AZMIN ALI

LATEST

Day: January 28, 2011

PEMBEKUAN/PENGHAPUSAN TOL BUKTI BUKU JINGGA BOLEH DILAKSANAKAN

Pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kenaikan tol bagi Lebuhraya Karak dan Lebuhraya dibekukan serta pembatalan tol di persimpangan Salak dan Taman Connaught bermula Mei ini; adalah pengakuan dan penerimaan Barisan Nasional bahawa janji-janji di dalam Buku Jingga boleh dilaksanakan.

Hakikat bahawa tindakan ini hanya diambil sekarang, selepas janji Buku Jingga untuk menghapuskan tol, adalah bukti Pakatan Rakyatlah yang kini memimpin perubahan dalam negara ini melalui idea-idea dasarnya yang pro-rakyat dan kini menjadi asas perbincangan utama ke arah perubahan.

Sementara saya mengalu-alukan keputusan itu, Perdana Menteri juga perlu berterus terang dan mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan memberi pampasan kepada syarikat konsesi tersebut – sama ada pampasan tunai secara langsung mahupun pampasan tidak langsung dalam bentuk anugerah aset atau kontrak secara terus. Sewajarnya keputusan besar yang akan mendatangkan kesan kewangan kepada perbelanjaan negara seperti ini dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu, bukannya diputuskan mengikut kemahuan Perdana Menteri.

Penerimaan Perdana Menteri hari ini bahawa janji Buku Jingga adalah praktikal dan ada kelebihan ekonomi adalah salah satu sebab kenapa beliau enggan berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pun begitu, demi rakyat saya menyeru Kerajaan Persekutuan untuk terus melaksanakan janji Buku Jingga terutamanya menghapuskan ISA, kerana ini boleh dilakukan dengan mudah.

Parti Keadilan Rakyat akan terus memantau tindakan Kerajaan Persekutuan dan menyokong tindakan mana-mana pihak yang didasarkan pada

Buku Jingga kerana ia akan menguntungkan rakyat.

MOHAMED AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN
28 JANUARI 2011