AZMIN ALI

LATEST

Day: October 8, 2011

Malaysia & Sejarah Yang Belum Selesai

Oleh Mohamed Azmin Ali

 

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

 

Wacana malam ini amat bertepatan dengan masa di mana polemik yang mendepani rakyat Malaysia hari ini berupaya untuk mencelarukan pemikiran rakyat setelah 54 tahun negara Malaysia merdeka. Persoalan pokok ialah apa signifikan sejarah ? Perdebatan juga sedang hangat membicarakan apakah ada keperluan untuk menulis semula sejarah atau sekadar memberi tafsiran baru kepada sejarah pembentukan negara Malaysia ?

 

Sejarah bukan sekadar catatan rentetan peristiwa masa lalu. Saya telah menggamit perhatian YAB Menteri Pelajaran dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 yang lalu dengan mencadangkan sejarah juga harus dilihat dalam konteks falsafahnya atau ‘underlying ideas’  dan cabaran ahli-ahli sejarah masa kini adalah untuk memaknai prinsip dan falsafah sejarah dalam usaha untuk merangka masa depan negara dan bangsa yang bertamadun. YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Perdana Menteri menyambut saranan dengan bersetuju bahawa rakyat perlu memahami sejarah dalam konteks falsafah dan latar belakang negara Malaysia.

 

Sebagai contoh, mengapa pembunuhan J W W Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak itu penting dan merupakan satu fakta sejarah? Pembunuhan itu mempunyai nilai sejarah kerana ia adalah manifestasi penentangan terbuka rakyat terhadap Perjanjian Pangkor. Peristiwa itu merupakan titik mula penjajahan British di Tanah Melayu. Penjajahan tetap penjajahan, meskipun ianya dilakukan melalui perjanjian.

 

Amat malang sekali, polemik sejarah hari ini mengheret aliran fahaman politik sempit dalam perdebatan. Mutakhir  ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenyataan pimpinan Majlis Profesor Negara yang mendakwa Persekutuan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Sekali lagi saya menuntut penjelasan di Dewan Rakyat dalam sesi yang sama berhubung perkara ini dan YAB Menteri Pelajaran telah menyanggah kenyataan pimpinan Majlis Profesor Negara dan mengambil pendirian bersetuju bahawa negara ini pernah dijajah. Pertembungan pendapat di antara Tan Sri Muhyiddin dan Majlis Profesor Negara menguatkan lagi hujah bahawa ada keperluan untuk menulis semula sejarah yang mendasari falsafah dan fakta yang adil.

 

Sesebuah negara itu dijajah apabila ia hilang kedaulatan. Apa jua istilah yang digunakan – ‘indirect rule’, ‘naungan’ Perjanjian Pangkor membuka jalan yang akhirnya menyebabkan negeri-negeri Melayu satu demi satu kehilangan kedaulatan. Hujah Zainal Kling bahawa “kita tidak pernah dijajah tetapi kita hanya dinaungi” adalah cetek dan dangkal.  Lord Lugard dalam kajiannya tentang ‘Direct and Indirect Rule in Nigeria’ pernah mengupas isu ini. Jelas, kajian beliau merumuskan bahawa ‘naungan’ kolonial tetap dianggap sebagai negara jajahan.

 

Kita tidak menafikan begitu banyak penulisan sejarah yang menjurus mengupas perjuangan menuntut kemerdekaan. Akan tetapi, kita gusar setelah berpuluh tahun merdeka, makna sebuah kemerdekaan itu gagal diungkapkan dengan teliti dan jujur. Apa yang dicanangkan, kemerdekaan hanyalah usaha UMNO dan sekutunya semata-mata.

 

Penulisan sejarah di negara kita khususnya penulisan sejarah di sekolah-sekolah adalah bertentangan dengan falsafah sejarah yang bebas. Falsafah sejarah yang kita warisi sekarang adalah falsafah lama berdasarkan hegemoni UMNO. Memandangkan UMNO menguasai politik negara selama lebih 50 tahun, maka buku-buku sejarah ditulis berdasarkan konsep ketuanan Melayu dan hegemoni Melayu demi survival dan kelangsungan kuasa politik UMNO. Winston Churchill pernah berkata: “History is written by the victors”. Namun apa yang diungkapkan oleh Churchill bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan dan kebebasan.

 

Lord Acton, seorang ahli sejarah yang amat berpengaruh dalam disiplin penulisan sejarah, menganjurkan sejarah sebagai sejarah kebebasan, ‘history as the history of freedom’. Kebebasan harus mendasari falsafah sejarah. Tugas ahli sejarah adalah untuk menulis sejarah jatuh dan bangunnya kebebasan dalam tamadun dan mencari susur galur kebebasan dalam drama kemanusiaan dari zaman ke zaman. Falsafah amat penting kerana ia adalah ‘guiding idea’ atau panduan kepada penulisan serta konsepsi sejarah yang ditafsirkan. Oleh itu, apakah falsafah sejarah yang akan menjadi idea pemandu untuk menulis sejarah negara Malaysia ?

 

Kalau kita mengimbau sejarah di rantau Alam Melayu termasuk Melaka sebagai ‘trading society’, saya berpendapat bahawa sejarah negara kita selama ini tidak berlaku adil kepada sifat kosmopolitan dan kemajmukan. Rupa bangsa Malaysia adalah ‘cosmopolitan society’ (citizen of the world). Nyata buku-buku sejarah di Malaysia tidak mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk. Dalam masyarakat kosmopolitan, sudah tentu wujud pemikiran atau fahaman yang berbeza dan harus diraikan. Cabaran utama ahli-ahli sejarah masa kini ialah menulis semula sejarah berdasarkan konsep Malaysia sebagai kosmopolitan.

 

Saya bertegas untuk mengangkat falsafah kosmopolitanisme untuk melawan hegemoni UMNO yang membelenggu sejarah negara kita. Kosmopolitanisme adalah falsafah yang mendukung dan meraikan idea kepelbagaian di mana tamadun, agama, dan pelbagai budaya bertembung dalam semangat toleransi, saling menghormati, tanpa sebarang prasangka buruk. Kosmopolitan ini adalah sifat sebagaimana zaman Kesultanan Melayu Melaka. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa Melaka adalah sebuah bandaraya kosmopolitan dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dari dalam dan luar nusantara. Dengan idea kosmopolitan ini, saya yakin bangsa dan negara Malaysia dapat hidup dalam kesejahteraan pelbagai bangsa, kepercayaan dan kebudayaan.

 

Sejarah merupakan kisah masa lampau yang harus kita teliti secara adil supaya kita dapat melihat sejarah secara luas daripada segenap perspektif. Sejarah harus diteliti secara konseptual berdasarkan fakta-fakta asas yang diperolehi sebelum di atur secara tersusun dan dilengkapkan sebagai satu siri pensejarahan yang kompleks. Sejarah tidak boleh kita nilai hanya berdasarkan satu aliran pemikiran atau fahaman yang akhirnya akan menutup ruang penilaian kepada sejarah-sejarah yang lain.

 

Misalnya, apakah sejarah perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu hanya sekadar merupakan perjuangan orang-orang Melayu sahaja? Jika fahaman kita begitu, maka apakah pula peranan yang dimainkan oleh masyarakat Cina dan India? Dengan bahasa yang lebih mudah, kita menolak andaian bahawa sejarah adalah bersifat hitam-putih. Pandangan tersebut adalah salah dan tidak bertanggungjawab terhadap sejarah-sejarah lain yang juga signifikan terhadap pembangunan bangsa kita pada hari ini.

 

Kerana itu, sejarah tidak boleh dipandang remeh. Sejarah harus dimaknai dengan visi yang jelas terhadap pembentukan sebuah masyarakat moden. Jika sejarah tidak diberi makna yang tepat dan didasari falsafah yang jelas, maka ia tidak akan mewujudkan perasaan self-belonging dalam diri rakyat yang akan menjadi kekuatan untuk membangunkan bangsa. Malah ia mungkin akan mewujudkan sikap-sikap negatif seperti etnosentrisme yang akan memunculkan sikap rasisme dalam sesebuah masyarakat yang kemudiannya akan menjadi batu penghalang kepada usaha menyatukan masyarakat Malaysia yang bersifat rencam.

 

Kita lihat bagaimana sejarah 13 Mei 1969 yang seringkali dijadikan modal propaganda pemerintah untuk mencetuskan perasaan takut di kalangan rakyat pelbagai kaum. Begitu juga dengan peristiwa serangan komunis yang dijadikan perkakas untuk mempertahankan akta-akta draconian seperti ISA dan lain-lain. Hanya dengan cara ini, maka mereka dapat mempertahankan kekuasaan mereka, dalam masa yang sama mengaburi pengetahuan rakyat tentang sejarah yang berlaku.

 

Oleh kerana itu, kita harus memperbaiki keadaan hari ini. Sejarah harus kita berikan konsepsi yang benar-benar boleh membentuk jati diri bangsa Malaysia. Justeru apakah rupa bentuk bangsa Malaysia yang kita mahukan? Sudah tentu kita mahukan bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya serta bebas berinteraksi dengan harmoni antara satu sama lain.

 

Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 adalah manifestasi kebangkitan dan perjuangan rakyat yang kosmopolitan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berjaya meruntuhkan tembok ketakutan dan saling bersatu atas prinsip perpaduan masyarakat majmuk yang mempunyai matlamat yang jelas untuk membina sebuah negara merdeka yang bebas dan demokratik.

 

Ini membuktikan kepekaan generasi hari ini terhadap sejarah atau apa yang disebut sebagai historical concerns adalah berbeza daripada sebelumnya. Rakyat kini mempunyai pandangan dan keyakinan yang bertunjangkan nilai-nilai yang universal seperti kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan lebih bersifat terbuka terhadap apa-apa pandangan sekalipun. Realiti inilah yang membongkar segala peristiwa-peristiwa sejarah yang cuba dipadamkan oleh pemerintah.

 

Sikap dan pandangan rakyat ini juga membawa kepada wujudnya sifat inquiry atau perasaan ingin tahu yang tinggi dalam masyarakat. Kerana itu, mereka akan terus mencari dan menyingkap sejarah yang pernah berlaku tidak kira perjuangan rakyat sama ada Melayu, India, Cina atau aliran fahaman bahkan bentuk perjuangan yang dilakukan.

 

Rakyat sudah tidak lagi sekadar patuh kepada naratif sejarah perjuangan Tunku Abdul Rahman untuk menuntut kemerdekaan. Tetapi rakyat mula menilai secara adil sejarah perjuangan tokoh-tokoh lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Baqir, Tok Janggut, Tan Cheng Lock, E.E.C Thuraisingam termasuk juga Mat Indera. Perjuangan kebangsaan bersifat majmuk ini dilihat sebagai suatu bentuk perjuangan yang ideal dan diidam-idamkan oleh generasi masa kini.

 

Justeru itu saya katakan daripada awal bahawa kita harus memberikan nafas baru kepada sejarah negara ini. Kita harus membawa idea falsafah sejarah yang kosmopolitan untuk kepentingan dan keharmonian rakyat. Saya menukilkan bait dari Zabur-e-Ajam karya Muhammad Iqbal.

 

“Membakar semangat baru,

Untuk bangsa dan zaman ini;

Memberi nyawa baru,

Kepada jasad yang telah tua.”

 

Kita tidak boleh hanya sekadar menerima sejarah-sejarah yang telah ditulis. Usaha penulisan semula sejarah dan juga kajian semula terhadap sejarah-sejarah lepas perlu perhatian semula. Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah memberikan hujah yang menyinggung usaha penulisan semula sejarah. Memetik kata Arnold Toynbee bahawa : “Jangan diselewengkan apa-apa fakta dalam sejarah sekiranya fakta itu telah tidak timbul sebagai isu dalam tempoh berdekad-dekad ”, Dr. Rais berpendapat setelah 54 tahun kita merdeka maka sejarah kita sudah mantap.

 

Sejarahwan yang tidak mahu kajiannya itu disanggah adalah seperti sejarahwan yang diungkapkan oleh Wilhelm Von Humboldt : “The historian, like the draftsman, will produce caricatures if he merely depicts the specific circumstances of an event by connecting them with each other as they seemingly present themselves”. Mereka tidak mahu sejarah lain di angkat dengan tujuan untuk meneruskan hegemoni pemerintah kepada rakyat.

 

Sebagai generasi hari ini, kita harus berjiwa besar. Sejarah harus kita jadikan pedoman untuk kita sama-sama membina masa depan negara yang lebih baik. Sejarah adalah pengalaman praktikal yang harus kita jadikan iktibar. Thucidides mengungkapkan : “History is philosophy teaching by examples”. Saya yakin kekayaan sejarah yang kita miliki harus kita dakap untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang baru.

 

Generasi hari ini khususnya golongan muda perlu mengambil peranan untuk memastikan sejarah tidak hanya menjadi sekadar rentetan peristiwa yang tidak memberi sebarang makna kepada masa hadapan. Kita harus ingat bahawa sejarah bukan sahaja perkara yang telah berlaku, tetapi sejarah juga adalah peristiwa yang boleh dicipta.

 

Sejarah perjuangan rakyat memperjuangkan kemerdekaan negara masih belum selesai sekiranya kezaliman dan penafian hak kebebasan rakyat masih terus berleluasa. Perjuangan kebebasan adalah perjuangan universal.

 

To be faithful to our ancestors is not to preserve the ashes of their fire but to rekindle (transmit) its flame” – Roger Garaudy.

Setia kepada leluhur bukan bermaksud memelihara abu daripada api yang membakar akan tetapi menyempurnakan percikan kepada yang lain.

 

Kita juga harus mencipta sejarah. Sejarah perjuangan rakyat menuntut sebuah negara bangsa yang unggul.

 

Sebelum saya akhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin memetik syarahan umum Syed Naquib Alatas : “Andaikata ini benar berlaku kelak, maka dengan demikian kita telah mencantumkan semula sejarah baru dan lama, mengikut dan mempererat semula tali perhubungan terus menerus antara sejarah lama dan sejarah baru yang telah terputus itu”.

 

7 Oktober 2011

Shah Alam