AZMIN ALI

LATEST

Day: September 9, 2009

SELCAT

YB Azmin Ali @ Selcat
Sesi Pendengaran Awam Kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan

Sesi Pendengaran Awam Kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan ( SELCAT ) mengenai peruntukan ADUN memasuki hari kedua pagi ini. Semalam, dua orang Pegawai Daerah telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dan kelulusan peruntukan ADUN-ADUN BN menjelang Mac 2008.

SELCAT meminta penjelasan Pegawai Daerah Petaling mengenai perbelanjaan ADUN di bawah pentadbirannya iaitu Bukit Gasing, Kinrara, Kota Damansara, Taman Medan, Batu Tiga, Subang Jaya, Seri Setia, Seri Serdang, Paya Jaras, Seri Kembangan, Bukit Lanjan, Kampung Tunku dan Damansara Utama. Manakala Pegawai Daerah Gombak pula diminta untuk menjelaskan perbelanjaan ADUN Batu Caves, Gombak Setia, Hulu Kelang, Kuang, Taman Templer dan Rawang.

Pegawai Daerah Petaling dan Gombak akan dipanggil semula untuk memberi keterangan tambahan.

Ketika ini, SELCAT sedang mendengar keterangan dari Pegawai Daerah Klang, Encik Bakhtiar berhubung perbelanjaan yang dibuat menjelang Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008 oleh ADUN-ADUN BN di Meru, Selat Klang, Sementa, Kota Alam Shah, Pandamaran, Seri Andalas, Sri Muda, Sungai Pinang dan juga mantan Speaker, Tan Sri Onn Ismail.

Saya akan terus laporkan di blog ini butiran dan dapatan SELCAT untuk makluman rakyat Selangor. Secara umumnya, kelulusan dan perbelanjaan ADUN-ADUN BN menjelang pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008 adalah amat luar biasa dan dalam tempoh yang terlalu singkat. Jumlah yang dibelanjakan oleh setiap ADUN BN hampir setengah juta ringgit dalam tempoh hanya beberapa hari.

Pegawai Daerah Gombak mengesahkan bahawa sepanjang pengetahuan beliau, SPRM tidak pernah menjalankan siasatan mengenai perbelanjaan yang luar biasa ini dan juga kelulusan yang dibuat secara fast track.

AZMIN ALI

Raja Berjiwa Rakyat

Iftar bersama DYMM Sultan Selangor

klik sini untuk galeri gambar

Tuanku Sultan Selangor baru sahaja berangkat balik dari Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya untuk fakir miskin dan anak-anak yatim dalam Parlimen Gombak. Atas sifat Ahli Parlimen Gombak, saya turut menyambut keberangkatan Tuanku dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke majlis ini yang disempurnakan di Masjid Al Syakirin, Batu 6 Jalan Gombak. Turut hadir ialah YAB Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin-pemimpin masyarakat, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan serta lebih 1,000 rakyat Gombak. Tuanku Sultan bersama-sama umat Islam menyempurnakan 20 rakaat Solat Tarawikh dan disusuli dengan Solat Witir dan kemudian berangkat ke majlis morei.

Tuanku Sultan sempat bertitah kepada saya sejurus sebelum Solat Isya’ tentang pembangunan umat Islam di daerah Gombak. Saya turut memaklumkan kepada Tuanku Sultan tentang perbincangan saya baru-baru ini dengan Persatuan Kebajikan Gombak Setia ( PKGS ) untuk memelihara kepentingan dan masa depan hartanah orang-orang Melayu dan umat Islam di Gombak Setia.

Pada majlis ini, Tuanku telah berkenan untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada lebih 200 penerima di kalangan fakir miskin dan anak-anak yatim dalam Parlimen Gombak. Sesungguhnya zakat itu adalah tuntutan Allah SWT ke atas umat Islam demi kepatuhan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada mereka yang berkemampuan untuk membayar zakat dan menyumbang kepada yang memerlukan pembelaan. Semoga Allah SWT akan terus menyuburkan perniagaan mereka dan semoga dimurahkan rezeki para dermawan dan pembayar zakat.

Bagi pihak seluruh rakyat Gombak, saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar duli dan berangkat ke majlis yang murni ini untuk bersama-sama dengan rakyat dalam Parlimen Gombak.

AZMIN ALI