AZMIN ALI

LATEST

Day: September 23, 2009

Sehari di Eidul Fitr

Eidul Fitr (2 of 2)
Eidul Fitr bersama isteri tercinta
Azmin Ali bersama Keluarga
Hari Lebaran bersama Keluarga

Pada tahun ini, saya dan Shida serta anak-anak menunaikan Solat Eidul Fitr di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Kami sekeluarga menyambut Eid pada hari pertama bersama bonda saya di Kampong Klang Gate Baru, Hulu Kelang. Ibu saya sudah menyediakan hidangan kesukaan saya iaitu lontong dan rendang istimewa.

Saya turut bersama dengan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) dalam Majlis Mengadap Tuanku Sultan Selangor bersempena Eidul Fitr di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada jam 10.30 pagi. Sekitar jam 11.30 pagi, saya mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Dewan SACC Convec, Shah Alam. Kompleks baru ini adalah milik PKNS. Ribuan rakyat dan pimpinan termasuk Duta – Duta dan Perwakilan Asing turut meraikan majlis ini.

Pada sebelah petang, saya dan keluarga berlepas ke Taiping untuk menziarahi ibu dan bapa mertua serta keluarga di Kamunting. Bukan di Kem Kamunting ! Saya memandu sendiri kereta dengan kelajuan lebih kurang “110 km” kerana keadaan lebuhraya yang agak tenang dan cuaca yang baik.

Kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari semalam untuk memulakan tugas saya yang bertimbun di pejabat. Insya Allah, saya dan pimpinan KEADILAN Parlimen Gombak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka untuk rakyat Gombak dan kenalan dalam masa yang terdekat.

AZMIN ALI

Terima Kasih atas kiriman Eid Mubarak!

Saya terharu menerima ucapan Eidul Fitr dari kenalan dan rakyat sebagai tanda ingatan persahabatan dalam perjuangan yang murni ini. Saya ucapkan Jazakumullah kepada semua yang mengirim sms, kad ucapan dan juga emel. BlackBerry saya semakin sarat dengan kiriman yang belum terjawab. Saya telah cuba melayani dan menjawab secara langsung sebahagian dari kiriman. Namun saya masih dihujani dengan ribuan lagi kiriman sedemikian. Saya akan terus secara beransur ansur untuk menjawab setiap kiriman yang diterima sebagai tanda penghargaan atas ucapan dan iringan doa. Justeru itu, saya pohon kesabaran pengirim di atas kelewatan menjawab.

Saya rasa terhibur dengan pelbagai cara dalam mengolah kata-kata ucapan menjelang sambutan Eidul Fitr. Ada yang berpantun, ada juga yang bermadah dengan panjang lebar dan tidak kurang juga yang memberi ingatan dan nasihat kepada saya. Alhamdulillah, saya hargai semuanya.

AZMIN ALI

Perutusan Eidulfitr 1430 Hijrah

Syawwal membawa maksud peningkatan. Marilah kita meneruskan budaya Ramadhan dengan memacu amal ibadat kita termasuk qiyammullail, tadarus Al Quran, melakukan sedekah dan membayar zakat serta menggilap roh dan semangat jihad. Syawwal juga menuntut kita untuk menjana program-program kebajikan demi kesejahteraan umat Islam.

Justeru itu, marilah kita menyambut Syawwal dengan keinsafan, kesabaran dan kesederhanaan. Eid Mubarak.

Taqabbalallahu Minna Waminkum. Kullu am waantum bikhair.

Semoga umat Islam senantiasa dalam naungan Ilahi.

Saya pohon ampun dan maaf kepada semua kenalan dan sahabat serta rakyat Malaysia sekiranya dalam menjalankan tugas dan amanah ini; terdapat kelemahan dan kekurangan.

AZMIN ALI