AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: October 2009

Anak Ibrahim & Anak Ali

Saya tampil untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul ekoran percaturan media milik pemimpin elit UMNO dan perasuah negara. Editor upahan menulis fitnah dan membuat kerja ‘sial’ demi menjamin kelangsungan kuasa politik UMNO dan mempertahankan perasuah dan perompak khazanah negara.

Tulisan wartawan kanan Joceline Tan dalam Sunday Star pada 25 Oktober 2009 bertajuk “Lobby for hot seat warms up“ mengundang pelbagai reaksi dan persoalan. Editor media UMNO dan Barisan Nasional juga sudah memulakan serangan terhadap saya dengan mengupah pengemis-pengemis politik yang sudah bankrap untuk membuat kenyataan media yang cuba menimbulkan prasangka buruk terhadap saya. Antara lain saya dituduh mendapat layanan istimewa dari YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Saya merasakan adalah lebih adil jika rakyat dan ahli parti KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat penjelasan terus dari saya. Saya berharap penulisan ini dapat membantu pembaca membuat penilaian yang adil.

Siapa 3 Anak Ibrahim ? Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim. Mujurlah tidak dikaitkan dengan Ibrahim Ali ! Kita perlu wacana lain untuk membicarakan soal 3 anak Ali dalam PAS. Mustaffa Ali, Hasan Ali dan Ibrahim Ali.

Anwar Ibrahim bukan ahli politik semacam Mahathir. Anwar adalah negarawan dan pemikir bangsa. Anwar berpegang kepada prinsip bahawa persaudaraan dan persahabatan perlu ‘transcend political partisanship’. Perjuangan Anwar bukanlah kerana kedudukan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi beliau adalah Bapa Reformasi – mendukung agenda perubahan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Justeru itu, jatuh bangun dalam perjuangan mendidik Anwar untuk menjadi ‘a better leader and not a bitter leader’. Walaupun YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim difitnah, dihina, dipukul, diracun dan dihumban ke dalam tembok kezaliman selama 7 tahun, beliau kembali bangun dengan gagah untuk meneruskan perjuangan dan mendapat dukungan serta rasa hormat dari kawan dan lawan.

Mahathir bukan pejuang, jauh sekali reformis. Hidup dan matinya adalah politik. Sebab itu, Mahathir sering mengungkapkan kata-kata bahawa ‘there is no permanent enemies and no permanent friends in politic’. Beliau kini berseorangan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama Hasmah Ali dan Ibrahim Ali. Kroni-kroni dalam UMNO dan korporat sudah menjauhkan diri mereka dari Mahathir.

Ada yang berpandangan bahawa Anwar Ibrahim mentadbir secara ‘pecah dan perintah’. Inilah persepsi orang yang tidak mengenali secara dekat falsafah Anwar Ibrahim. Anwar sebenarnya menganjurkan kita untuk mengambil sikap berlapang dada, lebih accommodative dan meraikan perbedaan pendapat demi pengukuhan perjuangan. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang ‘very demanding’ dan mensasarkan ‘high expectation’ di kalangan orang-orang kepercayaannya.

Orang yang lama bersama perjuangan Anwar akan memahami prinsip ini termasuklah Khalid Jaafar, Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan saya sendiri. Yang baru bertatih untuk mendekati Anwar akan melihat sebaliknya; lalu tergelincir dalam perjuangan dan menjadi pecacai Sang Perasuah dan kini tenggelam sebagai sampah masyarakat.

Mari saya baca watak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga saya kenali selama hampir 20 tahun. Khalid Ibrahim adalah tokoh korporat yang berwajah DEB dan kini melangkah dengan berani untuk membawa perubahan besar dalam memartabatkan orang Melayu. Khalid telah melihat perkembangan DEB dan pastinya benci kepada kebejatan dan kemusnahan agenda Melayu dalam perlaksanaan DEB. Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai pemimpin Melayu yang berpaksikan prinsip keadilan dan bukan Melayu kroni.

Saya sendiri pernah menegur dan mencuit Tan Sri Khalid dengan niat untuk membantu beliau di Negeri Selangor menjana pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama peka terhadap tuntutan politik. Khalid terima teguran secara berlapang dada dan tidak melatah walaupun dilontarkan provokasi oleh media jahanam UMNO.

Orang ketiga ialah Zaid Ibrahim. Beliau berwajah liberal dan profesional. Peranan Zaid semakin mencabar untuk mengimbangi kehidupan masa kini yang mendepani kelompok fanatik kaum dan agama. Pakatan Rakyat memiliki aset penting seperti Zaid untuk berperanan memperkasa agenda bersama dalam kerangka besar Pakatan Rakyat.

Saya bersyukur dapat mengenali dan bekerja sebagai satu pasukan dengan tiga anak Ibrahim yang berlainan dimensi tetapi berpegang kepada prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas.

Persoalan yang hangat diperkatakan hari ini ialah mengapa saya mendapat layanan istimewa ? Saya menjawab mudah dengan senyuman. Saya mengambil pengajaran dari Nabi Yusuf a.s. yang meriwayatkan kisah 7 tahun kemarau disusuli dengan 7 tahun yang subur. Nabi Yusuf a.s. adalah seorang yang amat dicemburui oleh ahli keluarganya sendiri dan juga sanak saudaranya sehingga dihumban ke dalam perigi. Namun, berkat kesabaran dan istiqamah, Nabi Yusuf a.s. akhirnya diberikan tanggungjawab untuk memikul amanah memimpin dan membawa kesejahteraan di Mesir.

Mungkin ada yang cemburu dengan saya kerana kesetiaan dan kepatuhan saya kepada perjuangan KEADILAN yang murni ini. Mungkin ada yang cemburu kerana prestasi kerja saya untuk memperkasa parti seperti yang ditulis oleh Joceline. Mungkin ada yang cemburu kerana kesetiaan saya kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Saya terima semua ini sebagai cabaran yang positif dan persaingan yang sihat.

Ayuh, rakyat Malaysia. Kita bangun dan lawan perosak dan penjahanam negara iaitu pemimpin elit dan bangsawan UMNO dan Barisan Nasional. Marilah kita bina Malaysia Baru yang lebih selamat dan sejahtera untuk rakyat Malaysia.

AZMIN ALI

3 Anak Ibrahim

Saya terpanggil untuk mengupas tulisan wartawan kanan Joceline Tan dalam Sunday Star hari ini, 25 Oktober 2009 di halaman F 25 yang berkisar kepada topik perbincangan hangat bertajuk “Lobby for hot seat warms up“. Saya merasakan adalah lebih adil jika rakyat dan ahli parti KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat penjelasan terus dari saya. Saya sudah bersedia untuk mendepani cabaran dalaman demi memperkukuhkan dan memperkasa agenda perjuangan rakyat melalui KEADILAN. Saya akan memulakan penulisan ini esok dan dijangka akan dimuatkan dalam blog ini pada hujung minggu ini. Saya berharap penulisan ini dapat membantu pembaca membuat penilaian yang adil.

Salam.
AZMIN ALI

Azmin nafi bergeser dengan Zaid

Daripada Malaysiakini

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat pergeseran antara beliau dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai parti itu Jun lalu.

Sambil menyalahkan media, Mohamed Azmin yang juga anggota parlimen Gombak berkata cerita berkenaan wujud akibat tafsiran media yang sengaja menggambarkan kononnya wujud perpecahan dalam parti itu.

“Siapa yang ada pergeseran? Kalau awak tengok kenyataan Datuk Zaid, ada tak dia kaitkan dengan saya, tak ada.

“Ini tafsiran media. Memang peranan media untuk menggambarkan bahawa ada perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan juga PKR,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Baru-baru ini, Zaid mengumumkan untuk bercuti selama enam bulan berkuatkuasa serta-merta, bermula Jumaat lepas, selepas penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Laporan media juga menyebut kononnya hasrat Zaid untuk ke negeri itu tidak direstui oleh Mohamed Azmin yang juga merupakan pengerusi PKR Sabah.

Zaid yang diminta mengulas laporan itu semalam bagaimanapun menafikan bahawa beliau bercuti selama enam bulan daripada parti berkenaan sebaliknya menegaskan beliau hanya berehat daripada terlibat dengan aktiviti biro politik PKR.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata pihaknya turut menghormati keputusan Zaid yang ingin bercuti bagi membolehkannya memberi tumpuan untuk mengukuhkan kerjasama antara pakatan pembangkang.

“Saya kira ini satu keputusan yang perlu dihormati. Zaid mempunyai peranan yang cukup penting dalam PKR dan juga Pakatan Rakyat untuk membantu menyediakan kertas dasar bagi penubuhan (pendaftaran) Pakatan Rakyat.

“Tidak ada perpecahan langsung, malahan hubungan kerja di kalangan pimpinan cukup baik dan mantap,” katanya.

Respon kepada artikel “Apa signifikan keputusan Bagan Pinang”

Saya membaca dengan tekun komen-komen pengunjung blog saya dan juga teman-teman facebook. Sindiran ringkas yang saya lontarkan dalam blog saya bertajuk Apa signifikan keputusan Bagan Pinang telah mengundang maklumbalas dari pembaca. Saya merasa terpanggil untuk memberikan respon.

Pakatan Rakyat perlu ‘go back to the drawing board’ dengan membuat post-mortem dan melakukan muhasabah secara adil dan berlapang dada. Memang benar suara rakyat Bagan Pinang yang kecil dari segi jumlah pengundi tidak semestinya mewakili sentimen rakyat Malaysia tetapi Pakatan Rakyat perlu memberikan perhatian serius terhadap suara kecil ini dan tidak melihatnya sebagai keputusan yang terpencil atau isolated case.

Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah khususnya perlu berpegang teguh dan menjunjung kerangka besar agenda perjuangan Pakatan Rakyat. Pembentukan Pakatan Rakyat adalah diasaskan kepada prinsip dan isu bersama yang antara lainnya termasuk demokrasi, hak asasi manusia, good governance, ketelusan dan pertanggungjawaban, kebebasan sistem kehakiman dan usaha memerangi rasuah.

Apabila kepimpinan memahami dan menghormati prinsip bersama ini maka tidak timbul watak-watak yang cuba menjadi jaguh dalam mempertahankan ideologi dan kepentingan serta agenda peribadi. Keyakinan rakyat akan terhakis apabila melihat pimpinan bercakaran di dada-dada akhbar. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah berulang kali memberikan peringatan kepada pimpinan untuk tidak ‘washing the linen in public’. Media yang dikuasai oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah musuh kita. Mereka mengupah ramai ‘spin doctors’ untuk memutar belitkan kenyataan Pakatan Rakyat dan membohongi rakyat. Mengapa segelintir pimpinan Pakatan Rakyat sukar memahami perkara yang semudah ini ?

Penyelesaian yang terbaik ialah melalui semangat muafakat dan ‘consultation’ dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat. Struktur organisasi Pakatan Rakyat juga perlu dimantapkan bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi sehingga peringkat Daerah dan Cawangan.
Dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam isu-isu penting seperti ekonomi, pendidikan, agama, budaya, keselamatan dan hubungan antarabangsa juga perlu diperjelaskan kepada rakyat melalui majlis-majlis penerangan dan edaran risalah yang menarik dan berfakta.

Pakatan Rakyat dibentuk bukan untuk memperbetulkan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata tetapi Pakatan Rakyat perlu menjana perubahan total dan mengangkat agenda reformasi dalam sistem kenegaraan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Justeru itu, Pakatan Rakyat perlu mengukuhkan pentadbiran dan menambahbaik sistem penyampaian di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini perlu menjual produk kejayaan mereka atau ‘success story’ menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Keupayaan Pakatan Rakyat mentadbir dan mengurus ekonomi dan permasalahan rakyat di empat buah negeri ini pastinya akan meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia untuk membawa Pakatan Rakyat di persada Putrajaya. Insya Allah.
Saya masih yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya generasi muda mahu perubahan dan akan mendukung usaha Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia Baru yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

AZMIN ALI

Apa Signifikan Keputusan Bagan Pinang ?

Apa signifikan keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang diumumkan semalam ? UMNO semakin selesa dan perlu kekal dalam ‘form’ yang sedia ada ( jasad dan ruhnya ) sebagai pengamal rasuah yang dominan di Malaysia. UMNO juga tidak perlu sebarang transformasi. Justeru itu, UMNO tidak memerlukan Perhimpunan Agung Khas ( EGM ) untuk meminda perlembagaan bagi membendung gejala dan amalan rasuah yang sudah menjadi barah dalam institusi politik perkauman sempit di Malaysia. Malahan, sebarang usaha untuk melakukan transformasi dalam UMNO adalah usaha yang sia-sia kerana sekurang-kurang pengundi di Bagan Pinang amat selesa dengan UMNO dan pemimpin UMNO yang rasuah. Dunia hari ini mendapat jawapan yang jelas bahawa UMNO menghalalkan rasuah dan rakyat Malaysia ( atau sekurang-kurangnya pengundi-pengundi di Bagan Pinang ) mendewa-dewakan Sang Perasuah.

UMNO perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 dengan menonjolkan barisan calon-calon UMNO di kalangan perasuah kerana itulah cita rasa rakyat Malaysia.

Catatan ringkas di atas bukanlah untuk menghukum rakyat Malaysia secara membuta tuli tetapi itulah persepsi dunia hari ini dan juga rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran. Keputusan Bagan Pinang pastinya akan meletakkan Malaysia di peta dunia di kalangan negara-negara yang rosak nilai dan moral anak bangsanya.
Mengambil lirik lagu rasmi UMNO : “UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia”.

AZMIN ALI

Rumah Terbuka Eidul Fitr Parlimen Gombak & DUN Bukit Antarabanga

[singlepic id=160 w=320 h=240 float=center]

Klik sini untuk galeri gambar.

Tanggal 11 Oktober 2009, jam 2 petang bermulalah Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr Parlimen Gombak & DUN Bukit Antarabanga. Majlis anjuran saya, YB Amirudin Shari ADUN Batu Caves dan YB Saari Sungib ADUN Hulu Kelang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak & ADUN Bukit Antarabangsa. Alhamdulillah, lebih 10 000 tetamu yang hadir dari segenap lapisan masyarakat terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang menunjukkan persepakatan kerajaan PR Selangor. Meskipun majlis berlangsung cuma 3 jam, saya sempat beramah mesra dengan tetamu dan menyampaikan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Saya ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada tetamu yang hadir, penduduk di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, teman teman Facebook dan tidak lupa juga kepada petugas petugas yang bekerja keras untuk menjayakan majlis ini. Diharapkan majlis ini dapat mengeratkan silaturrahim antara kita dan mengukuhkan perpaduan di Selangor.

AZMIN ALI

Keringat tentera diperah untuk kepentingan Sang Perasuah

Perajurit adalah pemegang saham terbesar dalam mempertahankan kedaulatan negara kita. Ketumbukan anggota tentera yang terlatih dan memiliki disiplin yang tinggi telah berjaya menangani dan menghadapi ancaman keselamatan dari luar dan juga di sempadan negara. Pengorbanan mereka cukup besar; senantiasa siap siaga di perbatasan, meninggalkan keluarga tersayang di kampong halaman, mendepani cabaran dan risiko serangan, mengharungi ranjau dan belukar atas nama perjuangan, menyemai bakti untuk anak bangsa dan tanah air kesayangan. Port Dickson menjadi salah satu dari markas penting dalam melahir dan melatih ramai perajurit dan pejuang negara sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi.

Saya juga tidak sunyi dari kehidupan keluarga tentera. Allahyarham ayah saya, Ali Omar atau lebih dikenali sebagai Ali Kupang ( kerana berasal dari Kedah ) berkhidmat selama 21 tahun termasuk dalam British Army dengan memakai nombor tentera 3443. Masih segar diingatan saya nombor tenteranya ! Beliau pernah berkhidmat di Kuala Pilah dan Singapura. Allahyarham bapa saya sering menceritakan kepada anak-anaknya bagaimana pengalaman pahit beliau ketika berdepan dengan serangan komunis dalam hutan belantara. Bapa saudara saya juga adalah pegawai tentera. Mejar Nayan Omar berkhidmat dan menetap lama di Port Dickson. Abang kandung saya, Azman Ali mendapat latihan ketenteraan di Port Dickson dan berkhidmat selama lebih satu dekad dalam perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat Leftenan sebelum mengambil pilihan persaraan awal.

Siapa tidak kenal Leftenan Muda Adnan yang memimpin Rejimen Askar Melayu dan telah mengadai jiwa raga demi mempertahankan tanah air dari pencerobohan tentera Jepun. Sejarah merakamkan pengorbanan besar anggota perajurit Malaysia sejak sebelum merdeka lagi dalam mendepani zaman darurat dan konfrantasi dari Indonesia.

Namun, amat malang dan sedih sekali apabila sumbangan dan pengorbanan anggota perajurit dan para pejuang tanah air sering dipandang sepi oleh UMNO dan Barisan Nasional. Pendapatan anggota tentera dan juga imbuhan untuk mereka tidak setimpal dengan perkhidmatan mereka mempertahankan kedaulatan negara ini. Kebajikan pesara tentera dan juga keluarga mereka tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat. Apabila tamat perkhidmatan khususnya persaraan wajib, sebahagian besar pesara-pesara tentera dan keluarga mereka terpaksa melalui kehidupan yang payah dan getir; ibarat kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu makan. Kos kehidupan yang semakin meningkat akan terus membebankan masa depan keluarga pejuang-pejuang tanah air ini. Pada umur persaraan, keadaan kesihatan juga mungkin terganggu. Namun, anggota tentera dan keluarga mereka tidak mampu untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik kerana kos yang mahal.

Pak Menteri dan Sang Penguasa membuat pegumuman untuk berbelanja besar bagi meningkatkan prestasi ketenteraan melalui pembelian senjata moden dan canggih. Tapi umum sedia maklum. Matlamat yang tersirat adalah untuk memunggah komisyen yang berjumlah ratusan juta ringgit untuk pemimpin bangsawan UMNO dan kroni serta suku sakat mereka. Masalah dan kebajikan warga perajurit masih tidak diselesaikan. Malahan keringat mereka diperah untuk kepentingan segelintar Sang Perasuah.

Pakatan Rakyat ingin menjayakan program untuk anggota tentera dan perajurit serta keluarga mereka melalui peruntukan yang besar untuk program perumahan anggota tentera, peluang pendidikan untuk anak-anak melalui biasiswa dan pinjaman pendidikan serta latihan teknikal dan sokongan selepas persaraan untuk menyediakan anggota tentera dan perajurit menceburi bidang perniagaan. Saya juga ingin mencadangkan pembinaan sebuah hospital khas untuk warga tentera dan keluarga mereka yang bertaraf dunia dan dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi perubatan yang moden termasuk pakar-pakar perubatan dan kemudahan terapi untuk anggota-anggota tentera yang tercedera semasa dalam perkhidmatan. Kos perubatan perlulah minima sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

Pengumuman Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat tidak lebih dari satu lagi projek Barisan Nasional untuk memperhangatkan kempen pilihan raya di Bagan Pinang. Penggunaan undi pos adalah perbuatan diskriminasi berterusan terhadap para perajurit kita. Usaha terancang untuk memanipulasi undi pos masih berleluasa di kem-kem tentera. Maruah perajurit kita terus tercalar ekoran kerakusan UMNO untuk berkuasa. Benarlah hujah seorang pegawai tertinggi SPR kepada saya beberapa tahun lalu apabila diajukan soalan penghapusan undi pos. Jawabnya ringkas, “Najib tidak mahu undi pos dihapuskan kerana undi pos menjamin survival kuasa UMNO” !

Berdasarkan laporan Malaysiakini disini, seorang bekas sarjan yang dikenali sebagai Abu Kassim mengakui pernah memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera yang lain dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Kenyataan ini sudah cukup membuktikan bahawa UMNO tidak menghormati kemuliaan dan kebijaksanaan pengundi-pengundi di kalangan anggota tentera dan warga perajurit. Malahan UMNO terus memperbodohkan pengundi-pengundi di Bagan Pinang dengan menonjolkan Isa Samad sebagai calon terbaik Barisan Nasional. Tindakan ini amat memalukan negara kita dan kewibawaan pengundi-pengundi kita khususnya pegawai-pegawai dan anggota tentera dan pengundi-pengundi muda. Parti dan pemimpin yang terpalit dengan rasuah sudah lama ditolak di negara-negara maju seperti Jepun, Korea, India, Eropah dan Amerika Syarikat. Yang terbaru kita saksikan bagaimana parti LDP yang berkuasa selama lebih 50 tahun di Jepun telah dihumban oleh rakyat Jepun.

Saya menyeru kepada semua pengundi di Bagan Pinang khususnya pengundi-pengundi pos dan pengundi-pengundi muda dan juga ahli-ahli UMNO biasa untuk bersama-sama muafakat membawa perubahan pada 11 Oktober 2009 ini di Bagan Pinang. Dunia sedang menyaksikan keupayaan pengundi-pengundi di Bagan Pinang untuk menjana kekuatan baru dengan menolak parti dan calon yang rasuah demi masa depan yang lebih sejahtera untuk Malaysia. Pakatan Rakyat adalah parti masa depan.

AZMIN ALI

PR Tidak Halang Khir Toyo Fail Pembatalan Kes

Sumber TV Antara

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali tidak menghalang bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo memfailkan pembatalan perintah pergantungan yang dikeluarkan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor terhadap pimpinan pembangkang Selangor.

Beliau berkata Khir Toyo layak membuat sebarang semakan di mahkamah.

“Ya itu adalah hak Khir Toyo dan rakan-rakannya untuk penyemakan di mahkamah dan kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi.

Azmin berkata beliau hanya mengharapkan keadilan dan ketelusan undang- undang dalam meleraikan kekusutan yang dicetuskan oleh ketua pembangkang itu sendiri.

“Dia tahu pembentukan Selcat telahpun diluluskan oleh DUN dan dalam perbahasan ketika meluluskan peruntukan tersebut, ianya juga turut disertai oleh ahli-ahli DUN daripada BN. Jadi saya tidak nampak kebijaksanaan Khir Toyo dan rakan-rakannya untuk mencabar Selcat,” katanya.

Khir Toyo sebelum ini digantung dari menghadiri sidang dun selama18 bulan kerana enggan menghadiri siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Turut sama digantung ialah Datuk Warno Dogol, Mohd. Aris Abu Bakar, Mohd Isa Abu Kassim dan Datuk Marsum Paing. Kesemua mereka merupakan ADUN Barisan Nasional. Mereka hilang keistimewaan sebagai ADUN sepanjang tempoh pergantungan berlangsung.

PEJABAT YB AZMIN ALI