Ucapan

[Ucapan] Majlis Tilawah & Menghafaz Al Quran Peringkat Negeri Selangor 2017

By Mac 7, 2017 No Comments
b778c19e-bd23-477a-8443-e343d9321ff7

1. Alhamdulillah, pada malam ini kita diberikan kekuatan untuk bersama-sama mendukung Program Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor. Kita juga bersyukur kerana dapat mengimarahkan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah. Raja Haji adalah seorang pejuang Islam yang syahid di Ketapang dalam usaha untuk membebaskan umat Islam dari penjajah.

2. Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran adalah wahana perkembangan ilmu Al-Quran yang sarat dengan pengisian dan pedoman buat umat.

3. Tema tahun ini, “Umat Bersatu Selangor Maju” adalah berteraskan gagasan negeri untuk mewujudkan perpaduan dan membebaskan umat dari konflik dan perbenturan. Berbekalkan perpaduan yang utuh, Negeri Selangor akan memberikan tumpuan kepada pembangunan untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan umat.

4. Sebagai negeri yang paling maju di Malaysia, Selangor merupakan centre of gravity yang menjadi daya tarikan kepada rakyat dari pelbagai negeri termasuk pedagang, ilmuwan dan pendakwah. Umat Islam dan bukan Islam datang berbondong-bondong untuk sama-sama berkongsi kemakmuran negeri ini.

5. Namun, harus diingat, pembangunan yang pesat sering membawa cabaran. Sebagai sebuah negeri yang kosmopolitan, kita terdedah kepada pelbagai bentuk kemungkinan. Justeru itu, untuk memastikan agar kita tidak tercabut daripada akidah dan jati diri sebagai seorang Muslim, kita harus kembali semula kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

6. Al-Quran adalah mukjizat utama yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kepada tatacara perjalanan dan kehidupan manusia di muka bumi. Melalui majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran ini, InshaAllah kita akan dapat menghayati nilai-nilai dan pengajaran yang terkandung di dalam Al-Quran yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia dan di akhirat.

7. Sebagai sebuah negeri yang rencam, kita perlu menghayati prinsip li-taarafu sebagaimana yang terungkap dalam Surah al-Hujurat:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
(Surah Al Hujurat : 13 )

8. Prinsip ini menganjurkan agar kita saling kenal-mengenal dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Kemuliaan seseorang disisi Allah SWT bukannya terletak pada pangkat, warna kulit dan darjat, sebaliknya kerana ilmu dan ketaqwaan.

9. Dalam sejarah tamadun Islam, sikap li-taarafu mendorong umat Islam untuk mendakap dan mengambil aspek positif dari tamadun agung dunia yang tidak bertentangan dengan ruh Islam. Temu-tembung tamadun yang produktif dan kreatif ini telah menjadikan tamadun Islam amat kaya dan kosmopolitan.

10. Dalam perkembangan syariah, aspek adat dan ‘uruf menjadi sumber dalam perkembangan hukum Islam selagi ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Dalam aspek pentadbiran pula, pemerintah mengambil amalan positif daripada tamadun sebelumnya yang merangkumi aspek politik, tadbir urus dan perlembagaan.

11. Namun, sementara tamadun Islam merayakan kepelbagaian, kita perlu memperkukuh dan memperteguh akidah dan ajaran Islam. Kita harus kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Malah, dalam usaha membina sebuah tamadun yang gemilang, kita dituntut menjaga hubungan dengan Allah – hablumminallah – dan hubungan sesama manusia – hablumminannas.

12. Kita perlu menggilap idealisme dan bersatu di atas prinsip yang luhur dan menjaga tatakelola di mana kita mendapat dorongan dan teladan dari Khalifah Umar Abdul Aziz. Kita juga perlu ingat peranan Nizam al-Mulk al-Tusi dalam membangunkan sebuah kerajaan Islam yang stabil dalam keadaan yang sangat mencabar tatkala Khilafah Abbasiah mengalami kemerosotan.

13. Beliau menubuhkan rangkaian institusi pendidikan tinggi Islam bernama Nizamiyah yang dipimpin oleh al-Juwaini dan kemudiannya oleh Hujjatul Islam, Al-Ghazali yang menghidupkan ilmu-ilmu Islam berdasarkan epistimologi Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

14. Keutamaan dalam siasah Nizam al-Mulk adalah untuk melaksanakan keadilan, memberi perlindungan kepada yang lemah dan terpinggir serta melindungi hak setiap golongan. Beliau juga tegas menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

15. Kerajaan Negeri Selangor mengambil iktibar dari negarawan ulung di zaman lampau, seperti Khalifah Umar Abdul Aziz dan Nizam al-Mulk dengan memberi penekanan kepada perpaduan ummah, perpaduan yang diasaskan dari kesatuan akidah dan wahdatul fikr atau kesatuan fikrah.

16. Perpaduan ummah akan membolehkan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembinaan tamadun. Kemakmuran dan kekayaan di Negeri Selangor akan dapat menjayakan usaha pengagihan kekayaan kepada semua rakyat sebagaimana yang dituntut dalam prinsip keadilan sosial (al-’adalah al-ijtima’iyyah).

17. Kita juga harus menggali karya-karya para ulama’ dan umara’ zaman silam untuk merumuskan maqasid syariah dalam konteks kontemporari bagi menangani cabaran semasa. Kita harus akur bahawa ini adalah satu cabaran yang berat, namun seperti yang difirmankan oleh Allah SWT :

“…Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran…”

18. Allah SWT turut berfirman :

“Sesungguhnya bersama kesukaran itu (ada) kemudahan.”

19. Agenda membina tamadun mengandungi pelbagai kegiatan dan hubungan antara manusia. Dalam usaha ini, ilmu-ilmu yang berteraskan wahyu dan juga ilmu-ilmu duniawi seperti sains, perubatan dan teknologi turut berkembang.

20. Atas kesedaran ini, Negeri Selangor mengambil pendekatan baru dalam pendidikan tahfiz dan ilmu-ilmu Al-Quran agar mesej Al-Quran tentang umat sebagai masyarakat yang organik, dinamik dan progresif dapat difahami secara menyeluruh.

21. Kita mahu menyegarkan kembali tamadun kegemilangan Islam dalam konteks abad ke 21 di mana masyarakat ketika itu, mampu melahirkan bukan sahaja generasi Al-Quran tetapi cendekiawan Muslim dalam pelbagai bidang hasil daripada engagement mereka dengan tamadun-tamadun besar yang lain.

22. Maka, generasi muda Islam hari ini perlu menguasai ilmu-ilmu yang akan memungkinkan mereka menggali khazanah turath Islam. Pada ketika yang sama, pelajar-pelajar tahfiz harus dilengkapkan dengan ilmu-ilmu kontemporari, sains, teknologi dan inovasi agar mereka memiliki ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menyegarkan kegemilangan tamadun Islam.

23. Penguasaan turath bersama dengan sains dan teknologi akan melahirkan generasi muda unggul yang memiliki fikrah serta jati diri yang kukuh bagi mendepani cabaran semasa.

24. Cabaran umat Islam hari ini bukan hanya persoalan ekstrimisme dan militan malahan umat Islam juga sedang bergelut dengan cabaran pembangunan untuk mengangkat martabat dan darjat umat.

25. Dari segi kedudukan sosio ekonomi, umat Islam jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan umat-umat lain. Maka, untuk mendepani cabaran pembangunan, umat Islam tidak boleh tercicir daripada perkembangan ilmu-ilmu moden seperti kewangan, pengurusan, keusahawanan dan teknologi maklumat.

26. Untuk memartabat golongan huffaz di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan untuk Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat kepada RM 5 juta. Program ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di KUIS yang memberi manfaat kepada 430 orang pelajar.

27. Peruntukan ini juga akan dikembangkan untuk Program Dermasiswa Huffaz yang melibatkan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Swasta di Negeri Selangor dan juga Program Ithbat Hafazan Selangor. Semoga dengan azam dan komitmen ini, Negeri Selangor akan muncul sebagai sebuah negeri yang mithali dalam program pembudayaan Al-Quran.

28. Justeru itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam program ini. Mudah-mudahan, kita mendoakan semoga program ini mencapai matlamatnya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi Muslim yang unggul memahami dan menghayati Al-Quran secara menyeluruh.

29. Maka, dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1438H/2017M.

YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Besar Selangor

Comments

comments