Ucapan

[Ucapan] Majlis Sambutan Hari Guru & Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor 2017

By Mei 23, 2017 No Comments
05128228-c9c3-42b2-9a55-b94f4b4412ee

Pada pagi ini saya sungguh berbahagia kerana dapat bersemuka dengan masyarakat pendidik Islam sempena sambutan Hari Guru dan Anugerah Kualiti Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Guru bukan sahaja berperanan sebagai pembina negara, bahkan pembina ummah.

Tatkala Rasulullah SAW mengirimkan Muaz bin Jabal ke Yaman untuk mengajar, Baginda bersabda: “seorang manusia yang mendapat hidayah melalui kamu adalah lebih baik dari dunia dengan segala isinya.”

Pengajaran hadith ini mempamerkan bahawa Islam memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada guru dan ilmu. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah manifestasi kepada penghargaan masyarakat Islam terhadap khidmat dan sumbangan warga guru.

Dalam Islam, guru-guru mempunyai peranan yang mencabar kerana peranan mereka bukan sekadar membina insan untuk kehidupan dunia, bahkan kehidupan akhirat.

Pada hari ini pendidikan Islam mempunyai peranan yang lebih signifikan kerana generasi muda hidup di zaman yang sungguh mencabar. Tanpa asas agama yang kukuh, kita akan mengalami gejala “membangun sambil meruntuh.”

Tiga aspek pendidikan Islam yang holistik harus merangkumi tarbiyyah, ta’lim dan ta’dib. Tarbiyyah bertujuan untuk membina jati diri Muslim manakala ta’lim untuk menyampaikan ilmu yang sempurna. Ta’dib pula adalah untuk membentuk insan yang bertamadun.

Sekiranya kurikulum dan pengajaran pendidikan Islam di Selangor dapat mencapai tiga aspek ini, saya yakin Negeri Selangor akan terus melahirkan masyarakat yang bertamadun tinggi.

Pendidikan Islam menuntut kita menjalani tiga proses ini demi menanam nilai-nilai murni kepada pelajar, iaitu menyemai semangat cinta kepada kebenaran, benci kepada kezaliman serta rasuah dan menegakkan keadilan.

Hari ini, masyarakat menerima hakikat bahawa pendidikan agama amat penting. Ini adalah apresiasi masyarakat terhadap guru agama dalam usaha membangunkan sebuah bangsa yang berilmu, berakhlak serta mempunyai nilai-nilai dan ketrampilan yang unggul.

Kesedaran yang tinggi dalam pendidikan Islam telah mendorong generasi muda mempertingkat prestasi mereka dalam bidang keilmuan Islam. Alhamdulillah, saya gembira kerana saban tahun prestasi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) terus meningkat.

Pada tahun 2014, seramai 4,382 orang calon memperolehi mumtaz, manakala pada tahun 2015 meningkat kepada 7,123 calon. Keputusan cemerlang ini terus dilakarkan dalam peperiksaan PSRA tahun lalu yang mencatatkan jumlah pelajar mumtaz seramai 6,505 orang.

Sementara itu, keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama juga memperlihatkan prestasi yang begitu baik. Keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama bagi tahun 2016 adalah 92.2% meningkat sebanyak 1.9% berbanding tahun 2015 iaitu 90.3%.

Kecemerlangan ini telah mendorong lebih ramai ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah agama. Ini boleh dilihat saban tahun, apabila Bahagian Pendidikan Islam, JAIS menerima permohonan kemasukan ke Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Sekolah Agama Menengah (SAM), dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) semakin meningkat sedangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad.

Jumlah permintaan ke Sekolah Menengah Agama (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) adalah melebihi 20,000 permohonan setiap tahun sedangkan institusi pendidikan agama di Negeri Selangor hanya mampu menampung seramai 3,924 orang pelajar sahaja.

Justeru itu, untuk menampung permintaan yang begitu tinggi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina sebuah lagi MITS di Pandan Indah dengan kos RM 30 juta. MITS ini merupakan MITS ke 5 selain daripada MITS Istana Bandar di Kuala Langat, MITS Alam Impian di Klang, MITS Bagan Terap di Sabak Bernam dan MITS Bagan Lalang di Sepang.

Baru-baru ini saya telahpun menandatangani surat kelulusan untuk membina dua buah Maahad Tahfiz Swasta yang bernilai RM 6 juta setiap satu di Jenjarom, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses membina 3 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Sungai Besar, SRA Sungai Kantan dan SRA Taman Bunga Raya dengan kos pembinaan RM 8.5 juta setiap satu. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan untuk membangunkan 3 buah lagi Sekolah Rendah Agama (SRA) iaitu SRA Bandar Country Homes, SRA Denai Alam dan SRA Damansara Damai dengan kos pembangunan sebanyak RM 10 juta setiap satu pembangunan.

Kerajaan Negeri komited untuk terus memajukan pembangunan pendidikan Islam. Justeru itu, Kerajaan bukan sahaja akan meningkatkan prasarana sekolah, Kerajaan Negeri juga akan memperkemaskan kurikulum untuk mendepani cabaran semasa, meningkatkan kemahiran guru di samping menjaga kebajikan guru-guru agama.

Kita sedar bahawa jasa dan pengorbanan mereka perlu dihargai. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, Kerajaan Negeri Selangor pada awal tahun 2016 telah meluluskan kenaikan elaun guru KAFA seramai 6,900 orang mengikut tahun perkhidmatan.

Maka, sebagai mewakili rakyat Selangor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru agama. Sebagai sebuah negeri yang makmur dan berkebajikan, Kerajaan Negeri akan sentiasa menambahbaik skim perkhidmatan dan akan terus memperjuangkan serta melaksanakan semakan peluang kenaikan pangkat guru-guru dalam membangkitkan semangat bekerja yang tinggi.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Kualiti Pendidikan 2017 Jabatan Agama Islam Selangor.