Ucapan

[Ucapan] Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang

By Julai 18, 2017 No Comments
a69da9cb-993d-45ce-846c-bd7a3add3b9c

Alhamdulillah, pagi ini kita akan menyaksikan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri bersama pihak swasta untuk menyediakan infrastruktur dan pembangunan yang dapat meningkatkan mobiliti dan connectivity dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang.

Daerah Hulu Langat sedang menyaksikan pembangunan yang pesat. Kerajaan Negeri akan terus membangunkan infrastruktur yang efektif dan kondusif bagi menyokong pembangunan di daerah ini.

Kerajaan Negeri sedar bahawa nadi kepada kemajuan sesebuah negeri adalah pembangunan yang mampan dan dapat menghubungkan bandar dan desa. Semenjak 3 tahun lalu, Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus. Tahun 2017 menyaksikan belanja pembangunan ditingkatkan kepada 52%. Dalam hal ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan dua agensi penting untuk memastikan usaha pembangunan infrastruktur dilaksanakan mengikut jadual dan menjamin kualiti dan keselamatan.

Kerajaan Negeri yakin, melalui pembangunan yang terancang dan berkualiti, Selangor dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan menyediakan kemudahan prasarana yang unggul bagi menarik perhatian pelabur asing dan tempatan berlabuh di Negeri Selangor. Ini sekaligus dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri yang dinamik.

Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memastikan peruntukan yang mencukupi untuk agensi pelaksana seperti JKR dan JPS bagi membiayai kerja-kerja pembangunan infrastruktur negeri. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 373 juta kepada JKR bagi memacu pembangunan negeri. Pada tahun 2017, peruntukan JKR ditingkatkan kepada RM 390 juta untuk pembangunan infrastruktur, kemudahan dan prasarana rakyat.

Perbelanjaan pembangunan yang besar amat signifikan kerana mempunyai hubungan dengan kadar pertumbuhan ekonomi.

Ini bermula sejak tahun 1980an di mana Malaysia giat membangunkan prasarana dan infrastruktur untuk sektor perindustrian serta mengamalkan Dasar Pandang ke Timur. Infrastruktur yang lengkap dan sempurna pula telah menarik kemasukan pelabur asing yang kemudiannya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 1990an.

Pengalaman ini penting sebagai asas Kerajaan Negeri mengemudi pembangunan negeri demi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing. Hal ini juga menuntut sektor swasta bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Negeri untuk menyediakan infrastruktur yang baik untuk rakyat.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 7 pemaju swasta di sekitar kawasan ini yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan persimpangan ini yang bernilai RM 62 juta selain daripada RM 3.2 juta yang turut disumbangkan untuk pembinaan jambatan di Bandar Teknologi Kajang.

Pembinaan persimpangan bertingkat ini penting kerana pertumbuhan taman perumahan, komersil dan industri sedang rancak pada hari ini. Oleh yang demikian, ianya bertepatan untuk membantu penyuraian aliran trafik secara terancang dan menyediakan laluan alternatif dan kemudahan kepada lebih 50,000 orang penduduk di sekitar Bangi dan Kajang.

Persimpangan ini akan menghubungkan Bandar Baru Bangi dengan pembangunan baru seperti Kajang 2, Nadayu 92 dan Tropicana Heights sehingga ke Bandar Teknologi Kajang dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Stesen Komuter Kajang 2.

Secara tidak langsung, ini akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penambahbaikan interconnectivity pengangkutan awam ke semua kawasan lingkaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Persimpangan ini akan memberi keselesaan dan mengurangkan masa perjalanan serta menjimatkan kos kerana tiada tol yang dikenakan.

Pembukaan persimpangan bertingkat ini juga akan memberi nilai tambah kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio ekonomi di Daerah Hulu Langat. Masyarakat setempat akan mendapat akses yang lebih mudah dan cepat ke KLIA dan pusat pentadbiran Putrajaya.

Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama yang konstruktif ini antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta, kita dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana demi kemudahan dan keselesaan rakyat. Semoga kita dapat terus berganding bahu untuk mencapai gagasan Kerajaan Negeri Selangor iaitu Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi – Kajang 2 – Bandar Teknologi Kajang.

Sekian, terima kasih.