Ucapan

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Perasmian Majlis Pecah Tanah dan Pendaftaran Rumah Selangorku di Puchong

By July 20, 2016 No Comments
13770507_1145364915527853_2573986886135694748_n

1.Pagi ini kita bersyukur kerana dapat memperkukuh Smart Partnership dengan pihak swasta dalam usaha untuk membangunkan Negeri Selangor untuk muncul sebagai vibrant economy dan menjamin sustainable growth dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Kejayaan Hillcrest Gardens Sdn. Bhd. pagi ini adalah merealisasikan dasar perumahan mampu milik untuk rakyat yang diterajui oleh Kerajaan Negeri dan menepati dasar “Membangun Smart Selangor Yang Peduli” yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.

2. Semenjak tahun 2014, sebanyak 45,243 unit Rumah Selangorku telah diluluskan. Dalam tahun 2015 sahaja, apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan insentif pengecualian caj pemajuan dan pengurangan premium tanah serta kenaikan densiti, sebanyak 20,008 unit rumah telah diluluskan.

3. Bagi kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja, sebanyak 536 unit rumah telah pun diduduki oleh pemilik masing-masing. Selain itu, sebanyak 11,171 unit pula telah pun ditawarkan dan dijangka pemilikannya dapat diserahkan kepada pemilik selewat-lewatnya tahun 2018.

4. Tambahan dari itu, sejumlah 8,615 unit yang sedang dalam proses pembinaan akan mula ditawarkan kepada orang ramai selewat-lewatnya pada hujung tahun ini setelah memperoleh permit jualan diperoleh daripada Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan.

5. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara konsisten melaksanakan pemantauan terhadap pemaju yang masih belum melaksanakan pembinaan Rumah Selangorku setelah diberikan suatu tempoh jangka masa untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan tanah, kebenaran merancang dan setelah memenuhi lain-lain syarat agar kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan tidak berlaku lagi projek-projek yang terbengkalai.

6. Kerajaan Negeri juga akan berbincang dengan REHDA supaya memainkan peranan untuk memastikan anggotanya melaksanakan pembinaan projek-projek perumahan mengikut dasar perumahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

7. Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Syarikat Hillcrest Gardens Sdn. Bhd. untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan perumahan untuk rakyat. Sebagai pemaju perumahan yang mempunyai track record yang cemerlang dalam pembangunan hartanah, saya yakin Hillcrest Gardens mampu menyediakan perumahan yang berkualiti dengan reka bentuk yang menepati aspirasi rakyat hari ini, selesa dan dilengkapi dengan kemudahan yang mesra pengguna.

8. Projek ini merupakan pembangunan rumah mampu milik pertama yang akan dianugerahkan dengan Green Building Index Certification di Malaysia.

9. Green Building Index Certification menuntut pembinaan moden dengan teknologi dan ciri-ciri khas seperti penjimatan tenaga melalui reka bentuk yang moden; pengurangan haba untuk keselesaan penghuni; sistem pencahayaan yang lebih baik melalui reka bentuk dan penggunaan lampu LED yang mampu menjimatkan tenaga; serta kelengkapan cekap air (efficient fittings) untuk mengurangkan pembaziran air.

10. Justeru, keupayaan Hillcrest Gardens merealisasikan pembangunan dengan konsep dan ciri-ciri ini adalah suatu pencapaian yang besar bukan hanya kepada pemaju tetapi juga Kerajaan Negeri. Yang lebih menarik perhatian Kerajaan Negeri dan pastinya akan menggembirakan rakyat dan pembeli, dengan ciri-ciri khas tersebut, unit-unit rumah ini tetap akan dijual dengan harga jualan antara RM 150,000 hingga RM 220,000.

11. Kesediaan Hillcrest Gardens untuk membangunkan perumahan mampu milik dengan nilai densiti yang rendah (70 unit per ekar) memperlihatkan betapa Hillcrest serius dalam usaha melaksanakan pembangunan yang berkualiti tanpa melihat aspek keuntungan semata-mata. Prinsip profitability with social responsibility harus menjadi motto bagi pemaju-pemaju dalam Negeri Selangor.

12. Pembangunan rumah mampu milik di kawasan Puchong ini dapat menyuntik dinamika ekonomi baru yang sustainable di bandar satelit.

13. Kerajaan Negeri Selangor senantiasa berusaha untuk memastikan rakyat yang boleh membuat pinjaman, mempunyai akses kepada kredit.

14. Saya timbulkan perkara ini berdasarkan aduan tentang kesukaran pembeli Rumah Selangorku untuk mendapatkan pembiayaan bank.

15. Kita mengambil maklum kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru di mana apa yang kita tidak mahu ialah mereka yang boleh meminjam wang, tidak mempunyai akses kepada kredit. Maka, Bank Negara Malaysia perlu memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat house owning democracy.

16. Kita mahu dasar Bank Negara yang mampu untuk mencapai objektif pendemokrasian pemilikan rumah.

17. Kita mengikuti statistik household debt atau hutang isi rumah yang telah mencapai tahap kritikal. Namun, Bank Negara Malaysia perlu membedakan antara hutang yang berpunca daripada penggunaan retail consumption melalui hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kenderaan dengan hutang untuk pemilikan rumah.

18. Hutang yang berpunca daripada kad kredit untuk tujuan retail consumption tidak akan menghasilkan sebarang pemilikan. Sementara hutang pinjaman kenderaan akan menghasilkan pemilikan kereta yang nilainya akan susut dari masa ke semasa. Sebaliknya pinjaman bagi pembiayaan perumahan akan menghasilkan pemilikan aset yang nilainya meningkat dari masa ke semasa melalui apresiasi modal atau capital appreciation.

19. Pinjaman perumahan kepada peminjam yang mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap khususnya di kalangan first time home buyer tidak akan mengakibatkan krisis dalam sistem kewangan sebagaimana yang berlaku dalam krisis sub prime di Amerika pada tahun 2007.

20. Justeru itu, BNM perlu menilai semula peraturan ketat terhadap pinjaman perumahan terhadap pemilik-penghuni (owner occupy) rumah mampu milik.

21. Kerajaan Negeri tuntas menjamin masa depan para penjawat awam dengan menetapkan kuota 30 peratus untuk penjawat awam memiliki kediaman mampu milik yang selesa buat keluarga. Saya berharap kakitangan awam tidak melepaskan peluang daripada dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri ini.

22. Kita harus menerima hakikat bahawa pembangunan kota kini dan masa hadapan akan lebih bersifat vertikal daripada horizontal termasuk dalam pembangunan kediaman. Oleh itu, setiap usaha Kerajaan Negeri wajar mendapat dukungan pemilik dan penghuni kediaman bagi mewujudkan smart community di mana kawasan kediaman kita itu adalah untuk hidup (live), bekerja (work), belajar (study) dan bersantai (play).

23. Ini menuntut anjakan paradigma dalam sikap dan pemikiran penghuni kediaman pangsapuri. Mewujudkan Smart Community dikalangan penghuni pangsapuri memerlukan penghijrahan sikap dan budaya yang dikenali ‘new urban mentality & culture’ yang mengutamakan kebersihan bersama, keselamatan bersama, kejiranan hijau serta kehidupan bermasyarakat yang berdisiplin dan beretika.

24. Bagi membentuk smart community ini, pihak PBT juga harus memainkan peranan proaktif terutama dalam mengadakan program temu-tembung atau engagement dengan persatuan penduduk demi mewujudkan kembali semangat kejiranan, jaminan keselamatan selain terus menjaga kejiranan hijau dan alam sekitar.

25. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah dan Pendaftaran Rumah Selangorku, Puchong Utama.

Sekian. Terima kasih.

Comments

comments