mengapa program KISS diistimewakan untuk ibu ? Kerana ibu yang tahu segala-galanya – mother knows best.

Institusi keluarga amat bergantung kepada peranan ibu yang bukan sahaja mendidik dan membesarkan anak tetapi juga sering memikul tanggungjawab untuk mengurus kewangan bagi keluarga.

Justeru itu, ibu merupakan insan yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang seperti bawang, cili merah dan ikan kembong sehingga kadangkala wujud gangguan dan tekanan emosi. Ramai ibu yang terpaksa membantu suami untuk mendapat pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup keluarga.

Kita tidak berada di sini tanpa seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan keluarga tiada penghujungnya.

Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga di atas pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya yang berpendapatan isi rumah RM 2,000 ke bawah, maka Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM 2,400 setahun, atau RM 200 setiap bulan. Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 buah pasaraya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart dan Pusat Pakaian Hari-Hari.

Untuk Daerah Kuala Selangor sahaja, terdapat 36 pasaraya dan kedai runcit yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri untuk memberikan akses yang mudah kepada ibu-ibu di Kuala Selangor.

Program KISS akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM 72 juta.

Tidak ada mana-mana negeri di Malaysia yang melaksanakan program istimewa untuk ibu. Hanya di Selangor ada KISS kerana Kerajaan Negeri mengangkat martabat ibu dan wanita yang merupakan faktor penting dalam pembangunan masyarakat dan negeri.

Melalui pemberdayaan ini, ibu dan wanita Selangor akan berada di saf terkehadapan dalam kemajuan di kalangan wanita Malaysia. Ini juga selaras dengan salah satu matlamat Kerajaan Negeri yang digariskan dalam Dasar Wanita Selangor untuk meningkatkan status sosio ekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir.

Saya bersyukur kerana program KISS telah mendapat sokongan yang luar biasa dari ibu-ibu di Negeri Selangor. Ini membuktikan bahawa dasar dan program Kerajaan Negeri menepati aspirasi rakyat dan berjaya mencapai matlamat memberdaya golongan ibu dan wanita.

Justeru itu, ibu dan wanita di Negeri Selangor bertanggungjawab untuk mempertahankan sebuah Kerajaan yang bukan sahaja peduli pembangunan ekonomi dan kewangan tetapi juga sebuah Kerajaan yang peduli rakyat, peduli ibu dan peduli wanita. Maknanya, Kerajaan hari inilah yang berpegang kepada prinsip ini dan akan meneruskan agenda peduli rakyat.

Saya komited dengan agenda membela rakyat. Saya berikrar untuk melaksanakan yang terbaik, dan akan meneruskan gagasan peduli rakyat. Saya bertekad untuk memastikan kekayaan Negeri Selangor yang sedang dinikmati oleh seluruh rakyat akan dipertahankan dan tidak akan dirompak oleh mana-mana pihak yang lain.

Maka, untuk melaksanakan tugas yang berat ini, saya memerlukan sokongan dan dukungan rakyat khususnya para ibu dan wanita Selangor. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Perasmian Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Comments

comments