Ucapan

[Ucapan] Majlis Perasmian Jambatan Ketiga Klang

By November 20, 2017 No Comments
IMG_20171119_112531

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

&

Duli Yang Maha Mulia
Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin.
Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berangkat bagi menyempurnakan perasmian Jambatan Ketiga Klang di Bandar Di Raja Klang pada pagi ini.

Sesungguhnya keberangkatan Tuanku mencemar duli ke majlis ini mencerminkan keprihatinan yang tinggi Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap pembangunan infrastruktur untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat Tuanku.

Jambatan Ketiga Klang merupakan salah satu daripada projek pembangunan utama yang telah disempurnakan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Pembangunan infrastruktur lain yang telah disiapkan dalam tahun ini adalah Projek Mitigasi 2 yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air terawat serta menambahbaik sistem agihan bekalan air. Alhamdulillah, projek ini siap sepenuhnya pada 28 April yang lalu.

Sebuah lagi pembangunan penting untuk rakyat Selangor adalah pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 yang bernilai RM 188 juta dan dijangka siap pada bulan hadapan.

Izinkan patik menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa Kerajaan Negeri tuntas mengemukakan Belanjawan Negeri yang bertanggungjawab dengan memberi penekanan terhadap Belanja Pembangunan dan berusaha gigih mengurangkan Belanja Mengurus.

Belanjawan 2018 yang diluluskan dalam Dewan Negeri Selangor minggu lalu mencatatkan Belanja Pembangunan meningkat kepada 53.2% manakala Belanja Mengurus menurun kepada 46.8%.

Inilah yang disebut sebagai raison d’etre dan merupakan cabaran besar Kerajaan Negeri untuk memastikan semua projek infrastruktur yang berjumlah RM 746 juta termasuk projek baru dan menaiktaraf jalan dan jambatan, projek tebatan banjir, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air mestilah siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

Pembangunan yang diberikan keutamaan adalah pembangunan yang berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan menjamin alam sekitar, pemuliharaan hutan dan kawasan hijau serta membudayakan teknologi hijau.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha ke arah mempertingkatkan kelestarian biodiversiti melalui program kesedaran seperti pengindahan pantai, pemuliharaan hidupan liar dan penanaman pokok.
Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan bagi meraikan tetamu yang telah memberikan dorongan untuk menyiapkan Jambatan Ketiga Klang.

Ampun Tuanku,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri ;

YB Dato’ Nik Shuhaimi Bin Nik Sulaiman,
Penasihat Undang – Undang Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Noordin bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri ;

Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abd Wahid,
Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor ;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan Parlimen ;

Yang Berbahagia Dato’ Nor Azmie Diron,
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) ;

Yang Berusaha Dato’ Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz,
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor ;

Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan ;

Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang budiman.

Kerajaan Negeri yakin, melalui pembangunan yang terancang dan berkualiti, Selangor dapat merancakkan aktiviti ekonomi yang sustainable dan menyediakan kemudahan prasarana yang unggul bagi menarik perhatian pelabur asing dan tempatan berlabuh di Negeri Selangor.

Pembangunan yang pesat di Daerah Klang khususnya pembangunan kemudahan baru di Pelabuhan Barat (Westport) dan Pelabuhan Utara (Northport) menjadi pemangkin kepada kepesatan ekonomi Selangor dan negara. Pembangunan ini turut menyumbang kepada kesesakan trafik khususnya di Bandar Klang.

Pelaksanaan projek Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer dengan kos projek bernilai RM 250 juta mencerminkan kepedulian Kerajaan Negeri untuk berbelanja bagi pembangunan berkualiti demi menyuraikan kesesakan trafik dan mewujudkan jaringan jalan raya yang cepat, selamat dan mesra pengguna.

Jambatan ini juga menjadi penghubung kepada dua buah kawasan iaitu Teluk Pulai dan Sungai Bertek di sebelah Selatan dan Tanjung Syawal di sebelah Utara.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perbendaharaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor yang komited melaksanakan pembangunan Jambatan Ketiga Klang.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Semoga keberangkatan Duli-Duli Tuanku menjadi dorongan kepada patik dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor untuk menjunjung titah Tuanku demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

Ampun Tuanku.