AZMIN ALI

LATEST

Day: December 12, 2010

Khabar dari Sarawak

12 Dis (Bintulu) – ‎​Bersama Baru Bian, Paul Raja, Granda, Abang Zul, Nicholas Bawin di Majlis Makan Malam Menjunjung Reformasi Membela Rakyat di Bintulu anjuran KEADILAN Sarawak.

YB Chew Ching Sing, wakil DAP dan Saudara Simonkilah, wakil PAS turut menjayakan majlis KEADILAN di Bintulu.

Fitnah Jelek SB Malaysia dan Agensi Perisikan Singapura

12 Dis – Pendedahan WikiLeaks yang dipetik oleh akhbar Australia, Sydney Morning Herald membuktikan bahawa fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim merupakan usaha jahat sesetengah pihak untuk menjatuhkan kredibiliti serta karier politik Anwar.

Menurut laporan tersebut, pimpinan tertinggi Singapura dan agensi perisikan negara itu dengan sengaja mengiyakan dan memanjangkan fitnah ke atas Anwar kepada agensi perisikan Australia, Office of National Assessment (ONA).

Dalam kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN, YB Saifuddin Nasution telah membangkitkan bahawa pandangan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura telah disensasikan. Antara lainnya, pegawai diplomatik Singapura Bilahari Kausikan menyebut bahawa “Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelak didakwa” secara jelas mengaitkan skandal pembunuhan perempuan Mongolia Altantuya Shariibu. Pendapat tersebut diulangi, “Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu”. Pandangan tersebut ditambah oleh seorang lagi pegawai diplomatik Singapura, Peter Ho yang menyatakan bahawa, “Najib adalah seorang yang suka mengambil kesempatan. Walaupun setakat ini dia masih belum mengkritik Singapura, dia tidak akan teragak-agak sekiranya itu menguntungkannya. Masa depan politik Najibb akan terus dihantui oleh skandal pembunuhan (Altantuya)”.

Saya tidak menolak kemungkinan sumber dhaif dan palsu yang dirujuk oleh agensi perisikan Singapura bersandarkan maklumat daripada Cawangan Khas Polis Malaysia berikutan UMNO yang terdesak melakukan apa sahaja untuk menghalang kebangkitan rakyat.

Namun begitu, petikan laporan tersebut menunjukkan bahawa Office of National Assessment Australia (ONA) yakin bahawa tuduhan terhadap Anwar merupakan satu perangkap sekaligus menolak kenyataan jahat pimpinan tertinggi serta agensi perisikan Singapura.

Pandangan ini adalah hasil daripada pantauan secara dekat oleh peguam senior Australia, Mark Terence Trowell QC serta kenyataan Senator Nick Xenophon, Ahli Parlimen Bebas Australia Selatan yang mewakili 61 Senator Australia mempertikai prosedur perbicaraan kes fitnah terhadap Anwar yang jelas melanggar prinsip-prinsip asas keadilan.

Kita sedar bahawa agensi perisikan Singapura dan Cawangan Khas Polis Malaysia sudah bekerjasama dalam soal keselamatan sekian lama. Baru sekarang UMNO terdesak untuk menyogok perisikan Singapura dengan maklumat palsu dan fitnah.

Kenyataan peribadi Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew membayangkan bahawa beliau tidak dapat menerima kepimpinan Anwar Ibrahim dan tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

‘Reform policies’ yang menjadi asas kepimpinan Anwar dan pentadbiran Pakatan akan menyebabkan Malaysia dapat bersaing dengan Singapura dan ianya akan menjadikan Singapura tidak relevan di rantau ini dari segi ekonomi dan demokrasi. Mereka lebih rela pimpinan UMNO-BN memerintah negara kerana pimpinan korup ini dengan mudah melutut kepada segala tuntutan Singapura.

Fitnah tidak akan bertukar menjadi kebenaran walau diulang hatta dalam media cetak atau elektronik.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat yakin dengan kematangan rakyat untuk mempertimbangkan perkara yang benar dan yang bathil.

MOHAMED AZMIN ALI
12 Disember 2010