Ucapan

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Indigenous Art Festival 2016

By August 6, 2016 No Comments
botani art 13

Saya sangat gembira pada hari ini kerana berpeluang bertemu dan bersantai dengan masyarakat Orang Asal dari dalam dan luar negara termasuk Vietman, Combodia, Thailand, Filipina dan Indonesia dalam program Indigenous Art Festival 2016. Selamat datang ke Negeri Selangor.

Masyarakat dan keluarga Orang Asal seharusnya bergembira berada di Negeri Selangor kerana inilah satu-satunya negeri yang memberi penghormatan dan pengiktirafan bahawa Orang Asal adalah sebahagian daripada keluarga besar kita rakyat Malsysia.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa identiti dan jati diri Orang Asal adalah sebahagian daripada kepelbagaian dan kerencaman rakyat di Negeri Selangor. Kerencaman ini merupakan aset yang amat berharga dan penting untuk kita membangun negeri ini dan beri keadilan kepada semua rakyat.

Saya ingin mengulangi ikrar dan tekad Kerajaan Negeri untuk meneruskan dasar-dasar yang senantiasa memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat termasuk masyarakat Orang Asal di negeri ini.

Kita melihat kemajuan sesebuah negara bukan hanya berteraskan pembangunan fizikal sahaja. Namun, pembangunan yang mahu dibangunkan oleh Kerajaan Negeri adalah pembangunan adat warisan, nilai dan budaya yang harus dipelihara dalam kepesatan pembangunan hari ini.

Setiap kaum dan suku kaum masyarakat Orang Asal di Malaysia mempunyai ciri-ciri budaya dan bahasa yang unik dan mempunyai sumbangan dan peranan masing-masing dalam bidang kesenian dan mencipta pelbagai keindahan untuk Selangor dan kemanusiaan sejagat.

Kerajaan Negeri mengambil maklum kerjasama Tourism Selangor untuk memajukan industri pelancongan komuniti Orang Asal termasuk memperkenalkan produk-produk pelancongan baru yang bersifat warisan dan kebudayaan Orang Asal supaya Negeri Selangor kekal menjadi destinasi pelancongan utama untuk pelancong asing dan tempatan.

Kerajaan Negeri juga menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) demi memastikan tahap kehidupan Orang Asal terus dapat dipertingkatkan.

Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli (BBTOS) yang telah diwujudkan sejak Mei 2009. Badan ini berperanan khas untuk membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengenalpasti tanah dan kawasan rayau masyarakat Orang Asal supaya kawasan tersebut tidak dirampas oleh Kerajaan Negeri atau pihak swasta.

Inilah penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada masyarakat Orang Asal di mana kita akan memastikan hak mereka akan terus dipertahankan.

Sebagai contoh, dalam satu kes di Mahkamah; Kes Sagong Tasi, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuan di Mahkamah demi menghormati hak orang asal di negeri ini.

Malahan, Kerajaan Negeri juga telah mengambil keputusan mengiktitraf pahlawan Orang Asal tersebut dengan mewujudkan Biasiswa Sagong Tasi supaya Kerajaan Negeri dapat membantu anak-anak Orang Asal yang cemerlang dalam pendidikan untuk terus memajukan diri dalam bidang akademik. Kita sedar, hanya melalui peluang pendidikan, masyarakat Orang Asal akan dapat mempertingkat status ekonomi mereka.

Menjadi harapan Kerajaan Negeri supaya anak-anak Orang Asal mendapat akses dan peluang pendidikan yang berkualiti untuk menimba ilmu dan mewarisi kepimpinan negara.

Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar-dasar untuk memperkasakan masyarakat Orang Asal dari segi ekonomi dan pendidikan dengan mengintegrasikan mereka dengan arus perdana pembangunan.

Dalam bidang ekonomi, Kerajaan Negeri telah mengumumkan skim mikrokredit untuk mengupayakan perniagaan masyarakat Orang Asal.

Program HIJRAH merupakan skim pinjaman mikro kredit yang perlu dimanfaatkan untuk membantu peniaga Orang Asal meningkat dan mengembangkan perniagaan mereka.

Saya juga ingin mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan untuk mempertahankan Tanah Rizab Orang Asli di Negeri Selangor yang seluas hampir 10,000 ekar.

Akhir kata, marilah kita bersama – sama menyempurnakan Pelancaran Indigenous Arts Festival 2016.

Sekian. Terima kasih.

Comments

comments