AZMIN ALI

LATEST

Day: September 1, 2009

Rakyat Didahulukan, Harga Minyak Dinaikkan

Sistem percukaian penjajah yang menekan petani, pekebun dan nelayan kini disambut oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sempena Ulangtahun ke 52 kemerdekaan negara. Hari ini Kerajaan Pusat mengumumkan kenaikkan harga minyak secara mengejut tanpa mengambil kira keperluan rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang bakal menyambut ketibaan bulan Syawal dalam beberapa hari lagi. Dimanakah dasar Satu Malaysia – Rakyat Didahulukan ? Nyata ianya adalah retorik politik. Sikap buas dan nafsu amarah penjajah sehingga mencetuskan kemarahan rakyat lalu bergabung tenaga dan bersatu untuk bangun menentang kezaliman penjajah lantaran memerdekakan bumi Malaysia ini akan berulang lagi dengan penentangan kuat terhadap dasar UMNO dan BN yang tidak peduli keperitan hidup rakyat Malaysia.

Kenaikkan mengejut ini pastinya membawa impak besar ke atas harga barangan keperluan harian. Permintaan di pasaran yang meningkat pada musim perayaan akan mendesak pengusaha untuk mengambil kesempatan dan menaikkan harga barangan keperluan lantaran menambahkan lagi beban rakyat yang sudah sememangnya berat ekoran kelembapan ekonomi negara masa kini.

Rakyat disajikan dengan petrol RON 95 yang kononnya lebih murah dan sebagai bahan bakar alternatif kepada RON 97. Hakikatnya rakyat dipaksa berpuas hati dengan petrol yang kurang berkualiti dan boleh mencemarkan alam sekitar. Rakyat yang ingin menggunakan petrol RON 97 pula terpaksa membayar 25 sen lebih daripada harga sebelum ini bagi mendapatkan kualiti pembakaran petrol per kilometer yang serupa sebelum ini.

PETRONAS dalam kenyataan media pada tahun 2008 telah mendedahkan bahawa sejumlah RM 270 bilion telah dibayar oleh PETRONAS kepada Kerajaan Pusat dalam tempoh lima tahun yang lalu dalam bentuk royalti, dividen dan cukai. Jumlah yang besar ini sewajarnya dimasukkan dalam ‘consolidated account’ atau Akaun Yang Disatukan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia melalui projek-projek pembangunan seperti meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan. Namun, amat malang sekali, berbilion ringgit berlegar hanya di kalangan pemimpin elit dan bangsawan UMNO serta kroni mereka. Rakyat berhak untuk mendapat maklumat bagaimana wang ini dibelanjakan.

Bagaimana nasib rakyat Malaysia ? Apakah pemimpin UMNO dan BN mempunyai iltizam untuk membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat ? Slogan Satu Malalysia – Rakyat Didahulukan hanya manis dibibir pemimpin elit UMNO dan juak-juak mereka sahaja termasuk RTM dan TV 3.

Realitinya ialah pemimpin UMNO dan BN semakin buas dan liar. Tatkala rakyat semakin terhimpit kehidupan mereka, sang penguasa rakus memunggah hasil mahsul negara untuk memuaskan nafsu amarah mereka. Mereka belum insaf. Skandal PKFZ yang mencecah RM 12.5 bilion masih tidak terjawab, isu mahligai yang dikatakan bernilai RM 27 juta milik pemimpin UMNO Selangor masih gagal disiasat secara bertanggungjawab, Pak Menteri mendapat suapan RM 10 juta dan menggunakan pesawat peribadi syarikat swasta tanpa bayaran tidak disentuh oleh badan yang berwajib. Di manakah keadilan untuk rakyat ?

Seharusnya, Perdana Menteri dengan semangat ingin memecahkan tembok di antara kerajaan dan rakyat, wajar membincangkan perkara ini di Parlimen memandangkan kenaikkan harga petrol ini akan memberi impak kepada seluruh rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Saya percaya harga petrol di Sabah dan Sarawak akan jauh lebih tinggi kerana masalah logistik dan pengangkutan di kawasan pendalaman. Pastinya rakyat Sabah dan Sarawak akan terus menderita ekoran dasar UMNO dan BN yang melihat rakyat sebagai musuh mereka. Tembok yang dimaksudkan tidak mungkin roboh andai pemerintah masih bersikap sombong dan membelakangkan kepentingan rakyat dalam agenda ekonomi mereka.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat mempunyai komitmen untuk mengangkat agenda ekonomi yang memberikan keadilan dan kesejahteraan untuk rakyat Malaysia.

AZMIN ALI