Ucapan

[Ucapan] Pelancaran Konvensyen Jkkk & Pelancaran Ikatan Desa

By Mac 14, 2017 No Comments
azmin-ali-4

1. Pada hari ini, kita bertemu dengan Ketua-Ketua Kampung untuk mengulangi tekad kita bersama untuk memberdaya mutu kehidupan masyarakat desa. Ketua-ketua kampung mempunyai peranan yang sangat penting untuk mengangkat kehidupan masyarakat desa ke tahap yang setara dengan kehidupan bandar.

2. Namun, pada masa yang sama, mengekalkan identiti bangsa, jati diri dan watak kedesaan dengan masyarakat bergotong–royong dan punyai rasa peduli, bekerjasama, harmoni dan persekitaran yang lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

3. Desa adalah jantung kepada negara. Desa juga yang akan menentukan siapa yang berada di Putrajaya. Tatkala jantung berhenti, jasad terkulai. Kita harus akur bahawa desa adalah penentu masa depan politik negara.

4. Kampung dan desa akan menjadi penggerak utama dan medan dalam menentukan Kerajaan Negeri ini terus diberi mandat untuk melaksanakan keadilan sosial, menjaga kebajikan rakyat dan melaksanakan pembangunan yang berkualiti. Membangun Bangsa, Memakmur Negeri harus menjadi asas perjuangan kita bersama. Sekiranya kita cuai dan laih, rejim lama akan kembali. Kali ini mereka akan kembali dengan lebih rakus untuk menginjak-injak pejuang kampung dan desa.

5. Mengapa Ketua-Ketua Kampung bertanggungjawab mempertahankan pentadbiran hari ini ? Pentadbiran hari ini membawa politik harapan dan politik nilai, sementara yang sedang mengasak kita membawa politik ketakutan, politik ugutan, tohmah dan fitnah. Sebab itu menjadi tanggungjawab 368 orang Ketua Kampung untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan menjamin perlindungan buat mereka. Orang Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa inilah Kerajaan yang akan melindungi hak mereka.

6. Ketua-Ketua Kampung merupakan barisan terkehadapan (frontier) dalam sistem penyampaian perkhidmatan (delivery) Kerajaan Negeri kepada warga desa. Kerajaan Negeri komited untuk menjayakan usaha pembangunan dan memakmurkan desa, bukan sahaja dalam konteks pembangunan infrastruktur dan kemudahan fizikal, tetapi juga pembangunan anak bangsa, modal insan, kerohanian, persoalan ilmu, kesihatan dan keusahawanan. Pembangunan desa yang tempang akan menyebabkan masyarakat desa tidak mempunyai daya untuk bersaing dalam dunia hari ini yang penuh cabaran.

7. Atas kesedaran ini, maka Kerajaan Negeri tuntas meletakkan agenda pembangunan desa sebagai keutamaan dalam pelan pembangunan negeri. Ini dapat dilihat melalui jumlah peruntukan pembangunan luar bandar yang besar dan meningkat dari tahun ke tahun.

8. Hal ini membuktikan, pentadbiran Selangor menyedari bahawa desalah yang akan menentukan masa depan negeri dan negara. Justeru, kita komited untuk merapatkan kesenjangan antara bandar dan desa dengan meningkatkan mobiliti masyarakat melalui pelaksanaan program perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor.

9. Semenjak dilaksanakan pada 2015, program perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor telah mendapat sambutan cukup menggalakkan. Bermula dengan peruntukan sebanyak RM 3.5 juta pada tahun 2015, kemudian ditingkatkan kepada RM 10 juta pada tahun 2016 dan pada tahun ini digandakan kepada RM 20 juta.

10. Sehingga hari ini, sebanyak 52 buah bas untuk perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor telah berada di semua PBT yang turut meliputi kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat. Lebih 6.4 juta rakyat Selangor telah menikmati perkhidmatan percuma ini.

11. Selain itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 45 juta bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung bagi meningkatkan connectivity dan hubungan bandar dan desa. Kita juga telah menyediakan RM 15 juta untuk menaiktaraf kemudahan awam dan prasarana asas desa seperti balairaya.

12. Kerajaan Negeri komited untuk mensejahterakan ekonomi desa melalui pemerkasaan digital. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan akses warga desa kepada dunia teknologi maklumat termasuk melalui inisiatif WiFi Smart Selangor. Lebih 2,500 hotspot telah disediakan untuk memberdaya masyarakat dengan informasi dan maklumat yang cepat dan pantas serta membantu usahawan desa memasarkan produk-produk mereka melalui e-dagang. Ini sekaligus dapat meningkatkan peluang ekonomi desa dan mengurangkan jumlah anak-anak muda di desa berhijrah ke bandar.

13. Tahun ini merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri mengecualikan cukai taksiran buat rumah-rumah kampung. Pelaksanaan dasar ini telah memberi impak kewangan yang besar kepada hasil negeri dengan pengurangan sebanyak RM 62 juta. Namun, inisiatif ini dilaksanakan untuk mengurangkan beban hidup rakyat yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barang, kos sara hidup yang tinggi dan pelaksanaan GST.

14. Untuk menjamin masyarakat desa mempunyai tenaga untuk terus meningkatkan produktiviti dan menjamin kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Skim Peduli Sihat yang menelan kos sebanyak RM 125 juta. Inisiatif ini bertujuan untuk membiayai rawatan kesihatan asas atau primary care termasuk melakukan saringan kesihatan supaya kita boleh mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu akan menghidapi penyakit-penyakit yang kronik. Skim Peduli Sihat ini adalah terunggul di Malaysia dan Hanya di Selangor.

15. Saya ingin mengingatkan satu peranan besar Ketua Kampung yang tidak boleh diremehkan dan jauh sekali diabaikan. Ketua Kampung mesti berdaftar sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) SPR.

16. Berdasarkan rekod, daripada sejumlah 368 orang Ketua-Ketua Kampung, 321 orang Ketua Kampung yang berdaftar sebagai ARO hanya 31 orang yang aktif mendaftarkan pengundi baru. Jumlah pendaftaran pengundi baru juga sangat mengecewakan dengan hanya 3,561 orang yang didaftarkan oleh Ketua Kampung di seluruh Negeri Selangor.

17. Ketua Kampung bertanggungjawab menjayakan program pendemokrasian di mana rakyat berhak untuk menjadi pengundi bagi menentukan masa depan negara. Mengapa kita biarkan pemimpin kleptokrat memimpin kita dan menentukan masa depan kita ? Masa depan tuan-tuan, masa depan saya, masa depan anak cucu kita terletak pada tangan mereka. Jika Ketua-Ketua Kampung tidak membantu mendaftarkan anak-anak muda ini sebagai pengundi, bagaimana mungkin kita dapat melihat sebuah negara yang lebih demokratik ?

18. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk membangun bangsa yang merdeka, berdaulat dan bermaruah. Sekiranya usaha ini gagal, bermakna kita semua bertanggungjawab di atas kegagalan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

19. Namun, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa terhadap kebajikan Ketua-Ketua Kampung. Kerajaan Negeri telah menaikkan elaun Ketua-Ketua Kampung kepada RM 1,200 untuk memastikan segala dasar, program dan inisiatif Kerajaan Negeri dilaksanakan di peringkat akar umbi.

20. Kerajaan Negeri juga prihatin akan isu keselamatan desa dan mahu memastikan keharmonian dan kesejahteraan desa senantiasa terpelihara. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 3.68 juta untuk penubuhan Pasukan Ikatan Desa di semua kampung.

21. Kerajaan Negeri melihat isu keselamatan sebagai isu penting memandangkan kita diancam oleh pelbagai isu seperti kes pecah rumah, kecurian dan jenayah berat. Untuk maksud pencegahan kes-kes seperti ini, setiap kampung akan diberi peruntukan sebanyak RM 10 ribu untuk memperkasakan dan menjamin keselamatan rakyat melalui program latihan keselamatan untuk petugas-petugas Ikatan Desa.

22. Justeru itu, menjadi harapan kita agar Ketua-Ketua Kampung dan Pasukan Ikatan Desa dapat memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memberdaya institusi dan masyarakat desa. Marilah kita bersama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri ini.

23. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama merasmikan Konvensyen JKKK dan melancarkan Program Ikatan Desa 2017.

YAB MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR