Ucapan

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Pelancaran Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2

By Ogos 9, 2016 No Comments
MB Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 (ASRI) (3)

Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama menyaksikan dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2.

Projek ini amat signifikan untuk memastikan bekalan air terawat mencukupi bagi menampung permintaan khususnya di sekitar kawasan selatan Selangor yang kini menyaksikan pertumbuhan yang begitu pesat dalam sektor perumahan dan juga industri.

Projek ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengangkat satu agenda strategik yang bukan hanya memberi impak kepada Selangor, tetapi juga kepada negara. Industri perkhidmatan air harus mempunyai perancangan jangka panjang kerana ia mempunyai dimensi global yang menuntut visi, azam kepimpinan dan dukungan dari rakyat.

Demi kepentingan rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bersedia menggunakan sebahagian daripada rezab negeri untuk diterjemahkan dalam bentuk pembangunan termasuk membina dua buah loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labuhan Dagang yang menelan kos pembinaan sebanyak RM 800 juta.

Kerajaan Negeri Selangor menggalas tanggungjawab membangunkan loji ini meskipun pembinaan loji rawatan air merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk bersiap siaga menghadapi pelbagai cabaran ekoran perubahan cuaca global dan peningkatan jumlah penduduk yang memberi kesan kepada bekalan air.

Kita tidak boleh meneruskan sikap alpa dan boros terhadap penggunaan air; menganggap bekalan air sentiasa ada untuk memenuhi keperluan harian kita. Ketidakcukupan air masa kini adalah jelas dan merupakan satu ancaman global yang perlu ditangani melalui perancangan bijaksana.

Masalah ini amat serius sehinggakan ketika ini muncul satu ungkapan “air adalah minyak baru”. Umumnya, manusia mempunyai kecenderungan menggunakan air bersih pada kadar yang lebih tinggi dari penggantian.

Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam tempoh 14 tahun, dunia akan mengalami kekurangan air sebanyak 40 peratus. Antara faktor terpenting yang menyumbang kepada penyusutan bekalan air adalah pertumbuhan penduduk dan perubahan iklim.

Menurut Rancangan Struktur Negeri (RSN) Selangor 2035, unjuran penduduk akan meningkat kepada 9 juta orang. Ini menuntut Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah-langkah bagi menjamin bekalan yang berterusan.

Perubahan iklim yang semakin ekstrim termasuk cuaca panas yang kering akan memberi kesan ancaman water stress di Asia. Pola hujan juga tidak menentu sementara rezab air bawah tanah akan semakin berkurangan.

Apabila penduduk dunia meningkat kepada 9 bilion menjelang 2050, lebih banyak air bawah tanah akan diperlukan untuk pertanian, industri dan untuk kegunaan persendirian dan isi rumah.

Kekurangan air mempunyai kesan yang amat meluas, air minuman akan berkurangan, tanaman pertanian akan terjejas dan eko sistem akan rosak. Ini adalah ancaman kepada keselamatan bekalan makanan (food security).

Dari segi dimensi politik dan sosio-ekonomi; industri boleh lumpuh, penyakit dan kemiskinan akan semakin parah, konflik dan keganasan akibat perebutan air akan berlaku lebih kerap. Seperti yang dijangkakan, kesan paling buruk akan melanda golongan miskin dan terpinggir. Gejala ini akan lebih mendesak dengan permintaan terhadap air akan meningkat 55 peratus menjelang tahun 2050 sementara rezab air akan terus merosot.

Dalam isu ketidaksetaraan (inequality) akses kepada air, UN World Water Development Report menganggarkan 1 bilion orang tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat. Laporan ini melaporkan hanya 60% akan mempunyai akses kepada air menjelang 2030.

Malah, penggunaan air yang tidak cekap di kalangan pengguna adalah punca utama kepada krisis air hari ini.

Sebagai contoh, penggunaan air terawat secara melampau merupakan cabaran terbesar di Malaysia. Kadar penggunaan air terawat di Selangor adalah 250 liter sehari per kapita iaitu kadar yang tertinggi di ASEAN. Singapura menggunakan 170 liter sehari per kapita manakala Thailand sebanyak 90 liter sehari perkapita. World Health Organisation (WHO) mengesyorkan penggunaan air terawat pada kadar 165 liter sehari perkapita.

Menurut kajian, hanya 30% digunakan untuk makan dan minum sementara bakinya digunakan untuk membasuh kereta, pakaian dan kolam renang. Justeru, kita sememangnya memerlukan perubahan minda dan sikap dalam penggunaan air.

Apa yang perlu diutamakan adalah anjakan paradigma dalam budaya penggunaan dan perubahan sikap masyarakat ke atas penggunaan air.

Risiko berhadapan dengan defisit air bukan hanya boleh berlaku di peringkat global, tetapi juga di peringkat domestik jika kita tidak mempunyai iltizam untuk mengimbangi antara permintaan dan bekalan air. Kita perlu memastikan penggunaan air yang lebih efisien untuk menjamin bekalan air di masa hadapan.

Penggubal dasar di semua peringkat perlu memikirkan dan menilai semula dasar penggunaan air serta menggalakkan penjimatan air melalui penuaian air hujan, pendidikan dan kesedaran, serta mencegah penggunaan air yang tidak efisien.

Sudah sampai masanya industri menceburi usaha menggunakan teknologi kitaran semula air dan melabur inisiatif baru untuk menggunakan air lebih efisien dan menghapuskan pencemaran.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajar mengambil langkah proaktif dalam menterjemahkan falsafah konservasi kepada dasar dalam pelaksanaan projek perumahan, pembangunan industri dan perancangan bandar.

Air Selangor akan terus mengurus sumber air dengan lebih efisien dan menggunakan teknologi moden bagi memastikan kelestarian bekalan air dalam jangka masa panjang.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama – sama menyempurnakan Pelancaran Pecah Tanah Projek Semenyih 2.

Sekian, terima kasih.