Ucapan

Ucapan Taat Setia Bersempena Istiadat Penganugerahan & Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor

By Disember 12, 2017 No Comments
aaSultan-1

Ampun Tuanku,

Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke 72 Duli Yang Maha Mulia Tuanku pagi ini, patik dengan penuh ta’zim mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah mengulangi ikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor kekal bersemayam di singgahsana dengan segala kemuliaan dan kebesarannya, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Ribut bertiup dari selatan,
Lima Daeng membelah samudra;
Taat setia patik sembahkan,
Daulat Tuanku kekal bergema.

Sambutan ini memperkukuhkan hakikat bahawa Selangor adalah sebuah negeri berdaulat yang memiliki silsilah kesultanan di kalangan negarawan, pahlawan dan ilmuan.

Leluhur Tuanku telah memberikan sumbangan yang besar dalam membangun sistem pemerintahan kesultanan yang menjamin keadilan, ketenteraman dan keteraturan.

Izinkan patik untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hati. Sejarah Kesultanan Selangor menzahirkan satu sistem berpaksikan tiang seri yang utuh, menjadi asas kepada Kerajaan berpencerahan, menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Walhasil, rakyat perlu diberikan pencerahan terhadap peri pentingnya peranan institusi Raja Berperlembagaan dalam batang tubuh pemerintahan selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka, patik memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memanjangkan kalam bagi membicara pokok persoalan ini.

Ampun Tuanku,

Tatkala memegang jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menulis rencana bertajuk “The Traditional Elements of the Malaysian Constitution”.

Rencana ini memperjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tetap mengekalkan unsur jati diri Kerajaan dan bangsa Melayu iaitu kesultanan, Agama Islam, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Kesultanan diletakkan sebagai aspek paling penting kerana institusi Raja-Raja Melayu adalah pencipta ‘Kerajaan’ di mana kosa katanya, datang dari perkataan ‘raja’.

Dalam sejarah Nusantara, bangunnya tamadun dan wujudnya undang-undang adalah dengan adanya raja. Untuk memastikan kesinambungan institusi Raja-Raja Melayu pasca merdeka, maka Tunku Abdul Rahman dalam Pemashyuran Kemerdekaan menegaskan:

“Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Ampun Tuanku,

Institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar satu simbol. Institusi Raja-Raja Melayu mempunyai peranan yang amat penting untuk menjamin perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta mempertahankan kontrak sosial. Ini adalah ikatan suci murni yang membingkai sekalian rakyat demi keamanan, kemakmuran dan keharmonian.

Pedoman Tuanku agar jangan ada mana-mana pihak memainkan isu-isu sensitif adalah amat tepat pada masanya, perlu dijunjung dan didakap oleh semua pihak.

Sultan yang mithali senantiasa bijaksana dan meletakkan kebajikan rakyat dekat dihati sanubari. Alhamdulillah, Negeri Selangor Darul Ehsan dikurniakan Allah SWT Sultan yang memiliki keperibadian yang ihsan.

Ampun Tuanku,

Sementara rakyat tuntas mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, rakyat juga tidak boleh menerima kekebalan berpindah kepada pihak eksekutif kerana kekebalan eksekutif adalah penodaan terhadap perlembagaan. Executive immunity is a gross violation of the letter and spirit of the constitution.

Maka, rakyat mengharapkan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pengimbang muktamad – the final criterion – untuk melindungi rakyat daripada bahana kerakusan kuasa yang akan membawa kehancuran. Tuanku adalah sandaran terakhir bagi rakyat mendapat keadilan dan pembelaan.

Rakyat menyanjung tinggi pendirian tegas Raja-Raja Melayu tentang tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Raja-Raja Melayu telah memberikan pedoman hidup rukun damai berlandaskan prinsip Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Ampun Tuanku,

Belanjawan 2018 Negeri Selangor menjamin sekalian rakyat – nelayan, petani, peniaga kecil, pekerja dan penjawat awam mendapat pembelaan kebajikan dan menikmati kekayaan Negeri Selangor melalui pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat seperti perumahan rakyat, kesihatan asas, pendidikan berinovasi dan pembangunan usahawan.

Alhamdulillah, Selangor kekal sebagai negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan mencatatkan 22.7 peratus bagi tahun 2016 dan terus mencipta nilai dengan pelaburan berteknologi dan berimpak tinggi yang mempunyai jangkauan global. Usaha ini telah berjaya mencipta pekerjaan yang substantif, menjurus kepada peningkatan pendapatan rakyat dan mengangkat darjat kehidupan rakyat.

Demikianlah yang telah patik laksanakan, seiring dengan lafaz Ikrar Aku Janji untuk berkhidmat dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Patik sedar ada pihak yang cemburu dengan kejayaan Selangor. Mereka membuat makar untuk menggasir kejayaan negeri. Namun, patik berpegang kepada peringatan Allah SWT :

“Dan mereka merancangkan tipu daya, dan Allah membalas tipu daya, dan Allah sebaik-baik pembalas segala tipu daya.”

( Surah Al – Imran : 54 )

Maka, dengan penuh rasa tawadu’, cabaran ini tambah memperkukuh iltizam patik untuk merealisasikan gagasan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, demokratik dan sejahtera untuk semua.

Patah sayap bertongkat paruh,
patah paruh bertongkat siku,
patah siku bertongkat dagu,
patah dagu bertongkat kuku.

Ampun Tuanku,

Izinkan patik memetik ungkapan Shakespeare dalam karya Henry VI, Part 2 yang sarat dengan tema raja, Kerajaan dan peri pentingnya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.

“O Lord, that lends me life, lend me a heart replete with thankfulness.”

Patik menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah meletakkan amanah dan tanggungjawab memimpin negeri ini di atas batu jemala patik.

Tuanku bermurah hati membuka tirai bagi patik meluahkan rasa hati. Tuanku pula mencurahkan segala hikmah pengalaman Tuanku kepada patik. Tuanku menyingkap tabir rahsia sejarah yang belum pernah disuratkan.

Dengan segala anugerah budi Tuanku kepada patik, patik hanya dapat membalasnya dengan serangkap pantun :

Pokok pinang bersarang tempua,
Tempua terbang ke sawah padi;
Sakit dan senang boleh dilupa,
Pedoman Tuanku kekal di sanubari.

Ampun Tuanku,

Patik terharu dan terkesan dengan bimbingan dan pedoman Tuanku. Patik juga bersyukur diberikan peluang untuk menabur jasa dan bakti kepada rakyat di bawah payung kebesaran Tuanku. Namun, setiap yang baharu, pasti ada akhirnya. Setiap yang bermula, ada penamatnya. Itulah lumrah alam dan hukum di kehidupan maya pada ini.

Sedikit masa lagi, mandat yang dikurniakan akan patik serahkan kembali kepada rakyat. Patik telah berusaha sedaya upaya untuk memelihara negeri dan membela rakyat Tuanku.

Sekiranya terdapat kekhilafan dan berlaku keterlanjuran, patik menyusun jari sepuluh, merafak sembah memohon ampun kepada Tuanku.

Patik yakin dan percaya dengan kematangan rakyat Tuanku, yang mahukan sebuah Kerajaan yang berlumba-lumba melakukan kebaikan – fastabiqul khairat dan mengekalkan sebuah Kerajaan yang peduli rakyat serta tuntas membangun bangsa dan memakmur negeri.

Demikianlah yang ditanzilkan dalam Al-Quran:

“Katakanlah wahai Tuhan yang mempunyai Kerajaan, Engkaulah yang memberi pemerintahan sesiapa Engkau kehendaki dan Engkau mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan-Mu segala kebaikan, sesungguhnya Engkau atas setiap sesuatu Maha Berkuasa.”

( Surah Al – Imran : 26 )

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dianugerahkan kesihatan yang berkekalan dalam kemanisan iman, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Semoga Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-72 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan beroleh limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT.

Sekian.