AZMIN ALI

LATEST

Month: November 2009

Tetamu Allah

Tatkala kami diserang dengan fitnah dan tohmahan, kami dipilih dan diundang oleh Allah SWT untuk menjadi tetamuNya pada tahun ini. Saya dan isteri, Shida bersyukur. Kami sambut seruanNya sebagai tanda kasih kami kepada Allah SWT dan segala kebesaranNya dan juga cinta kami kepada Baginda Rasulullah saw.

Perjalanan dengan Saudi Airlines mengambil masa lebih 8 jam. Kami tiba di Jeddah jam 9 malam, lewat hampir 2 jam dari jadual. Kerenah birokrasi dan budaya kerja masyarakat Arab dan ditambah pula dengan ketibaan jutaan umat Islam, memaksa kami menunggu lebih 7 jam untuk urusan paspot dan bagasi. Saat ini Allah SWT menguji kesabaran kita. Alhamdulillah, tiba di Mekah waktu Subuh dan terus kami memulakan tawaf, sa’ie dan tahalul. Maka selesailah pantang yang terikat dengan niat ihram.

Mekah sesak. Tawaf ketat dengan umat Islam dari seantero dunia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak kurang juga jamaah Malaysia yang menyapa dan memberi salam kepada saya. Teringat saya pesanan Ustaz bahawa tawaf adalah gerakan kepatuhan hamba kepada Allah SWT. Pelbagai watak dan ragam manusia. Semuanya menuntut kesabaran dan kebijaksanaan.

Hari ini hari ketiga kami di Mekah. Menanti hari Wuquf pada 9 Zulhijjah. Baginda Rasulullah akan mabit di Mina terlebih dahulu pada 8 Zulhijjah sebelum masuk ke Arafah. Namun, kami akan dibawa masuk terus ke Arafah pada 8 Zulhijjah kerana jalan ke Arafah akan ditutup pada 9 Zulhijjah untuk mengelak kesesakan yang luar biasa tahun ini.

Untuk mendapat tempat solat yang sedikit selesa dalam Haram, kami perlu masuk sekurang kurangnya 3 jam sebelum Azan. Kami pilih untuk Tawaf Sunat Tahiyatul Masjid setiap hari jam 3 pagi sebelum masuk waktu Subuh jam 5.30 pagi. Kami tenang dan syukur berada di Mekah. Hanya tumpu ibadat dan bermunajat kepada Allah SWT. Semoga dipermudahkan urusan kami untuk menyempurnakan ibadat Fardhu Haji dengan ilmu dan kesihatan yang baik. Saya turut memohon pertolongan Allah SWT untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT mempermudahkan perjuangan kita untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan kebenaran di bumi Malaysia.
Teringat anak-anak dan keluarga di Malaysia. Anak lelaki kami, Shazrin sedang menghadapi SPM. Semoga berjaya dengan cemerlang.

Saya hargai kiriman pesanan sms dari teman-teman di Malaysia yang mendoakan keselamatan dan juga kesejahteraan untuk kami. Marilah kita menjalin ukhuwwah di kalangan umat Islam dan perpaduan rakyat Malaysia demi negara Malaysia yang tercinta.

AZMIN ALI

Fitnah Barisan Nasional Semakin Kencang

KENYATAAN MEDIA

Kenyataan bekas ketua pemuda MIC, Vigneswaran yang mendakwa saya dan isteri memiliki saham bernilai RM 8.5 juta dari tahun 1992 sehingga tahun 1994 adalah tidak berasas sama sekali. Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vigneswaran tetapi saya percaya dokumen itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan dengan saya dan isteri saya. Semenjak tahun 1998, saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya. Malahan, alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 September 1998 sehingga 22 September 1998. Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami.

Saya merasa kesal kerana apa yang berlaku hari ini menunjukkan Barisan Nasional tidak akan berhenti dari melancarkan serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman saya dan keluarga. Saya melihat tindakan jijik yang terancang ini adalah untuk mengaibkan dan mencemarkan nama saya dan isteri. Kenyataan berunsurkan fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku Ahli Parlimen Gombak serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vigneswaran. Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk bertindak segera prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan dan melaporkan kenyataan fitnah tersebut.

AZMIN ALI

Ucapan Bajet 2010 Selangor

Saya tampil untuk mengambil tanggungjawab membahaskan Bajet 2010 Negeri Selangor.

Berhati keras berlembut lidah
Jangankan pula bertingkah punah
Kata disusun mendapat faedah
Berbahas pula petua amanah.

Perbahasan saya tidak lengkap malahan tidak adil sekiranya saya tidak bermula dengan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang baru dibentangkan di Parlimen dalam Sesi Bajet 2010.
Tahniah kepada kepimpinan YAB Dato’ Menteri Besar dan tahniah juga kepada barisan EXCO. Nampaknya setakat ini saya tidak akan mencadangkan untuk merombak barisan EXCO. Read More

Perbahasan Belanjawan 2010 Ahli Parlimen Gombak

Pendahuluan
Bajet 2010 masih bergelut dengan defisit yang ditanggung oleh Kerajaan lebih satu dekad yang lalu. Bajet ini menjurus ke arah memelihara segelintir orang kaya dan meminggirkan rakyat terbanyak. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat amat lemah dalam pengurusan ekonomi.
Walaupun ada sedikit imbuhan untuk rakyat, namun rakyat terbanyak terus melihat khazanah negara dipunggah oleh pimpinan UMNO. Orang kaya mendapat layanan kelas pertama manakala rakyat dan penjawat awam menggigit jari.
Laporan Ketua Audit Negara yang memaparkan kelemahan pengurusan kewangan kebanyakan Kementerian telah dikecam dan disanggah dengan cemuhan oleh pimpinan UMNO terhadap Ketua Audit Negara. Pegawai – pegawai kerajaan dipersalahkan untuk menutup amalan rasuah dan salah guna kuasa pimpinan UMNO. Saya menyeru kepada Ketua Audit Negara dan pegawai-pegawai kerajaan untuk meneruskan khidmat yang cemerlang. Jangan tunduk kepada ugutan dan tekanan dari pimpinan UMNO.
Saya mengakui ada penguncupan belanja mengurus ( operating expenditures ) sebanyak 10.3% berbanding 2009 manakala perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak 5.3%. Tetapi yang menjadi persoalan apakah dapat dilaksanakan jika diambil kira teguran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara. Read More