Ucapan

[Ucapan] Perbahasan Titah Di Raja Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas

By Mac 14, 2017 No Comments
Untitled

[ FEDERALISME ]

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas.

2. Tuanku telah menegaskan beberapa aspek pembangunan termasuk isu ketirisan dan rasuah yang perlu ditangani bersama. Ini menuntut semua pihak mendukung usaha SPRM bagi membanteras amalan rasuah di semua peringkat.

3. Keprihatinan Tuanku terhadap rakyat juga meliputi usaha untuk meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri terutamanya dalam menangani cabaran-cabaran mendatang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

4. Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk menyertai perbahasan pada petang ini dalam usaha mengangkat martabat rakyat Malaysia.

5. Selangor adalah antara negeri yang paling maju di Malaysia dengan sumbangan sebanyak hampir 25 peratus kepada KDNK negara. Laporan MIDA sehingga 31 Disember 2016 mencatatkan jumlah pelaburan di Negeri Selangor bernilai RM 7.88 bilion iaitu melonjak 31 peratus daripada sasaran awal berjumlah RM 6 bilion dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) pada RM 3.35 bilion dan Pelaburan Langsung Tempatan (DDI) pada RM 4.52 bilion.

6. Pada tahun yang sama, sebanyak 242 jumlah projek perkilangan telah direkodkan di Negeri Selangor yang juga merupakan jumlah projek tertinggi direkodkan di Malaysia serta menghasilkan sebanyak 16,427 peluang pekerjaan.

7. Alhamdulillah, sebagai gedung kuasa ekonomi negara, Selangor telah berjaya melakar pelbagai kejayaan. Namun, Putrajaya tidak terlepas dari melaksanakan tanggungjawab untuk menjayakan prinsip federalisme melalui pengagihan pendapatan negara secara adil dan saksama. Kejayaan prinsip federalisme akan memperkukuh tekad Negeri Selangor untuk meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara.

8. Justeru itu, kedua-dua pihak perlu meningkatkan temu-tembung atau engagement untuk kemakmuran bersama.

9. Namun, apa yang sering berlaku adalah projek-projek Kerajaan Persekutuan sering dilaksanakan tanpa rundingan dengan Kerajaan Negeri. Contohnya, pembangunan bandar pelabuhan dan perindustrian di Pulau Carey yang bernilai lebih RM 200 bilion hanya diketahui melalui laporan media. Tidak ada sebarang perbincangan atau consultation yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri dalam hal pembangunan raksasa ini.

10. Seksyen 20A Akta 172 – Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 menyebut dengan jelas – Kewajipan untuk berunding : “Maka hendaklah menjadi kewajipan tiap-tiap jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk berunding dengan Jawatankuasa tentang apa-apa aktiviti pemajuan yang ia bercadang supaya dijalankan di dalam Negeri itu.” Namun, ini tida berlaku sejak tahun 2008. Justeru, saya minta Putrajaya kembali kepada semangat federalisme.

11. Kedudukan Selangor yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang mendedahkan kepada kemungkinan banjir kilat akibat air pasang besar.

12. Fenomena air pasang besar mengakibatkan struktur ban-ban sedia ada tidak lagi mampu untuk menghalang air laut daripada masuk ke kawasan daratan.

13. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah drastik dengan meluluskan peruntukan sejumlah RM 4.3 juta bagi kerja-kerja pembaikkan ban-ban pantai yang rosak. Walau bagaimanapun, kos keseluruhan pembaikan pesisir pantai yang terkesan sepanjang 70 km daripada keseluruhan 291 km ban-ban pantai di Negeri Selangor dan bernilai hampir RM 300 juta.

14. Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat segera meluluskan peruntukan yang diperlukan oleh JPS Selangor bagi menyegerakan kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf ban di sepanjang pesisiran pantai di Negeri Selangor.

[ KESIHATAN ]

15. Saya amat gembira apabila Tuanku menyatakan berkenan menunjukkan rasa peduli kepada isu kesihatan rakyat memandangkan peningkatan yang agak membimbangkan kes-kes penyakit tidak berjangkit. Perkhidmatan saringan risiko penyakit tidak berjangkit perlu disediakan oleh Kerajaan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

16. Rakyat Malaysia hari ini diancam oleh penyakit tidak berjangkit atau noncommunicable diseases (NCDs). Menurut National Health and Morbidity Survey 2015, lebih 73 peratus kematian rakyat Malaysia berpunca daripada NCDs seperti angin ahmar dan serangan jantung.

17. Menurut Laporan WHO, antara cara terbaik menangani penyakit tidak berjangkit adalah melalui program berimpak tinggi yang disediakan melalui pendekatan rawatan kesihatan asas — primary care approach — untuk mengukuhkan pengesanan awal dan rawatan awal yang tepat pada masanya.

18. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Skim Peduli Sihat yang menelan kos sebanyak RM 125 juta dengan tujuan untuk membiayai rawatan kesihatan asas atau primary care termasuk melakukan saringan kesihatan supaya kita boleh mengesan tanda-tanda awal sekiranya seseorang itu akan menghidapi penyakit-penyakit yang kronik.

19. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan perbelanjaan per kapita untuk kesihatan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, bahkan lebih rendah dari negara-negara jiran.

20. Pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, Vietnam 7.1 peratus dan Thailand 6.5 peratus.

21. Justeru, kerana perbelanjaan per kapita kesihatan yang rendah, dalam survey 2015 yang saya nyatakan di awal tadi, Kementerian Kesihatan mengatakan, dengan izin: Malaysia now has a “sick” or “at risk” population. Maka, saya menggesa Kementerian Kesihatan segera melaksanakan program penjagaan kesihatan asas, primary health care program, sebagaimana yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Program Peduli Sihat di Negeri Selangor adalah terunggul di Malaysia dan Hanya di Selangor.

[ ISU PERUMAHAN RAKYAT ]

22. Tuanku turut menzahirkan keprihatinan terhadap isu pemilikan rumah dikalangan rakyat. Usaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana perlu dipertingkatkan.

23. Indeks Kemampuan Bank Dunia menunjukkan rakyat di seluruh negara tidak mampu membeli rumah. Jika seseorang berpendapatan RM 100 ribu setahun, dia secara purata hanya mampu untuk memiliki kediaman yang berharga RM 300 ribu dan ke bawah.

24. Di Lembah Klang sahaja, harga rumah purata di Lembah Klang adalah 7.9 kali ganda pendapatan penengah tahunan.

25. Di Selangor, kita menjayakan dasar pendemokrasian pemilikan rumah (house owning democracy) bagi menjamin hak rakyat untuk memiliki sebuah rumah yang affordable dan berkualiti.

26. Walau bagaimanapun, majoriti rakyat menghadapi masalah end-financing yang berpunca daripada kawalan pinjaman yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Dasar ini telah menyebabkan lebih 50 peratus permohonan pinjaman perumahan ditolak oleh bank-bank tempatan. Saya telah beberapa kali menggesa BNM menilai kembali dasar tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah.

27. Selain itu, saya ingin menyeru bank-bank tempatan sebagai corporate citizens supaya mengambil tanggungjawab menyumbang ke arah pengukuhan dasar “house owning democracy”.

28. Dalam hal ini, BNM perlu bersama untuk memastikan institusi kewangan dalam negara berperanan menangani isu “end financing”.

29. Ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, disposable income yang semakin menguncup, harga rumah yang semakin tidak mampu dimiliki, adalah menjadi tanggungjawab dan peranan bank-bank tempatan pula untuk segera tampil membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

[ KESEDERHANAAN ]

30. Rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu bersatu padu untuk membasmi ideologi militan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sementara pihak polis menangani aspek keselamatan dari ancaman militanisme, golongan ulama dan intelektual Islam perlu menangani akar umbi kepada ajaran yang menimbulkan militanisme, iaitu kekeliruan terhadap ajaran Islam.

31. Ini perlu ditangani dengan memperdalamkan kefahaman masyarakat khususnya generasi muda terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menghidupkan semula pengajaran kitab-kitab Hujjatul Islam al-Ghazali seperti “Ihya Ulumuddin” akan memberikan pencerahan kepada pendekatan yang sederhana yang diamal oleh masyarakat Islam Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu.

32. Sementara kita tidak boleh memperkecilkan cabaran militanisme yang dihadapi oleh dunia Islam hari ini, kita tidak boleh terperangkap dengan pandangan golongan Islamophobia yang melihat semua tanda kebangkitan Islam dengan curiga dan permusuhan. Umat Islam bertanggunjawab menegakkan syiar Islam dan menyemarakkan ruh Islam yang berteraskan gagasan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin.

33. Namun, dunia Islam perlu mempunyai urutan keutamaan atau awlawiyyat yang betul. Dunia Islam perlu membangun sosio ekonomi yang jauh ketinggalan berbanding dengan umat-umat yang lain. Dalam konteks Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk membangun dan mempertingkat sosio ekonomi golongan Bumiptera dan Melayu.

34. Pembangunan ekonomi perlu diseimbangkan dengan keadilan sosial. Kita mahu kekayaan di negeri ini diagihkan secara adil dan kita perlu bertekad untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

[ KOREA UTARA ]

35. Saya juga ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini berhubung isu Korea Utara. Wajar ditekankan bahawa keselamatan warganegara kita yang ditahan sebagai tebusan di Korea Utara adalah persoalan yang terpenting. Sebarang saranan yang menyatakan bahawa mereka bukanlah tebusan adalah pembohongan kerana faktanya mereka tidak bebas untuk meninggalkan negara berkenaan walaupun membawa passport yang sah.

36. Sementara kita harus tegas dalam mempertahankan kedaulatan sistem perundangan ketika siasatan kes pembunuhan, kita juga harus mampu menjangkakan reaksi balas yang akan muncul ketika berurusan dengan negara seperti Korea Utara. Kita tidak boleh bertindak dengan tergopoh-gapah dan hanya mengambil tindakan balas yang bersifat reaksi kepada sesuatu hal buruk yang telah pun berlaku.

37. Pada ketika ini, Kerajaan haruslah bertindak dengan cara yang paling berkesan demi memastikan warganegara kita selamat pulang.

[ KESELAMATAN & ISU GEOPOLITIK ]

38. Akhirnya, pada tahun ini negara akan merayakan Hari Kemerdekaan yang ke-60. Tatkala memasyurkan kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa negara ini akan menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

39. Kerajaan Negeri Selangor amat menghargai peranan dan pengorbanan anggota keselamatan khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kita sedar bahawa daripada lebih 370 ribu bekas anggota tentera, lebih 260 ribu merupakan veteran tidak berpencen. Maka untuk melindungi dan memelihara kebajikan golongan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 1 juta kepada Tabung Pahlawan ATM dan Program Kemasyarakatan dan Kebajikan Veteran ATM.

40. Dalam isu keselamatan nasional, adalah menjadi prinsip umum mengenai kestabilan geo-politik dan keselamatan di mana semua negara yang berdaulat wajib mempunyai kawalan mutlak dan kuasa undang-undang (jurisdiction) ke atas tanah dan wilayah perairan. Sementara kita mengakui peri penting peranan yang dimainkan dengan penubuhan ESSCOM di Sabah, kita juga perlu memberi perhatian tentang laporan yang menyebut bahawa terdapat aset ketenteraan kuasa besar asing di dalam wilayah perairan negara.

41. Ini menuntut Putrajaya memberikan penjelasan apakah benar tentang kehadiran aset ketenteraan kuasa besar asing ini dan apakah kehadirannya sah sebagai sekutu strategik kita ?

42. Kini, territorial integrity negara diancam oleh dakwaan China kononnya ‘nine dash line’ di Laut China Selatan adalah miliknya. Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 4 secara tuntas menegaskan bahawa Kepulauan Spratley adalah dalam wilayah Malaysia. Namun, mengapa Putrajaya kini menyepikan diri ? Apakah kerana mahukan pelaburan China kita sanggup mengorbankan kedaulatan wilayah kita yang telah dipertahankan sekian lama ?

43. Sebagai sebuah negara perdagangan Malaysia juga perlu mempertahankan prinsip freedom of navigation yang kini diancam oleh China di Laut China Selatan. Isu Laut China Selatan adalah persoalan kestabilan dan keselamatan serantau. Kita perlu menghadapinya secara kolektif. Kita tidak boleh terperangkap dengan padangan kuasa besar yang mahu menanganinya secara dua hala atau bilateral.

44. ASEAN adalah platform yang terbaik. Kita jangan sekali-kali terjebak dalam perang dingin yang baru. Kita perlu berkawan dengan semua kuasa besar dan tidak berpihak kepada kuasa tertentu. Saya ingin mengulangi seruan di dewan yang mulia ini agar kita menyegarkan dan memperkasakan kembali doktrin ZOPFAN sebagai pegangan demi menjamin ketenteraman Laut China Selatan daripada sebarang konflik.

45. Saya mewakili rakyat Gombak mendukung Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ketika upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas.

AHLI PARLIMEN GOMBAK
YAB MOHAMED AZMIN ALI

Comments

comments