Ucapan

[Ucapan] Majlis Ramah Mesra & Penyerahan Cek Bantuan Kewangan Kepada Persatuan-Persatuan Veteran Selangor

By Mac 31, 2017 No Comments
1f6e8064-f179-49b4-b460-514a0ac13c95

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat bersama-sama dengan para pejuang veteran negara yang mewakili Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Selangor, Persatuan Veteran Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Malaysia Armed Forces Sikh Veterans Association (MAFSVA) dan Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba & Penyelamat Negeri Selangor.

2. Pada petang ini, kita meraikan veteran pasukan keselamatan yang telah menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara. Jika tidak kerana pasukan keselamatan yang mempertahankan negara daripada sebarang ancaman, menjaga kedaulatan sempadan negara, menjamin keamanan tanah air dan sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan mereka, kita pastinya tidak akan berada di sini.

3. Hari ini, pasukan keselamatan negara mempunyai peranan yang signifikan bagi mendepani pelbagai ancaman baru yang mengugat keselamatan negara. Ini termasuklah isu-isu sempadan dan wilayah, ancaman keselamatan di perairan negara dan isu maritim.

4. Kesejahteraan rakyat juga disumbangkan oleh pasukan pertahanan awam seperti pasukan Bomba & Penyelamat yang memberikan khidmat pencegahan dan kemanusiaan kepada komuniti termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya bencana.

5. Justeru itu, menjadi tanggungjawab moral masyarakat dan negara untuk menyantuni kebajikan dan menyediakan peluang untuk masa depan para pejuang veteran dan keluarga mereka.

6. Saya mengambil maklum hampir 70% daripada sejumlah 378,274 orang bekas anggota tentera di seluruh negara merupakan golongan veteran yang tidak berpencen.

7. Kerajaan Negeri terpanggil untuk membantu sedaya upaya kami anggota veteran yang tidak berpencen dan veteran cedera perang supaya mempunyai jaminan masa hadapan yang lebih cerah.

8. Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 1 juta dalam tahun 2017 untuk menyemarakkan program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera termasuk keperluan perubatan dan kebajikan. Ini termasuklah sejumlah RM 500 ribu yang disalurkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM melalui Persatuan Veteran ATM Negeri Selangor.

9. Kerajaan Negeri turut menawarkan pelbagai program dan inisiatif yang boleh dinikmati oleh golongan veteran pasukan keselamatan di Selangor seperti pembiayaan mikrokredit HIJRAH Selangor dengan pemberian bantuan modal perniagaan untuk usahawan-usahawan kecil memulakan perniagaan masing-masing.

10. Kerajaan Negeri juga menawarkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) khusus kepada golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas. Skim ini merupakan skim khairat kematian dengan manfaat sebanyak RM 2,500 sebagai menghargai warga emas.

11. Kerajaan Negeri juga amat peduli dengan tahap kesihatan rakyat di Selangor. Bermula Januari 2017, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan sebanyak RM 125 juta setahun bagi penyediaan perkhidmatan rawatan kesihatan asas (primary care). Melalui program ini, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 250,000 keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah akan mendapat manfaat dengan nilai RM 500 setahun bagi memastikan warga Selangor sentiasa dalam keadaan sihat dan produktif. Skim ini adalah yang terunggul di Malaysia dan hanya di Selangor.

12. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga. Maka, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) telah menetapkan kuota 10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform berkuatkuasa 1 September 2016.

13. Pada hari ini, selain daripada sumbangan Kerajaan Negeri untuk Tabung Pahlawan ATM Negeri Selangor berjumlah RM 500 ribu, Kerajaan Negeri sukacita untuk menyerahkan cek bantuan kewangan kepada 3 persatuan veteran pasukan keselamatan; Persatuan Veteran Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sebanyak RM 50 ribu, Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba & Penyelamat Negeri Selangor sebanyak RM 50 ribu dan Malaysia Armed Forces Sikh Veterans Association (MAFSVA) sebanyak RM 10 ribu.

14. Menjadi harapan kita agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh persatuan untuk mempertingkatkan peranan mereka dalam masyarakat menerusi program-program kebajikan dan kemasyarakatan serta bersama-sama Kerajaan Negeri merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.