Ucapan

[Ucapan] Sempena Program Hari Tanpa Kenderaan & Sambutan Hari Bumi 2017

By April 18, 2017 No Comments
PMB_2922

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan,

Dan

Duli Yang Maha Mulia
Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin.

Ampun Tuanku,

Patik mewakili Kerajaan Negeri menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku mencemar Duli berangkat ke Program Hari Tanpa Kenderaan & Sambutan Hari Bumi 2017.

Program ini merupakan kesinambungan inisiatif mesra alam yang amat dekat dengan Tuanku untuk memelihara alam sekitar dan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

Hari Tanpa Kereta adalah satu usaha awal mengurangkan pelepasan karbon di Bandaraya Shah Alam.

Hari Bebas Kereta Global telah dilancarkan secara meluas di Eropah sekitar tahun 2000 untuk mengurangkan kepanasan planet dengan menggalakkan orang ramai tidak menggunakan kereta.

Krisis minyak pada tahun 1973 turut membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat bahawa kebergantungan kepada kereta akan membawa kesan negatif kepada alam sekitar. Maka, masyarakat mulai merencana hari bebas kereta di bandar-bandar besar di mana Central Business Districts ditutup untuk acara berjalan kaki dan berbasikal.

Hari ini, terdapat lebih satu bilion kenderaan bermotor di jalan raya seluruh dunia yang mencemarkan udara dengan pelepasan karbon secara meluas, mengganggu kedamaian dan ketenangan persekitaran dengan bunyi yang bising serta menjadi risiko besar kepada kesihatan.

Bandaraya Shah Alam hari ini telah menyertai bandaraya-bandaraya dunia dalam menyahut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan Hari Bebas Kereta. World Car Free Day yang disambut setiap 22 September menggalakkan masyarakat untuk membebaskan diri dari kereta selama satu hari dan pada masa yang sama menggalakkan warga menggunakan pengangkutan awam, berbasikal atau berjalan kaki.

Program Hari Bebas Kereta ini perlu perancangan jangka panjang yang bersifat holistik demi mencapai kemampanan green and clean environment. Inisiatif ini juga perlu dijadikan sebahagian daripada agenda ekonomi yang mampan dalam konteks untuk merealisasikan Selangor sebagai sebuah Smart State.

Program ini akan berkembang dengan wujudnya penglibatan masyarakat yang menghayati konsep ini. Ini juga mampu membudayakan amalan gaya hidup sihat dan penggunaan pengangkutan awam khususnya mass transit di kalangan rakyat.

Kerajaan Negeri ingin mengurangkan kebergantungan kepada kereta yang menggunakan tenaga fosil dengan memperkenalkan penggunaan Bas Elektrik.

Inisiatif ini telah dimulakan oleh MBPJ di bawah Pelan Tindakan Teknologi Hijau dengan menyediakan 2 buah bas elektrik untuk perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor. Selain itu, MBPJ juga mempunyai 5 buah motosikal elektrik

Justeru, pelancaran 2 buah bas dan 2 buah kereta elektrik MBSA pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Pelan Tindakan Teknologi Hijau tersebut.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga berperanan bagi menyediakan prasarana untuk memudahkan masyarakat bergerak dan menjamin connectivity untuk berbasikal dan berjalan kaki. Pada masa yang sama, Shah Alam akan meneroka usaha penyediaan sewaan basikal seperti yang terkandung dalam perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani antara Kerajaan Negeri dengan Pihak Berkuasa Bandaraya Taipei.

Ampun Tuanku,

Kerajaan Negeri bertekad untuk menyemarak inisiatif hijau di Negeri Selangor demi menjamin keharmonian dan kesentosaan rakyat secara keseluruhannya. Akhirul kalam, demikianlah sembah ucapan patik bersempena Hari Tanpa Kenderaan & Sambutan Hari Bumi 2017.

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Y.A.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Dato’ Menteri Besar Selangor

Comments

comments