Ucapan

[Ucapan] Timbalan Presiden KEADILAN di Konvensyen Pakatan Harapan 2018

By Januari 8, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-01-07 at 3.38.07 PM

Pimpinan Pakatan Harapan, perwakilan dan teman-teman seperjuangan,

Kita berhimpun di sini dengan satu tekad, satu ikrar, satu matlamat, bukan sekadar untuk menolak Najib tetapi untuk membina Malaysia Baru yang gagah, wibawa dan bermaruah.

Pakatan Harapan bukan sekadar membawa harapan tetapi bertanggungjawab untuk mendepani rakyat dengan penuh keyakinan. Kita ada kemampuan, kita ada kebolehan dan kita ada kepimpinan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dalam politik, ekonomi dan keselamatan.

Malaysia Baru menuntut politik baru, politik nilai yang membingkai muafakat untuk pembangunan dan perpaduan dan politik peduli kerana inilah aspirasi rakyat.

Untuk melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, kita perlu menggembeleng seluruh tenaga, idea dan komitmen. Kita harus bangkit dan mandiri atas kekuatan sendiri yang telah dibina selama 20 tahun dengan keringat rakyat dalam perjuangan reformasi.

Saudara-saudari jangan mudah lupa dengan agenda reformasi.

Kita telah diuji dan teruji. We have gone through the baptism of fire. Kita telah melalui keperitan, kepayahan. Onak dan duri perjuangan telah mematangkan kita.

Kini, rakyat sedang memerhatikan kita secara dekat; bukan sahaja apakah yang mampu ditawarkan tetapi yang lebih penting apa yang boleh dilaksanakan oleh Pakatan Harapan. We must walk the talk. Cut the rhetoric. Kita akan dinilai dan dihakimi di atas apa yang kita janji dan apa yang kita tunaikan. So, we must deliver.

Aspirasi rakyat adalah pelbagai. Masalah pekerjaan dan pendapatan, ekonomi, pendidikan, perumahan, kesihatan, keselamatan dan perpaduan.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk meyakinkan rakyat bahawa kita ada kemampuan. Selangor telah buktikan bahawa kita mampu mengangkat martabat dan maruah rakyat. Kita bukan sekadar menabur janji.

Dengan penuh rasa tawaduk, izinkan saya mengemukakan Selangor sebagai microcosm kepada Malaysia. Selangor hari ini muncul sebagai negeri yang termaju dan penyumbang terbesar kepada KDNK negara. Selangor adalah gedung kuasa ekonomi Malaysia.

Selangor sebagai sebuah negeri industri, yang berteknologi tinggi tetap mempertahankan prinsip keadilan sosial dalam pengagihan ekonomi dan kekayaan Negeri Selangor. Sebanyak 42 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedang dinikmati oleh 6 juta rakyat Selangor. Lebih RM 2.5 bilion telah dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program dan inisiatif.

Program-program ini terbukti telah memberdayakan rakyat Selangor dan memberikan keyakinan bahawa Selangor adalah batu loncatan ke Putrajaya yang menjanjikan kemakmuran untuk negara.

Belanjawan Negeri Selangor hanya berjumlah RM 3 bilion sedangkan bajet Putrajaya lebih RM 280 bilion. Dengan RM 3 bilion kita dapat menjamin kesihatan asas rakyat melalui Skim Peduli Sihat yang memberi manfaat kepada 1 juta rakyat Selangor.

Kita telah memberdaya 45,000 peniaga kecil di Selangor dengan RM 306 juta melalui program HIJRAH. Terkini, Selangor terunggul dalam melaksanakan program KISS – Kasih Ibu Smart Selangor untuk menghargai pengorbanan ibu dengan RM 72 juta. Bayangkan jika kita diberikan kesempatan mengurus RM 280 bilion ? Pasti lebih banyak nikmat akan diperolehi oleh rakyat Malaysia.

Kita juga berbangga kerana Selangor telah menerajui dasar-dasar wanita yang progresif dan inovatif. Dasar Wanita Selangor memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi.

Selangor telah mengorak langkah untuk bergerak sebagai sebuah regional smart state dengan menyediakan sumber daya manusia yang berilmu dan berkemahiran. Melalui pelaksanaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) untuk anak muda, kita akan maju dalam bidang berteknologi tinggi, industri berimpak tinggi dan knowledge economy.

Maka, saudara-saudariku, perubahan itu satu kemestian. PRU-14 adalah pilihan di antara demokrasi dan kleptokrasi.

Demokrasi adalah Kerajaan Peduli Rakyat – dari rakyat untuk rakyat. Manakala kleptokrasi adalah Kerajaan Lanun untuk Lanun. Yang mendapat manfaat bukan rakyat tetapi lanun yang merompak dan merampok khazanah negara untuk memenuhkan tembolok kerabat dan keluarga mereka.

Adakah ini sebuah Kerajaan yang kita mahukan ? Are we ready for change ?

Maka, kita bertanggungjawab untuk kembali ke kawasan masing-masing mulai hari ini. Kita bina kekuatan, perkukuh perpaduan, membingkai muafakat, bersedia untuk perang sehingga kemenangan di dalam genggaman. Negarawan Rom, Publilius Syrus berkata : Where there is unity, there is always victory.

Apabila Kerajaan Pakatan Harapan dibentuk, peneroka FELDA akan mendapat pembelaan, petani dan pesawah mendapat keselesaan, penjawat awam dimartabatkan, anak muda dan wanita akan berperanan dalam saf hadapan, rakyat Malaysia akan mendapat kesejahteraan dan dari saat ini Malaysia Baru akan muncul di persada dunia.

Sekian, terima kasih