Ucapan

[Ucapan] Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan 2018

By Mac 9, 2018 No Comments
5b80ee55-68ff-49a1-833f-f474a5d22436

Sekian lama rakyat dimomokkan dengan mitos bahawa hanya UMNO & Barisan Nasional (BN) mampu memerintah dan membawa pembangunan. Mitos ini telah berjaya dihancurkan oleh kejayaan Pulau Pinang dan Selangor semenjak tahun 2008.

Kejayaan Pulau Pinang dan Selangor membuktikan bahawa Pakatan Harapan bukan sahaja mampu memerintah dan membawa pembangunan tetapi mampu memerintah dengan lebih baik dan menjana pembangunan yang lebih rancak.

Kita juga mampu mentadbir dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban serta menjamin keadilan untuk semua.

Hari ini, rakyat bertambah yakin bahawa Pulau Pinang dan Selangor adalah masa depan Malaysia.

Selangor adalah sebuah negeri yang rencam dan kosmopolitan. Kepelbagaian agama, budaya dan etnik adalah khazanah yang amat berharga untuk Negeri Selangor. Selangor adalah microcosm of Malaysia.

Berdasarkan hakikat ini, pentadbiran Shah Alam senantiasa peka untuk memastikan dasar Kerajaan Negeri akan dapat membangun bangsa dan memakmur negeri.

Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja mahu membangunkan negeri ini sebagai negeri yang maju dalam sektor industri berteknologi tinggi dan kewangan tetapi kita juga bertekad untuk membangunkan Selangor sebagai Compassionate State atau Negeri Penyayang.

Untuk menjamin sebuah negeri yang makmur dan sejahtera, pentadbiran hari ini tuntas berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik (good governance), trustworthy, ketelusan, berintegriti dan cekal menentang rasuah.

Antara contoh pelaksanaan tatakelola yang baik adalah proses perolehan secara tender terbuka. Proses ini menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban serta mengiktiraf international best practices untuk mengelak sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Sejak tahun 2014 sehingga 21 Februari 2018, amalan ini telah berjaya merekodkan penjimatan sebanyak RM 615.1 juta.

Untuk memperkukuhkan prinsip ketelusan, Kerajaan Negeri mewajibkan setiap anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menandatangani borang pengisytiharan kepentingan (declaration of interest) untuk setiap kertas yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada setiap minggu.

Tekad dan iltizam Kerajaan Negeri Selangor dalam mempertahankan prinsip good governance telah menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelabur asing dan domestik.

Kerajaan Negeri Selangor merupakan beacon of constitutional democracy dengan menghormati prinsip semak dan imbang antara eksekutif dan legislatif.

Dewan Negeri Selangor menggalakkan budaya contestation of ideas in the public arena seperti yang diungkapkan oleh Pemenang Hadiah Nobel, Amartya Sen sebagai asas kebebasan bersuara dan menghasilkan kedinamikan idea.

Select Committee on Competency, Accountability and Transparency (SELCAT) ditubuhkan atas prinsip ex-post accountability untuk memastikan setiap kebijakan dan program yang dilaksanakan adalah telus, berintegriti dan menjamin kepentingan rakyat.

Atas prinsip ketelusan dan pentadbiran Kerajaan yang terbuka (open government), Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) telah diluluskan untuk membolehkan akses kepada maklumat.

Dalam konteks ekonomi negeri, Kerajaan Negeri Selangor berpegang kepada pendekatan mesra perniagaan dengan ekonomi berorientasikan pasaran. Walau bagaimanapun, imperatif keadilan sosial akan terus terpakai dan kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan khususnya dalam sektor kesihatan, perumahan dan pendidikan.
Hari ini, Negeri Selangor kekal sebagai pemacu dan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Pada tahun 2016, Negeri Selangor menyumbang 22.7% (RM 251.6 bilion) kepada KDNK negara berbanding pada tahun sebelumnya sebanyak 22.6% (RM 240 bilion).

Menurut MIDA, bagi tempoh Januari hingga September 2017, Negeri Selangor berjaya menarik pelaburan bernilai RM 3.049 bilion dengan 132 projek perkilangan dan mencipta 5,494 peluang pekerjaan. Sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah dua sektor terpenting dalam ekonomi Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengambil langkah yang berani dan bertanggungjawab untuk meningkatkan belanja pembangunan selama 4 tahun berturut-turut.

Belanjawan 2018 mencatatkan belanja pembangunan ditingkatkan kepada 53.2% berbanding belanja mengurus yang dikurangkan kepada 46.8% yang bermatlamat untuk menjamin pembangunan infrastruktur asas bagi menjana pertumbuhan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Selangor juga adalah peneraju dalam membangunkan sebuah negeri pintar ataupun smart state berorientasikan perkhidmatan yang menyediakan penyelesaian multi dimensi melalui internet of things, big data dan artificial intelligence.

Negeri Selangor meletakkan gagasan untuk menyediakan negeri dan rakyat untuk memasuki Era 4th Industrial Revolution.

Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan dasar keadilan sosial untuk kesejahteraan dan kestabilan sosial jangka panjang. Keadilan sosial tidak boleh dipisahkan daripada demokrasi.
Kesenjangan pendapatan jika dibiarkan berterusan akan menggugat demokrasi. Kekayaan tanpa agihan yang adil melahirkan ketidaksamarataan yang besar. Persaingan dan pertumbuhan tanpa keadilan akan menimbulkan pergolakan sosial.

Rather than just talking about distributive justice, in Selangor we have distributive justice in action.

Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan 42 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mengembalikan khazanah negeri berjumlah RM 3.1 bilion secara langsung kepada rakyat.

Sehingga 27 Februari 2018, Kerajaan Negeri telah membiayai seramai 50,768 usahawan kecil dengan jumlah RM 363 juta melalui skim social financing HIJRAH yang bertujuan untuk melebarkan golongan kelas menengah.

Perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku adalah agenda penting Kerajaan Negeri Selangor untuk membolehkan golongan millennials, B40 dan M40 untuk mendapat akses kepada pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki. Ini adalah usaha untuk menjayakan dasar house owning democracy di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta telah berjaya menyiapkan 3,620 unit Rumah Selangorku dan tambahan sebanyak 20,627 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan dan dijual dengan harga di antara RM 42,000 sehingga RM 250,000.

Hampir 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di Negeri Selangor adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000. Najib, figures don’t lie.

Kegagalan pembeli mendapat pinjaman perumahan akibat prosedur kredit yang ketat telah menyebabkan rakyat biasa tidak dapat memiliki rumah.

Untuk menjayakan house owning democracy, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Skim Smart Sewa untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa kediaman sebelum mempunyai keupayaan untuk membeli rumah.

Melalui skim ini, penyewa akan mendapat kembali 30% daripada jumlah sewaan untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim Smart Selangor First Home Buyers di mana Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit sebanyak 10% tertakluk kepada jaminan pembiayaan yang diperolehi oleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain untuk pembelian Rumah Selangorku.

National Health and Morbidity Survey 2015 melaporkan 73% kematian rakyat Malaysia adalah berpunca daripada penyakit-penyakit tidak berjangkit atau non communicable diseases (NCDs). Menurut World Health Organization, cara terbaik untuk menangani NCDs adalah melalui pendekatan kesihatan asas – primary care approach.
Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim Peduli Sihat untuk memberikan akses kepada rawatan kesihatan asas di klinik dan hospital swasta untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Sehingga 27 Februari 2018, lebih 1.2 juta rakyat Selangor telah mendapat manfaat daripada program ini termasuk mendapatkan suntikan vaksin utama.

Skim Peduli Sihat – yang terunggul di Malaysia dan hanya di Selangor – telah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Malaysia.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Skim Rawatan Jantung Selangor melalui kerjasama pintar dan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN). Skim Rawatan Jantung Selangor adalah bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor.
Program ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme).

RM 10 juta disediakan untuk membantu pesakit-pesakit jantung di kalangan B40 dan M40 rakyat Selangor untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan jantung yang berkualiti di IJN.

Kerajaan Negeri mendukung usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan sistem pengangkutan awam yang efisyen dan affordable. Kita tidak mahu membebankan rakyat dengan membina lebuhraya bertol yang memberi keuntungan melampau kepada syarikat konsesi. Justeru, Kerajaan Negeri telah membatalkan projek lebuhraya KIDEX.
Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam untuk meneliti dan merangka aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalan raya yang akan membantu sistem penyuraian trafik termasuk melaksanakan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian iaitu 60:40 berbanding nisbah yang ditetapkan oleh SPAD iaitu 40:60.

Lebih 100 unit Bas Smart Selangor sedang beroperasi secara percuma di hampir 40 laluan untuk melengkapkan jaringan first mile dan last mile sistem pengangkutan awam.

Sehingga 31 Disember 2017, lebih 15 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan Bas Smart Selangor yang melalui taman perumahan kos rendah, sekolah dan kawasan industri.

Satu kajian oleh United Nations Childrens’ Fund (UNICEF) memberi gambaran yang membimbangkan tentang tahap kesihatan kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur. Kajian tersebut menyebut bahawa 22% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun bantut, 15% underweight, 20% wasting dan 23% overweight atau mengalami obesiti.

Gejala ini berpunca daripada masalah pemakanan di kalangan masyarakat miskin di bandar.

Survei tersebut menunjukkan bahawa gejala bantut di kalangan kanak-kanak adalah lebih parah daripada yang terdapat di Ghana meskipun pendapatan per kapita KDNK Malaysia adalah 6 kali lebih tinggi.
Menyedari betapa pentingnya pemakanan di kalangan keluarga khususnya kanak-kanak, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) mulai awal tahun 2018 sebelum laporan UNICEF dikeluarkan.

KISS adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

KISS diistimewakan untuk ibu kerana ibu adalah insan yang tahu segala-galanya – mother knows best. Bersempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memberdaya serta mengiktiraf peranan dan pengorbanan wanita.

Ibu merupakan insan yang paling terkesan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang sehingga kadangkala wujud gangguan dan tekanan emosi.

Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah RM 2,000 ke bawah, maka Kerajaan Negeri memberi bantuan sebanyak RM 2,400 setahun, atau RM 200 setiap bulan bagi mendapat bekalan makanan yang berzat.

Pendidikan merupakan tunjang kepada masyarakat yang progresif. Sistem pendidikan yang kukuh dan komprehensif akan melahirkan sumber daya manusia yang berilmu, produktif serta mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Peluang pendidikan untuk rakyat adalah amat penting dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan proses ini direalisasikan.

Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 telah melaksanakan Program Peduli Siswa untuk membantu anak jati Negeri Selangor di IPTA seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program ini telah mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan mahasiswa.

Justeru, program ini diteruskan dengan memperluaskan pembiayaan tersebut kepada mahasiswa di Timur Tengah dengan pembiayaan sejumlah RM 10 juta.

Kerajaan Negeri amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh generasi millennials untuk mendapat pekerjaan. Pengangguran di kalangan anak muda adalah 3 kali lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lain. Antara punca utama adalah kekurangan kemahiran.

Untuk memberikan harapan kepada generasi muda, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif untuk menyediakan program latihan bagi mereka memperolehi kemahiran termasuk hi-tech yang diperlukan oleh industri.

Maka, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan dengan peruntukan sejumlah RM 52 juta.

Anggota perkhidmatan awam Selangor adalah institusi penting yang menjadi paksi kejayaan Negeri Selangor. Seramai 17,000 anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor komited untuk menjayakan dasar Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Komitmen mereka dizahirkan dalam bentuk keringat, pemikiran dan khidmat yang cemerlang, profesional dan berintegriti sehingga telah wujud budaya kerja baru dalam pentadbiran Negeri Selangor hari ini ; belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah dijawab.

Justeru itu, Kerajaan Negeri telah menghargai khidmat mereka dengan memberikan bonus 3 bulan gaji. Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor untuk membantu anggota perkhidmatan awam Selangor mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Skim ini merupakan skim takaful insuran yang menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah yang terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

Kejayaan dan kemakmuran ini hanya boleh dinikmati apabila Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan dan iltizam untuk membingkai muafakat, bertoleransi dan berpegang kepada prinsip moderation and justice.

Prinsip ini selaras dengan perintah Allah SWT di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ehsan…”

( Surah An-Nahl : 90)

Di Negeri Selangor, kita didorong oleh semangat untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan, fastabiqul khairat, selaras dengan seruan Ilahi dalam Surah Al-Baqarah.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Kita akan terus berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran. Musuh akan terus menyerang dengan fake news dan fitnah. Keyakinan dan kesabaran kita akan terus diuji to the limit.

Walau bagaimanapun, Negeri Selangor cekal dan tabah untuk menghadapi semua cabaran. Membujur lalu melintang patah. Kita sudah bersedia untuk maju ke Putrajaya.

Salam perjuangan untuk semua.