Berita

Majlis Malam Senandung Budi anjuran WADAH-ABIM-PKPIM

By September 20, 2015 No Comments
212

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dapat bersama dalam keluarga besar WADAH, ABIM dan PKPIM dalam Majlis “Malam Senandung Budi”. Saya mengucapkan tahniah kepada WADAH, ABIM dan PKPIM di atas kejayaan menganjurkan “Seminar Ilmuwan Muslim dan Misi Pencerahan Umat” pada siang tadi. Wacana ini amat penting untuk mendampingi para ilmuwan dalam usaha untuk melaksanakan agenda Pencerahan dengan makna sebenar.

2. Istilah “Pencerahan” yang diungkapkan hari ini gagal menepati maksud sebenar; ianya sekadar mendapat maklumat dan penjelasan. Pada hal, Pencerahan membawa maksud yang besar serta mendalam. Pencerahan atau kata asalnya “Aufklärung” adalah istilah kebudayaan dan pemikiran yang sangat fundamental.

3. Sebagaimana definasi yang diberikan oleh Immanuel Kant, filasuf teragung Pencerahan, “Pencerahan adalah the emergence of man from self-imposed immaturity, pembebasan manusia dari ketidakmatangan yang dipaksakan ke atas diri sendiri.”

4. Gejala self-imposed immaturity ini masih berleluasa dalam masyarakat kerana tidak ada keberanian untuk berfikir. Ini yang dicela oleh Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat ke 179:

“Mereka mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya, mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya, mereka mempunya telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka adalah laksana haiwan bahkan lebih sesat.”

Allah SWT menyuruh manusia menggunakan kalbu sebagai simbol akal atau rasionaliti dan deria atau emperisme sebagai instrumen pembebasan.
5. Dengan berlandaskan gesaan ini, Umat Islam menghasilkan Pencerahan di Baghdad dan Andalusia. Umat Islam lebih dahulu memaknai slogan “Sapere Aude” sebelum ianya diangkat kembali oleh Immanuel Kant di abad ke-18 di Eropah. “Sapere Aude” bererti “berani menahu”, iaitu membawa makna “berani mencari kebenaran tanpa kebatasan.”

6. Seseorang itu disebut “enlightened” atau berpencerahan kerana telah membebaskan diri dan mindanya dari faham sempit apa jua pun baik perkauman, ideologi atau agama. Apabila ada golongan yang berhimpun untuk menegakkan hegemoni sesuatu kaum, ini bermakna usaha untuk melakukan Pencerahan perlu dipertingkatkan dan dihayati oleh masyarakat yang rencam di Malaysia.

7. Justeru itu, organisasi masyarakat atau ormas seperti ABIM, WADAH dan PKPIM perlu menyahut cabaran Pencerahan melawan fanatisme, kesempitan, radikalisme dan permasalahan keganasan (al’unf).

8. Keganasan sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang jelas menganjurkan perdamaian dan kesejahteraan hidup manusia. Al-Qur’an menyatakan dengan tegas: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara tidak benar dalam agamamu.” (Surah al-Maidah: 77).

9. Baginda Rasulullah SAW melarang umatnya bersikap melampau di dalam sesuatu perkara kerana ia mengundang kebinasaan. Sabdanya: “halaka al-mutanatti’un.”

10. Gejala yang bermula dengan keganasan fikiran (irhab al-fikri) dan selepas itu diikuti dengan tindakan letupan bom berani mati di beberapa buah negara Islam dan bukan Islam, jelas memberi imej yang sangat buruk terutama kepada masyarakat bukan Islam. Hakikatnya fenomena ekstremisme agama (al-tatarruf al-din) dan keganasan (al-‘unf) adalah merbahaya dan merugikan masa hadapan umat.

11. Sekiranya kita melihat peta sosial dan politik dunia Islam hari ini, kita akan mendapati dunia Islam Asia Tenggaralah yang paling stabil. Dunia Arab berkecai dengan pertumpahan darah akibat perang dan konflik sekterianisme. “Arab Spring” yang bermula di Afrika Utara berakhir dengan rampasan kuasa tentera di Mesir dan perang saudara di Libya. Di Asia Selatan, luka dan kehancuran dari perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat terhadap Al-Qaeda masih belum sembuh. Pembangunan semula negara yang pernah menjadi salah satu pusat Pencerahan dunia Islam disulitkan oleh militanisme Taliban. Taliban juga memangkin militanisme madrasah di Pakistan dan terus menerus mengoncang kestabilan politik di negara tersebut sehingga menuju ke arah negara gagal atau failed state.

12. Kebelakangan ini muncul femonema ISIS atau ISIL di mana konsep “Daulah Islamiah” iaitu “Islamic State” dirampas atau di hijack demi tujuan rebutan kuasa. Akibat huru-hara politik dan penindasan kaum Sunni di Iraq dan juga perang di Syria, keadaan “power vacuum” yang berlarutan telah memberikan “golden opportunity” kepada anasir-anasir kejam untuk menetap pengaruh mereka dan terus menguasai bandar-bandar yang strategic di Iraq dan Syria. Persoalannya sekarang : Apakah umat Islam bersedia, sanggup dan rela menangani cabaran ISIS yang sudah kita tahu langsung tidak berlandaskan perjuangan yang dituntut al-Qur’an dan Sunnah?

13. Kestabilan Asia Tenggara adalah kerana pemimpin rantau ini mengutamakan pembangunan rakyat. Dua negara majoriti Muslim rantau ini, Malaysia dan Indonesia, pernah berkonfrontasi. Kesilapan ini segera dibetulkan.

14. Umat Islam adalah merupakan paksi sosial yang menentukan kestabilan Asia Tenggara. Kestabilan ini adalah sikap sederhana Islam alam Melayu-Indonesia di mana Islam datang dengan cara damai melalui pedagang dan ahli sufi. Kebijaksanaan pendakwah Islam dari zaman berzaman dirantau ini menghasilkan local genius atau kearifan setempat.

15. Islam berkembang secara berperingkat, konflik dihindari, adat yang baik tidak dibuang dan didamaikan dengan syariat mengikut kaedah fikih, qawaidul fiqh, al- ‘adah muhakkamat, – adat menjadi hukum. Maka ungkapan Melayu “biar mati anak, jangat mati adat” perlu difahami secara berpencerahan, iaitu hukum atau undang-undang itu berdaulat, mengatasi pertalian. Ini adalah prinsip rule of law yang wujud dalam masyarakat Melayu. Ini lebih jelas kerana ungkapan tersebut bersambung : adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah.

16. Kearifan setempat atau local genius Islam Asia Tenggara perlu dipertahankan, bahkan perlu disuburkan. Wacananya perlu dirancakkan. Kita tidak menolak Tradisi Islam Arab atau Parsi atau India. Namun Islam Asia Tenggara adalah bagian integral dari pelangi Islam global.

17. Dalam konteks global hari ini, di mana Islamophobia berleluasa Islam Asia bertanggungjawab mempamirkan The Smiling Face of Islam sebagai jawapan kepada The Menacing Face of Islam yang ditonjolkan oleh segelintir militan dan pengganas yang kebetulan beragama Islam.

18. Kita terkesan dengan kenyataan terbaharu Rais Am Nahdlatul Ulama, KH Ma’ruf Amin, yang menegaskan bahawa Islam Nusantara menjunjung cara berfikir yang dinamis, tetapi tetap sesuai aturan dan disampaikan dengan sopan santun, tanpa kekerasan.

19. Islam Nusantara juga menanamkan sikap toleran dan menghargai perbedaan, mengedepankan prinsip rasa cinta antara umat beragama. Tidak boleh ada upaya intimidasi, pemaksaan dan ancaman di tengah masyarakat.

20. Saya yakin prinsip ini telah berakar dalam keluarga besar ABIM. Salah satu ucapan terpenting Anwar Ibrahim sebagai Presiden ABIM bertemakan “Islam dan Masyarakat Majmuk”. Wacana ini diteruskan oleh Presiden-Presiden selepas beliau, Ustaz Siddiq Fadhil, Ustaz Muhammad Nur Manuty dan seterusnya.

21. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan khusus untuk mengenang sumbangan dan ketokohan rangkaian WADAH-ABIM-PKPIM kepada umat Islam di negara ini. Majlis pada malam ini merupakan apresiasi kepada sumbangan mereka yang menjadi inspirasi kepada generasi pelapis untuk meneruskan amanah di masa depan.

22. Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha. Semoga Eidul Adha pada tahun ini akan dapat menggilap ibadah korban untuk memacu perjuangan kita dan meningkatkan semangat juang serta memperkukuhkan ukhuwah di kalangan umat Islam.

23. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim , marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Makan Malam “Malam Senandung Budi”.