Ucapan

[Ucapan] Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Rumah Selangorku Masreca N19eteen, Cyberjaya

By November 15, 2017 No Comments
PMB_7678

1. Pada hari ini kita bersyukur kerana dapat menjayakan kerjasama pintar atau smart partnership dengan pihak swasta dalam usaha merealisasikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah di Negeri Selangor.

2. Dalam pembentangan Belanjawan 2018 Negeri Selangor minggu lalu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baru yang berinovasi dan kreatif untuk membolehkan rakyat mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, selesa dan affordable.

3. Sehingga hari ini, usaha Kerajaan Negeri untuk membangun Rumah Selangorku dengan kerjasama pihak swasta telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit. Sejumlah 3,378 unit Rumah Selangorku sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala 20,331 akan siap secara berperingkat menjelang tahun 2020.

4. Projek hari ini adalah usaha pembangunan rumah mampu milik Selangorku pertama di Cyberjaya – bandar siber yang merupakan hub teknologi terawal negara yang diasaskan pada tahun 1997 sebagai bandar pintar. Cyberjaya dibangunkan untuk memacu negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge economy).

5. Saya yakin pembangunan ini amat signifikan selaras dengan gagasan menjadikan Negeri Selangor sebagai sebuah regional smart state.

6. Akses kepada perumahan mampu milik di Cyberjaya akan menarik lebih ramai knowledge workers khususnya dalam bidang teknologi ke Negeri Selangor dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat kelas menengah untuk berhijrah dan menetap di Cyberjaya.

7. Tahniah diucapkan kepada Sterling Group kerana berjaya menyiapkan pembangunan Masreca n19eteen dengan kualiti dan reka bentuk yang kreatif serta berinovasi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

8. Syabas juga diucapkan kepada pemaju kerana mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan ini dengan menyediakan pelbagai kelengkapan rumah biarpun dijual dengan harga yang mampu milik.

9. Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Sterling Group untuk menjayakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah demi mewujudkan sebuah negeri penyayang – compassionate state yang merupakan salah satu strategi Belanjawan 2018.

10. Ikhtiyar ini merupakan keutamaan yang membingkai maslahah umat dan menjadi hala tuju serta kebijakan Kerajaan Negeri demi kebaikan dan kebajikan rakyat. Inilah makna sebenarnya konsep fastabiqul khairat – berlumba-lumba melakukan kebaikan yang bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata tetapi mesti direalisasikan secara teratur dan cekap.

11. Kerajaan Negeri gembira kerana dapat bekerjasama secara smart partnership dengan Sterling Group, syarikat pemaju bumiputera yang profesional dan berpengalaman dalam pembangunan hartanah.

12. Menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Sterling Group dapat memainkan peranan untuk mencipta persekitaran kehidupan bandar yang sihat dan meransang pembentukan komuniti yang harmoni dan kreatif.

13. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Rumah Selangorku Masreca N19eteen, Cyberjaya.