Ucapan

Ucapan Penangguhan YAB Dato’ Menteri Besar Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017

By April 5, 2017 No Comments
MBpenggulungan

Tuan Speaker,

Syukur Alhamdulillah, persidangan kali ini telah sampai ke penghujungnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor bersempena Pembukaan Persidangan Penggal Kelima, Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017.

Saya menyambut baik saranan dan pandangan bernas YB Ahli-Ahli Dewan Negeri demi merealisasikan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian telah menghayati dan responsif kepada titah DYMM Tuanku yang menyeru kepada perpaduan dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat mengatasi politik partisan yang sempit.

DYMM Tuanku juga mengungkapkan falsafah politik yang jitu, iaitu politik bukanlah memburu kekuasaan tetapi politik dalam pengertian sebenar adalah usaha bagi mencapai urus tadbir yang cemerlang demi membangunkan negeri.

Kuasa adalah satu tanggungjawab bukan satu keistimewaan. Suasana politik hari ini menuntut kita bersatu untuk mengajak rakyat membuat pilihan sama ada menyuburkan demokrasi atau melindungi kleptokrasi. Kita tidak boleh bersubahat dan condong kepada kleptokrat.

Marilah kita bermula di sini untuk membudayakan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai. Titah Tuanku amat bertepatan dengan masanya. Jika kita menjunjung titah murni ini, “segala yang kusut dapat dirungkai, yang seteru dapat berdamai dan akhirnya negeri ini bertambah permai.”

Dewan Negeri Selangor merupakan institusi demokrasi. Kita berada di sini kerana dipilih oleh rakyat dan kita membawa mandat rakyat Negeri Selangor untuk bekerja. Maka, menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Dewan sekalian untuk memelihara mandat rakyat dan menyantuni aspirasi rakyat Negeri Selangor.

Tatkala saya menggulung perbahasan pada hari Jumaat lalu, 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pampasan sejumlah RM 8.5 juta kepada 8,953 pesawah yang menjadi mangsa serangan Bacterial Leaf Blight (BLB). Pengumuman ini akan disusuli dengan program menyantuni pesawah-pesawah ini dalam masa terdekat untuk menyampaikan terus sumbangan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sejumlah RM 2 juta untuk meneruskan penajaan anak-anak Selangor yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir. Sekali lagi, pengumuman ini akan disusuli dengan tindakan di mana saya akan menyantuni pelajar-pelajar di Jordan dan Mesir pada hujung bulan ini.

Kerajaan Negeri senantiasa komited untuk menjamin kepentingan negeri dan rakyat. Sebagai sebuah negeri maju yang menyumbang RM 240 bilion setahun kepada Putrajaya, Kerajaan Negeri mendesak supaya Putrajaya menghormati dan mempertahankan prinsip dan semangat federalisme. Pada hari ini, Putrajaya menyumbang hanya 1.75% kepada Kerajaan Negeri Selangor – tidak adil kepada rakyat Selangor yang bekerja kuat untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Saya mahu Selangor terus menyediakan kepimpinan (leadership) dan menjadi model kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat. Dengan izin, “We must have moral leadership and the courage of convictions.” Sekiranya Selangor dapat mengekalkan momentum kekuatan ini seperti yang dipersetujui oleh MIER, rakyat bukan sahaja di Negeri Selangor tetapi seluruh Malaysia akan yakin untuk meletakkan kita di Putrajaya dalam bulan September 2017 untuk menyelamatkan negara dan membina Malaysia baru yang gagah.

YB Tuan Speaker,

Sempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 15 yang akan dizahirkan pada 24 April 2017 (Isnin) di Istana Negara, saya serta pimpinan Kerajaan Negeri, seluruh penjawat awam dan rakyat Negeri Selangor ingin merakamkan ucapan tahniah serta menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas pelantikan dan pertabalan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 15.

Selaras dengan kenyataan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada pagi ini, 3 April 2017 (Isnin) yang memaklumkan bahawa Kerajaan mengisytiharkan tarikh 24 April 2017 (Isnin) sebagai cuti umum iaitu Hari Kelepasan Am Tambahan, maka Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pengisytiharan ini. Kerajaan Negeri akan menyediakan kertas hebahan bagi memaklumkan perkara ini kepada seluruh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Pengisytiharan ini adalah selaras dengan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai yang telah membantu menyediakan fakta dan keterangan untuk Kerajaan Negeri memberikan maklum balas dan jawapan kepada pertanyaan dan perbahasan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan dan pegawai-pegawai dan pelapor-pelapor yang telah membuat persiapan yang rapi dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk menjamin mesyuarat berjalan dengan lancar dan mengikut peraturan mesyuarat.