Ucapan

Ucapan YAB Menteri Besar Selangor di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 Peringkat Negeri Selangor

By Februari 6, 2017 No Comments
MB_Sultan-1

5 FEBRUARI 2017 (AHAD)

KOMPLEKS SUKAN PANDAMARAN, KLANG

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan ;

dan

Duli Yang Maha Mulia
Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin.

Ampun Tuanku,

Dengan segala kerendahan diri, setulus kalam pancaran hati, patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung Duli.

Patik menjunjung kasih dan merafak sembah di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, berangkat mencemar Duli ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor pada malam ini.

Sesungguhnya keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor buat julung-julung kalinya ke majlis ini akan menjadikan sambutan pada tahun ini cukup meriah dan merupakan simbolik kepada keutuhan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Negeri Selangor.

Pastinya sambutan ini akan menjadi cukup bermakna buat masyarakat Tionghua di Negeri Selangor sekaligus memantapkan solidariti dikalangan rakyat serta menjelmakan masa depan yang terbaik dan gemilang buat Negeri Selangor.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu yang hadir pada malam ini.

Ampun Tuanku,

Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor,

YB Dato’ Teng Chang Khim,
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang  Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Your Excellencies and Honourable members of the Diplomatic  Corps,

Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Pegawai Kewangan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Yang Berusaha Dato’ Hasan Azhari Bin Idris,
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad,

Distinguished guests,

Yang diraikan Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Selamat Tahun Baru Cina,
Gong Xi Fa Chai,
Sinnian Kwai Le,
Nian Nian Yo Yee.

Inilah Selangor. Apa yang kita saksikan malam ini adalah realiti perpaduan rakyat Negeri Selangor di bawah naungan DYMM Sultan. Dalam kerencaman, wujud keharmonian.

Saya ingin mengulangi tekad Kerajaan Negeri bahawa kepelbagaian masyarakat dan budaya adalah aset yang paling berharga buat negeri ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyuburkannya melalui semangat perpaduan dan kekitaan.

Sambutan pada malam ini adalah manifestasi kepada kejayaan Kerajaan Negeri merangkul keseluruhan segmen masyarakat, peniaga kecil, petani, nelayan, pemandu teksi, usahawan, pelajar, penjawat awam dan golongan profesional – bersatu padu demi menjayakan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri.

Sambutan ini juga adalah selaras falsafah pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlandaskan prinsip keadilan dan kesederhanaan, justice and moderation – yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Negeri tuntas memupuk kerjasama dan semangat kesatuan, mewujudkan budaya menghormati dan toleransi serta memuliakan insan.  Perpaduan yang berlandas kecintaan kepada bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung adalah teras kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Tahun ini adalah tahun ayam – the year of the rooster. The rooster is the epitome of fidelity and punctuality – kesetiaan dan ketepatan waktu. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor akan setia dengan janji kepada rakyat dan menyampaikan khidmat kepada rakyat mengikut ketepatan.

Kerajaan Negeri yakin, semangat dan usaha ini akan terus menjamin kemakmuran negeri dan memacu pertumbuhan sosio ekonomi demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Your Excellencies and distinguished guests from the foreign diplomatic corps and international investment and business community, we thank you for attending this open house and joining in the celebrations for the Chinese New Year.

We appreciate your continued presence in the State of Selangor and your active support in helping drive the economy and promote our vibrant growth and progress.

I would like to take this opportunity to remind ourselves that we, being a multi-racial and multi religious society, must always be mindful of the profound importance of unity, harmony and mutual respect and to regard all the cultural celebrations as reflective of our very special Malaysian socio-cultural ecosystem.

Indeed, the Chinese New Year dinner is an auspicious event. And tonight, it is even more auspicious and of immense significance that it is being held in the royal town of Klang and that our event is graced by the presence of Their Royal Highnesses, Duli Yang Maha Mulia Tuanku and Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor.

Please join me in showing our profound appreciation to their Royal Highnesses.

Ampun Tuanku,
Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dilanjutkan usia dalam keafiatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.