AZMIN ALI

LATEST

Day: July 1, 2011

Pakatan gesa Wan Ahmad tarik balik kenyataan atau letak jawatan SPR

Dari: The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Pakatan Rakyat mahu Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menarik balik kenyataan atau meletakkan jawatan sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran dakwaannya bahawa Himpunan Bersih 2.0 diperalatkan oleh mereka bagi membolehkan perikatan itu menawan Putrajaya.

Sehubungan itu menurut Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad semalam secara tidak langsung menunjukkan “kesetiaan” SPR kepada Umno.

Tegas beliau, Wan Ahmad sepatutnya meletakkan jawatan kerana dakwaan beliau telah menjejaskan kredibiliti SPR.

“Sehubungan dengan itu, PKR dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR.

“Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik Umno dan menyertai pilihan raya umum ke-13,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Wan Ahmad pada forum Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR? mendakwa Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai.

“Saya rasa Datuk Ambiga dah terikat benar, dia dah tak boleh tarik diri lagi, dia dah diperalatkan.

“Bersih sekarang bukan Bersih yang saya kenal dulu. Bersih sekarang sudah berubah, dah jadi begitu kusut, saya rasa dah tak bersih lagi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, Bersih perlu fokus dalam perjuangan mereka sama ada mahu membantu menambah baik sistem demokrasi di negara ini atau menjadi alat kepada pihak lain menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ujarnya, dalam suasana sekarang, pihak pembangkang sentiasa mencari peluang untuk mempengaruhi rakyat termasuk mengambil contoh kebangkitan rakyat di Mesir, Yemen dan Syria menumbangkan kerajaan sedia ada walaupun perbandingan itu jelas tidak betul.

“Bagi SPR, apa yang berlaku di negara ini termasuk perhimpunan Bersih 2, semuanya adalah agenda politik.

“Pada tahun 2007, Bersih (yang pertama) telah diadakan. Seramai 50,000 orang keluar ke jalan raya menyokong perhimpunan itu. Mereka putar belitkan isu. Hasilnya mereka menang 82 kerusi dan berjaya takluk lima negeri pada pilihan raya yang diadakan pada tahun berikutnya,” katanya lagi.

Wan Ahmad berkata, hakikatnya perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini menjadi landasan kepada parti-parti pembangkang untuk menunjukkan usaha mereka menawan Putrajaya.

Dalam kenyataannya, Azmin juga berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad selaku pegawai kerajaan dalam SPR adalah tidak bertanggungjawab.

Selain itu, tambah Ahli Parlimen Gombak ini, ia juga menunjukkan watak sebenar Wan Ahmad sebagai alat kepada pemimpin Umno dan sistem pilihan raya yang rosak.

“Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

“Ketaatan membuta tuli beliau kepada Umno jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada kerajaan sedia ada dengan taat kepada parti,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan Wan Ahmad agar memahami peranan SPR yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

“Wan Ahmad juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih,” katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu tidak selari dengan kehendak sebagai seorang pegawai dalam SPR.

Selain itu, tegas Lim, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu juga menunjukkan warna sebenar SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas, adil dan berintegriti seperti mana yang termaktub dalan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika SPR benar-benar bebas maka panel SPR perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk meminta Wan Ahmad meletakkan jawatan.

“Apa yang dikatakan Wan Ahmad mengesahkan persepsi rakyat bahawa SPR adalah alat kepad Barisan Nasional (BN),” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Ambiga sebelum ini turut menegaskan Himpunan Bersih 2.0 adalah gerakan NGO bukan parti politik.

Beliau juga berkata Bersih akan mengetuai perhimpunan aman itu dan bukan pemimpin Pakatan Rakyat.

Kenyataan Media berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA
30 JUN 2011
Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com bertarikh 30 Jun 2011 bertajuk “SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut“.

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), Dato’ Ambiga Sreevenasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan UMNO dan sistem yang rosak. Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Adalah malang apabila Wan Ahmad gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali. Ketaatan membuta-tuli beliau kepada UMNO jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada ‘government of the day’ dengan taat kepada ‘governing party’.

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional? Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil!

Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011. Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab ini dan meletakkan jawatan serta merta. Beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH.

Lapan (8) tuntutan BERSIH iaitu (i) pembersihan senarai pengundi; (ii) reformasi undi pos; (iii) penggunaan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minima 21 hari; (v) memperkukuh institusi awam; (vi) menghentikan rasuah pilihan raya dan; (viii) menghentikan politik kotor; adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil. SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR. Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13!

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden KEADILAN
www.azminali.com/blog