Ucapan

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat PKNS

By Ogos 1, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-08-01 at 12.17.50

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

&

Duli Yang Maha Mulia
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berangkat untuk merasmikan mercu tanda Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bandaraya Shah Alam.

Hari ini, rakyat Selangor menyaksikan detik bersejarah kejayaan 53 tahun PKNS berperanan sebagai nadi pembangunan Negeri Selangor. Seluruh warga kerja PKNS melonjak gembira, kalbu mereka tersentuh di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Tuanku menyempurnakan perasmian gedung ini.

Kejayaan PKNS bermula dengan satu visi pragmatik yang digagaskan oleh Allahyarham Dato’ Harun Idris untuk membangun bangsa dengan mengangkat agenda social re-engineering demi memperkasa kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu.

Melalui kepimpinan Dato’ Harun Idris, PKNS telah menerajui usaha membandarkan orang Melayu melalui pelbagai aktiviti pemberdayaan ekonomi yakni economic empowerment termasuk pembukaan penempatan baru di dalam bandar.

Kerajaan Negeri hari ini tuntas mendukung usaha ini dan atas semangat yang sama, PKNS telah berjaya membuka 11 buah kawasan perbandaran baru (new townships) dan membina 160,258 unit rumah untuk memenuhi permintaan perumahan khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Justeru itu, sementara PKNS perlu meneruskan peranan seperti yang digariskan dalam matlamat asal penubuhan PKNS, Kerajaan Negeri juga mahu melihat keupayaan PKNS untuk bersaing dengan pemaju-pemaju swasta dari segi kualiti, reka bentuk dan konsep pembangunan serta harga yang affordable untuk rakyat berpendapatan rendah khususnya orang Melayu.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan bagi meraikan tetamu PKNS pagi ini.

Ampun Tuanku,

Duli Yang Teramat Mulia
Tengku Amir Shah
Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Raja Muda Selangor ;

Yang Amat Mulia
Tengku Sulaiman Shah
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Tengku Laksamana Selangor ;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya,
Setiausaha Kerajaan Negeri ;

Yang Berhormat Dato’ Nik Shuhaimi Bin Nik Sulaiman,
Penasihat Undang – Undang Negeri Selangor ;

Yang Berhormat Dato’ Noordin bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri ;

Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abd Wahid,
Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor ;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan Parlimen ;

Yang Berbahagia Dato’ Nor Azmie Diron,
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) ;

Yang Berusaha Puan Hajjah Noraida Binti Haji Mohd Yusof,
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS ;

Ahli – Ahli Perbadanan PKNS ;

Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan ;

Kumpulan Pengurusan & warga PKNS ;

Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang budiman.
Untuk menjamin PKNS kekal sebagai pemaju hartanah yang kompetitif dan pada masa yang sama tidak tercabut dari peranan dan tanggungjawab sosial korporat, maka PKNS mesti memastikan pembangunan brain bank yang cergas, dinamik dan mampan. PKNS perlu memiliki pemikiran strategik (strategic thinking) dan upaya operasi yang cemerlang.

Dengan jumlah aset bernilai RM 5.93 bilion dan nilai aset kumpulan sebanyak RM 7.72 bilion, PKNS harus segera meletakkan diri sebagai competitive regional player, yakni dengan daya saing yang tinggi, menghasilkan produk yang inovatif serta memastikan semua anak-anak syarikat beroperasi dalam kerangka pelan strategik.

Sumber dan aset kewangan PKNS yang sangat besar ini menuntut pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang terbaik. Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan PKNS mesti mematuhi protokol kewangan.

PKNS juga berbangga kerana menjadi peneraju kepada usaha memerangi amalan rasuah dengan menandatangani Ikrar Integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disusuli dengan semua 11 anak syarikat PKNS mengambil langkah yang sama.

Untuk membudayakan amalan benci rasuah dan menentang perasuah, PKNS telah maju setapak lagi ke hadapan dengan mengambil langkah yang proaktif yakni dengan mewajibkan setiap Ahli Perbadanan PKNS untuk menandatangani Borang Pengisytiharan Kepentingan sebelum bermulanya setiap Mesyuarat Ahli Perbadanan untuk memastikan tidak ada kepentingan di atas kertas yang dibentang dan dibincang dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan PKNS.

PKNS yakin usaha ini lebih efektif dan berkesan untuk melindungi kepentingan awam dan rakyat Selangor serta menghindar amalan rasuah. Kerajaan Negeri turut mengambil langkah yang sama pada setiap Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Kita mempunyai kewajipan fidusiari kepada stakeholders iaitu rakyat Selangor untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan memenuhi aspirasi rakyat.
Para tetamu yang dihormatkan,

Selaras dengan gagasan Smart Selangor, bangunan yang berdiri gagah ini memenuhi ciri-ciri Indeks Bangunan Hijau dan muncul sebagai ikon Bandaraya Shah Alam.

Bangunan ini telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti Anugerah “Best Office Development Malaysia” di Asia Pacific Property Awards Developments 2013-2014 dan “Best GBI Rated Corporate Office” di Prestigious Developer Awards 2017.

Usaha PKNS telah mendapat pengiktirafan Platinum Design Assessment of Green Building Index (GBI) daripada Panel Akreditasi GBI serta Gold Awards bagi kategori “Commercial Low Rise” daripada Persatuan Arkitek Malaysia.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Puan Hajjah Noraida Binti Haji Mohd Yusof dan seluruh pegawai serta warga PKNS yang telah memberikan khidmat bakti dan tenaga serta pemikiran untuk membangunkan PKNS sebagai sebuah institusi yang terbilang dan terunggul.

Seluruh warga PKNS seharusnya berbangga dan menjadikan  pencapaian ini sebagai aspirasi dalam penyampaian perkhidmatan cemerlang serta peningkatan produktiviti yang berterusan.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat Di Raja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Semoga keberangkatan Duli-Duli Tuanku akan menjadi pendorong kepada patik dan sekalian warga PKNS untuk menjunjung titah Tuanku untuk terus membangun bangsa dan memakmur negeri Tuanku.

Ampun Tuanku.

Comments

comments