AZMIN ALI

LATEST

Month: September 2011

Isu Hudud: Penjelasan Lengkap Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

24hb September 2011

Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato’ Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.”

Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Shorter version in English of the statement above hereby attached. Read More

Politik Malaysia Pasca ISA

Oleh Azmin Ali

Ahli-ahli panel yang bijaksana, saudara-saudari sekalian yang dihormati.

Saya merasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam wacana yang penting ini dalam usaha kita untuk membina Malaysia yang baru berpaksikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan.

Tahniah kepada saudara Khalid Jaafar dan IKD yang telah memulakan inisiatif ini untuk push the boundary of the discussion. Saya yakin wacana yang berterusan akan mewujudkan kesedaran awam bahawa ISA dan undang-undang draconian yang lain seperti Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan sahaja tidak relevan tetapi adalah ejen pembunuh demokrasi dalam negara.

Tema wacana ini amat menarik tetapi situasi hari ini belum lagi menepati tema berkenaan. Walaupun, Perdana Menteri Najib telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ISA, namun rakyat hari ini mencabar kredibiliti beliau dan pentadbiran BN di Putrajaya; apakah ada political will untuk melaksanakan reformasi politik atau hanya sekadar istilah muluk-muluk sebagai halwa telinga tanpa pengisian dalam konteks perlaksanaan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Pengumuman Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Malaysia disusuli dengan suatu gerakan propaganda melampau untuk mewujudkan euphoria supaya rakyat berterima kasih kepada Dato’ Sri Najib dan Umno. Namun kita harus sedar bahawa kebebasan adalah milik mutlak rakyat yang merdeka dan bukan pemberian oleh pemerintah.
Kita tidak berterima kasih kepada Inggeris kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun hari ini ada teori baru yang mendakwa Malaysia tidak pernah dijajah. Apakah penjajah Inggeris akan memberikan kemerdekaan jikalau rakyat tidak menuntutnya, memperjuangkannya hatta dengan mengangkat senjata?

Rakyat India tidak berterima kasih apa lagi memberikan tahniah kepada Lord Mounbatten. Wira kemerdekaan mereka seperti Gandhi, Jawarharlal Nehru, Maulana Abdul Kalam Azad, telah mencetuskan kesedaran dan menggembleng kekuatan rakyat untuk menentang dan membebaskan India daripada penjajahan British.

Dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia, atas prinsip yang sama, kita tidak berterima kasih kepada British kerana menurunkan Union Jack pada 31 Ogos 1957. Terima kasih dan rasa hormat kita adalah kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan rakyat pelbagai kaum dari pelbagai faham politik, cara perundingan termasuk kaedah radikal. Semua pihak ini mempunyai peranan masing-masing dan sumbangan mereka tidak boleh dipadamkan dari sejarah. Kita juga harus mengiktiraf tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Bashir – Gunung Semanggol, Tun Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan termasuk juga Mat Indera. Read More

Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

28 September 2011

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
YB TUAN LIM KIT SIANG
YB DATO SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG

Kenyataan Media: Terus Mara Memastikan Perubahan Terlaksana

16 September 2011

Saya mengucapkan tahniah kepada semua pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno-Bn akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan yang mereka perjuangkan selama berdekad-dekad. Ribuan pejuang ini dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai oleh Umno-BN sejak merdeka lagi.

Tanpa kegigihan perjuangan mereka yang sentiasa memberikan tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak, pastinya YAB Perdana Menteri tidak akan membuat kenyataan semalam untuk menamatkan darurat dan menyarankan untuk memansuhkan ISA. Semangat perjuangan rakyat telah menjadi sebahagian dari darah daging perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan ini dengan memasukkannya ke dalam Buku Jingga.

Justeru itu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri bukanlah suatu kurnia kepada rakyat sempena Hari Malaysia, sebaliknya ia adalah hasil dari perjuangan getir. Maka tahniah yang sebenar adalah untuk para pejuang kebebasan dan hak asasi baik dari parti-parti politik mahupun dari NGO. Sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan.

Namun kita mengalu-alukan langkah yang diambil Perdana Menteri yang tentunya membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik.

Oleh kerana itu sejajar dengan pengumuman Datuk Seri Najib semalam yang berhasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menamatkan perintah darurat, kita menuntut agar:

1) Segera membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.
2) Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.
3) Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan siksaan terhadap para tahanan.

Kita juga perihatin dengan pengumuman Datuk Seri Najib untuk menggubal dua akta baru yang dipayungi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta itu menurut Perdana Menteri bakal digunakan untuk memerangi keganasan dan aliran subversif. Kita berpandangan adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk duduk semeja bersama-sama mendapatkan maklum balas dari segenap lapisan masyarakat sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen kelak. Oleh itu kita menyeru agar diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan bagi mengkaji serta bersama-sama menggarap dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak.

Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan
sesiapa sahaja dan membolehkan Menteri itu menyalahguna kuasa demi kepentingannya semata-mata. Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan Tahanan Tanpa Bicara.

Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat dapat membedakan antara slogan dengan hakikat dan rakyat akan meneruskan perjuangan mereka sehingga segala hak dan kebebasan mereka dikembalikan sepenuhnya termasuk hak mereka untuk berhimpun secara aman untuk menjayakan demokrasi tulen.

Rakyat tidak menerima perubahan yang bersifat tempelan. Selagi pemerintahan Umno-BN tidak menerima perhimpunan Bersih 2.0 sebagai hak dan kebebasan rakyat, rakyat akan beranggapan bahawa tuntutan mereka belum dipenuhi. Demokrasi yang berwibawa dan sistem piliharaya yang adil dan bebas adalah sebahagian dari hak asasi dan kebebasan rakyat.

Parti Keadilan Rakyat juga mahu menegaskan bahawa kita tidak akan menerima kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib sebagai bermakna selagi lidah rasmi Keadilan iaitu Suara Keadilan dihalang penerbitan dan pengedarannya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Rakyat akan menerima sekiranya pembaharuan yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas, berdasarkan penkhayatan kepada nilai-nilai murni demokrasi dan karamah insaniah dan tidak sebagai gimik politik.

Sekiranya Datuk Seri Najib benar-benar menerima nilai-nilai ini beliau sebagai wakil kerajaan harus membuat kenyataan terbuka bahawa kerajaan sebelum ini telah melakukan pelbagai kezaliman di bawah undang-undang kuku besi ISA dan undang-undang drakonian lainnya. Pengakuan ini harus diikuti dengan permohohan maaf kepada mereka yang dizalimi dan kepada mereka yang sudah meninggal, permohonan maaf tersebut disampaikan kepada keluarga mereka.

Perlaksanaan kepada janji Perdana Menteri juga bergantung kepada kebebasan dan integriti institusi kehakiman. Selagi institusi kehakiman tidak bebas dari cengkaman politik dan tidak memiliki integriti, institusi tersebut boleh dijadikan alat kepada kezaliman baru dan melakukan “political persecution.” Bahkan ini yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Jenteru itu sementara saya mengajak mengalu-alukan kenyataan positif yang dibuat oleh Perdana Menteri saya juga menyeru rakyat terus istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan.

MOHAMED AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

Jelajah Demi Rakyat Sempena Eidul Fitr bersama YB Timbalan Presiden

11 Sept 2011 (Ahad)
10.30 pagi di Cabang Wangsa Maju.
2.00 petang di Majlis Hari Terbuka PAS Pusat Sempena Eidul Fitr di Taman Melewar.
3.30 petang di Cabang Tanjong Malim, Perak.
5.30 petang di Cabang Pasir Salak, Perak.

16 Sept 2011 (Jumaat)
10 malam di Cabang Seremban.

17 Sept 2011 (Sabtu)
10 pagi di Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr Parlimen Gombak dan DUN Batu Caves di Taman Amaniah Mulia, Batu Caves.
2.30 petang di Bagan Pinang, Parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
4.00 petang di DUN Ampangan, Seremban.
5.30 petang di Taman Sema, Cabang Kuala Pilah.
8 malam di FELDA Palong, Cabang Jempol.

18 Sept 2011 (Ahad)
10 pagi di DUN Chempaka, Parlimen Pandan.
12 tengahari di DUN Seri Andalas, Parlimen Kota Raja.
2 petang di DUN Batu Tiga, Parlimen Shah Alam.
3 petang di DUN Selat Kelang.
5.30 petang di Cabang Bera, Pahang.
8 malam di Cabang Raub, Pahang.

22 Sept 2011 (Khamis)
8 malam di Parlimen Kuala Terengganu.

24 Sept 2011 (Sabtu)
9 pagi di Cabang Sungai Besar, Selangor.
11.30 pagi di DUN Kota Damansara.

25 Sept 2011 (Ahad)
12 tengahari di Majlis Rumah Terbuka KEADILAN Pusat di Merchant Square, Tropicana.

Anda semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi sambutan Eidul Fitr bersama YB Timbalan Presiden

Mat Indera

Orang Melayu-Islam bingkas menolak idea pengagihan ekonomi dan sistem pengurusan yang dikemukakan Karl Marx, Webber dan Engel kerana mereka dicap komunis dan sosialis. Tetapi konsep dan idea yang sama dijulang dan diraikan apabila ia keluar dari pemikiran Abu Dzar, dan Abdul Rahman Auf.

Kenapa begitu? Menurut pemikir Islam, Sheikh Taha Jabir Alwani,  ini semua persepsi yang dibina atas emosi dan prejudis. Sentimen diutamakan dan kebenaran dipinggirkan.

Tidakkah ini sama dengan isu Mat Indera yang cuba ditonjolkan oleh Mat Sabu. Beliau mahu penilaian adil diberikan kepada Mat Indera dan pejuang kemerdekaan lain. Berbanding kebanyakan pemimpin Umno-BN yang dijulang, Mat Indera adalah seorang muslim yang kuat beribadah, seorang hafiz dan amat cintakan kemerdekaan Negara dan bangsanya. Cukuplah. Jangan bohongi sejarah. Sudah tiba masanya kita keluar dari kelambu penipuan media dan cendekiawan sempit Umno-BN.

AZMIN ALI