AZMIN ALI

LATEST

Day: August 23, 2009

Pesanan Tok Guru Buat Pengundi Dun Permatang Pasir

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan
(mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”
(Sebahagian dari Ayat 5 :Surah Al Bayyinah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah
saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan
ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan
Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya. Apa yang hanya boleh kita baca
dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat
(PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di
Batang Ai,Serawak. Ini realiti dan ini kenyataan.

Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang.
Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita
untuk kembali menemuiNya. Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah
tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat
Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar
PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.

Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan
betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh
faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah
negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi
5,000 undi adalah teramat mahal. Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka
tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan
Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan
Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan
Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah
yang saya namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu
atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak
macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan
antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya
keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah
Syurga Allah di akhirat kelak? Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat
begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima.
Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului
Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam
di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini. Read More