Ucapan

[Ucapan] Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja, Rawang

By February 2, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-02-02 at 4.55.32 PM

Saya bersyukur kerana pada hari Jumaat yang sarat dengan barakah ini, kita dapat bersama-sama dengan anak-anak qariah untuk menyempurnakan Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja kepada Jawatankuasa Masjid dan seterusnya bersama-sama untuk menunaikan Solat Jumaat yang pertama di masjid ini, InshaAllah.

Saya yakin majlis ini juga akan memperteguh ukhuwwah di kalangan umat dan menjadikan masjid ini pusat ibadah, pusat pendidikan dan pusat pengembangan syiar Islam sebagai benteng kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kita bersyukur kerana Negeri Selangor terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mampan. Hari ini, Negeri Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia sebanyak 23%. Pada masa yang sama, Negeri Selangor juga tuntas mengekalkan prinsip keadilan sosial dan pengagihan yang adil.

Kerajaan Negeri Selangor mahu mengimbangi pembangunan yang pesat ini dengan keutuhan pembangunan kerohanian di kalangan umat supaya pembangunan di Negeri Selangor ini tidak tempang.

Seperti yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 :

“Demikian juga kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia (pada hari kiamat kelak) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi terhadap kamu.”

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri senantiasa menggalas tanggungjawab untuk menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembangunan institusi Islam termasuk masjid, surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Walaupun Selangor memiliki masyarakat yang rencam dan kosmopolitan, namun Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri Islam yang kuat dan tidak tercabut dari aqidah dan akhlak. Berimbang bermaksud kita mempertahankan kesederhanaan dan dengan kesederhanaan kita menolak sebarang bentuk ekstrimisme.

Maka, masjid perlu memainkan peranan sebagai institusi ta’dib dan tarbiyyah untuk menyemai nilai-nilai murni Islam. Saya cukup yakin dan percaya, pengimarahan masjid akan dapat melahirkan umat yang sederhana dan berimbang.

Pembangunan “ummatan wasata” yakni umat yang berpegang kepada prinsip Al-Quran seperti keadilan dan kesederhanaan adalah paksi kepada kemajuan Negeri Selangor bukan sahaja maju dalam sektor industri dan kewangan tetapi juga seimbang dalam konteks pembangunan kerohanian. Keseimbangan inilah yang menjamin kejayaan Selangor.

Menjadi tanggungjawab kita khususnya anak-anak qariah di Taman Tun Teja ini untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti dan program yang sarat dengan ilmu yang mengajar erti kesederhanaan dalam hidup, menolak fahaman ekstremis dan radikal yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat. Kita mahu masjid menjadi wahana yang membingkai muafakat di kalangan masyarakat yang rencam.

Dalam kegembiraan kita mendapat sebuah masjid baru, kita harus insaf dan sedar bahawa kita juga berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan masjid ini diimarahkan selari dengan peranan dan fungsi sebenar sebuah masjid.

Allah SWT telah menegaskan di dalam Al-Quran tentang kualiti insan-insan yang layak mengimarahkan masjid. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya hanyalah yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka dengan adanya sifat-sifat tersebut, maka mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

( Surah At-Taubah : 18 )

Kita harus beringat bahawa masjid juga mempunyai peranan sosial yang penting dalam masyarakat. Kita harus menginsafi masih ramai di luar sana yang memerlukan perhatian dan pembelaan dari segi perlindungan, makanan asas yang sihat dan rawatan kesihatan yang berkualiti.

Masjid juga perlu memberikan perhatian terhadap persoalan ini sesuai dengan prinsip Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

“Tiadalah Kami mengutuskan engkau melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah Al-Anbiya’ : 107)

Ini bermakna, selain daripada berperanan sebagai pusat ibadah dan kerohanian, masjid perlu meluaskan peranan sosialnya dalam menjamin kesejahteraan umat.

Melalui kegiatan ini, masjid akan menjadi cerminan kepada Islam sebagai agama yang penyayang. Inilah mafhum daripada sabda Baginda Rasulullah SAW:

مَنْ لا يَرحم لا يُرحم

“Barangsiapa tidak berasa belas kasihan terhadap sesama manusia, Allah pasti tidak akan menaruh belas kasihan kepadanya.”

( Riwayat At-Tarmizi )

Prinsip ini diterjemahkan dalam dasar Kerajaan Negeri untuk membina masyarakat penyayang dan ini dilaksanakan dalam pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan umat setempat memandangkan pembangunan taman perumahan dan kawasan industri yang pesat di Mukim Rawang. Jumlah penduduk di Mukim Rawang hari ini dianggarkan melebihi 100,000 orang termasuk di Taman Tun Teja yang didiami lebih 10,000 umat Islam.

Sejak lebih 30 tahun yang lalu, hanya terdapat 2 buah masjid di Mukim Rawang iaitu Masjid Ehsaniah, Kampung Melayu Batu 16 dan Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga. Maka, sejajar dengan prinsip peduli, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baru bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan umat Islam untuk beribadat.

Pembinaan masjid baru Taman Tun Teja telah menelan kos sebanyak RM 10 juta dan pembinaannya telah dimulakan sejak November 2015.

Akhirnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam merealisasikan pembinaan masjid ini khususnya JKR Negeri Selangor dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada rakyat di Mukim Rawang khususnya Taman Tun Teja yang senantiasa teguh mendukung usaha Kerajaan Negeri dalam menjayakan pembangunan ini.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Masjid Taman Tun Teja.

Comments

comments