AZMIN ALI

LATEST

Day: October 12, 2009

Respon kepada artikel “Apa signifikan keputusan Bagan Pinang”

Saya membaca dengan tekun komen-komen pengunjung blog saya dan juga teman-teman facebook. Sindiran ringkas yang saya lontarkan dalam blog saya bertajuk Apa signifikan keputusan Bagan Pinang telah mengundang maklumbalas dari pembaca. Saya merasa terpanggil untuk memberikan respon.

Pakatan Rakyat perlu ‘go back to the drawing board’ dengan membuat post-mortem dan melakukan muhasabah secara adil dan berlapang dada. Memang benar suara rakyat Bagan Pinang yang kecil dari segi jumlah pengundi tidak semestinya mewakili sentimen rakyat Malaysia tetapi Pakatan Rakyat perlu memberikan perhatian serius terhadap suara kecil ini dan tidak melihatnya sebagai keputusan yang terpencil atau isolated case.

Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah khususnya perlu berpegang teguh dan menjunjung kerangka besar agenda perjuangan Pakatan Rakyat. Pembentukan Pakatan Rakyat adalah diasaskan kepada prinsip dan isu bersama yang antara lainnya termasuk demokrasi, hak asasi manusia, good governance, ketelusan dan pertanggungjawaban, kebebasan sistem kehakiman dan usaha memerangi rasuah.

Apabila kepimpinan memahami dan menghormati prinsip bersama ini maka tidak timbul watak-watak yang cuba menjadi jaguh dalam mempertahankan ideologi dan kepentingan serta agenda peribadi. Keyakinan rakyat akan terhakis apabila melihat pimpinan bercakaran di dada-dada akhbar. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah berulang kali memberikan peringatan kepada pimpinan untuk tidak ‘washing the linen in public’. Media yang dikuasai oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah musuh kita. Mereka mengupah ramai ‘spin doctors’ untuk memutar belitkan kenyataan Pakatan Rakyat dan membohongi rakyat. Mengapa segelintir pimpinan Pakatan Rakyat sukar memahami perkara yang semudah ini ?

Penyelesaian yang terbaik ialah melalui semangat muafakat dan ‘consultation’ dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat. Struktur organisasi Pakatan Rakyat juga perlu dimantapkan bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi sehingga peringkat Daerah dan Cawangan.
Dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam isu-isu penting seperti ekonomi, pendidikan, agama, budaya, keselamatan dan hubungan antarabangsa juga perlu diperjelaskan kepada rakyat melalui majlis-majlis penerangan dan edaran risalah yang menarik dan berfakta.

Pakatan Rakyat dibentuk bukan untuk memperbetulkan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata tetapi Pakatan Rakyat perlu menjana perubahan total dan mengangkat agenda reformasi dalam sistem kenegaraan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Justeru itu, Pakatan Rakyat perlu mengukuhkan pentadbiran dan menambahbaik sistem penyampaian di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini perlu menjual produk kejayaan mereka atau ‘success story’ menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Keupayaan Pakatan Rakyat mentadbir dan mengurus ekonomi dan permasalahan rakyat di empat buah negeri ini pastinya akan meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia untuk membawa Pakatan Rakyat di persada Putrajaya. Insya Allah.
Saya masih yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya generasi muda mahu perubahan dan akan mendukung usaha Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia Baru yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

AZMIN ALI

Apa Signifikan Keputusan Bagan Pinang ?

Apa signifikan keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang diumumkan semalam ? UMNO semakin selesa dan perlu kekal dalam ‘form’ yang sedia ada ( jasad dan ruhnya ) sebagai pengamal rasuah yang dominan di Malaysia. UMNO juga tidak perlu sebarang transformasi. Justeru itu, UMNO tidak memerlukan Perhimpunan Agung Khas ( EGM ) untuk meminda perlembagaan bagi membendung gejala dan amalan rasuah yang sudah menjadi barah dalam institusi politik perkauman sempit di Malaysia. Malahan, sebarang usaha untuk melakukan transformasi dalam UMNO adalah usaha yang sia-sia kerana sekurang-kurang pengundi di Bagan Pinang amat selesa dengan UMNO dan pemimpin UMNO yang rasuah. Dunia hari ini mendapat jawapan yang jelas bahawa UMNO menghalalkan rasuah dan rakyat Malaysia ( atau sekurang-kurangnya pengundi-pengundi di Bagan Pinang ) mendewa-dewakan Sang Perasuah.

UMNO perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 dengan menonjolkan barisan calon-calon UMNO di kalangan perasuah kerana itulah cita rasa rakyat Malaysia.

Catatan ringkas di atas bukanlah untuk menghukum rakyat Malaysia secara membuta tuli tetapi itulah persepsi dunia hari ini dan juga rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran. Keputusan Bagan Pinang pastinya akan meletakkan Malaysia di peta dunia di kalangan negara-negara yang rosak nilai dan moral anak bangsanya.
Mengambil lirik lagu rasmi UMNO : “UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia”.

AZMIN ALI